VLAD Averbukh memberitahu, dia memerlukan napkin sewaktu makan. Katanya: "Ia mungkin akan berdarah."Sebaliknya, alat yang tidak diperlukan ialah garfu. Bagi mereka yang tidak mengenalinya, kenyataan itu tentu dianggap mengelirukan. Ini kerana dalam kalangan warga Barat, makan menggunakan sudu dan garfu sudah menjadi amalan mereka.
Tetapi, Averbukh yang berasal dari New York bukan sahaja mengamalkan diet paleo, malah dia cuba meniru gaya dan rutin hidup orang gua pada zaman batu.
"Garfu yang banyak akan menyebabkan waktu makan menjadi tidak selesa. Tetapi, bagi saya tanpa garfu makanan yang dinikmati lebih enak," ujar Averbukh lantas mengambil sepotong daging mentah yang masih merah dan segar di sebuah pasar raya.
Sambil menggigit dan mengunyah daging mentah di taman kecil berhampiran Hudson River, pengurus laman web berusia 29 tahun itu menerangkan bagaimana pengamal diet paleo cuba untuk mengubah manusia kembali ke era Paleolitik.
"Teorinya ialah anda hanya makan apa yang nenek moyang kita makan 10,000 tahun lalu," tambahnya.
Penulis buku The Paleo Diet, Profesor Loren Cordain yang bimbang terhadap pergantungan kepada bijirin, berkata, meninggalkan menu zaman prasejarah menyebabkan pelbagai penyakit dalam masyarakat bertamadun seperti kanser, obesiti, sakit jantung dan kolesterol tinggi.
Diet ketika zaman batu lebih mengutamakan buah-buahan bermusium, daging mentah dan ikan. Malah, pengambilan makanan yang diproses, gula dan bijirin termasuk roti atau produk tenusu amat sedikit.
Makan tidak teratur
Kebanyakan orang zaman batu moden juga suka untuk makan secara tidak teratur sama seperti manusia dahulukala.
"Apa yang pasti, program ini bukan direka oleh doktor diet atau pakar pemakanan, tetapi lebih kepada tindakan bijak alam semula jadi melalui proses evolusi dan pemilihan natural," tulis Cordain di dalam laman webnya.
Di samping itu, orang zaman batu moden turut menyesuaikan latihan mereka untuk meniru kepakaran memburu atau diburu berbanding menitikberatkan tenaga dan membina otot badan di gim.
Seorang sifu dunia paleo sayap Eropah, Erwan Le Corre yang berasal dari Perancis mengadakan sesi latihan untuk pengikutnya dengan tersendiri yang agak kasar dan mencabar. Antaranya seperti membaling batu besar, melompat dan berlari tanpa memakai kasut di dalam hutan.
Majalah Men's Health menggelar Le Corre sebagai 'kembar yang sempurna untuk Tarzan' dan dia dianggap salah seorang lelaki paling cergas secara fizikal di planet ini.
Averbukh, melihat perkara itu tidak seperti orang gasar yang anda fahami. Dengan tubuh yang tinggi dan kurus, misai dan janggut yang bercukur, dia tidak boleh dikenali sebagai individu yang mengamalkan diet paleo.
Apatah lagi, Averbukh berpakaian sama seperti manusia normal dengan berseluar panjang, kemeja-T hitam, berkasut dan berada dalam celahan ribuan pekerja pejabat di sekitar Manhattan setiap hari.
Petanda pertama yang menjadikan dia sedikit berbeza apabila Averbukh mula melakukan aksi pull-up di kawasan aram-aram atau tempat melakukan hukuman bunuh.
Sambil menaikkan badannya ke atas, dia mula merapatkan diri ke dinding menggunakan kedua belah tangannya. Kedudukan kepala ke bawah dan kaki ke atas itu akan bertahan untuk seketika.
"Saya suka melakukan latihan sebelum makan. Pemakanan dan latihan seiring. Ia merupakan sebahagian daripada kehidupan nenek moyang kita dahulu. Mereka perlu berlatih untuk keluar berburu mencari makanan," jelasnya.
Bagaimanapun, Averbukh mengakui ramai rakannya mengatakan dia seorang yang pelik dan menakutkan. Justeru, sebelum mempraktikkan amalan tersebut, dia akan memastikan tiada orang di sekelilingnya.
Menurutnya lagi, gaya hidup paleo yang diamalkan juga menuntut kewangan yang tinggi. Contohnya, untuk makan malam dia hanya membeli daging, buah-buahan dan kekacang organik. Malah, bajet makanan Averbukh untuk musim sejuk sekitar AS$70 (RM245) sehari.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran demi menghidupkan kembali diet paleo, namun Averbukh tetap berusaha mengamalkan rutin hidup zaman batu selagi termampu. - AFP
0 Komen:
Catat Ulasan