Sekiranya anda membaca, berapa jauhkah jarak bahan bacaan dengan mata? Pada ukuran lengan didepa atau perlu dibengkok bagi memudahkan anda lebih fokus? Jika anda menulis atau menjahit pula, adakah anda terasa sakit kepala dan mata pula menjadi kering dan penat?
Kesemua itu adalah tanda-tanda anda mengalami presbyopia iaitu keadaan ‘mata tua’ yang disebabkan faktor usia. Ia berlaku perlahan-lahan menyebabkan anda tidak menyedari ia berlaku hinggalah usia mencecah 40 tahun ke atas.
Ketua Pengarah Eksekutif, Institut Penyelidikan Mata, Universiti New South Wales, Prof Brien Holden berkata, mata tua disebabkan presbyopia berbeza dengan masalah rabun jauh, rabun dekat atau pun silau (astigmatism). Kesemua masalah itu berkait dengan bentuk anak mata yang kerap kalinya disebabkan genetik atau faktor persekitaran. Namun, presbyopia pula adalah hilangnya keupayaan fleksibel kanta dalam mata.
Jelasnya, faktor usia menyebabkan perubahan terjadi pada protein dalam kanta mata, mengakibatkan kanta mengeras dan kurang elastik. Ia turut menjadi punca perubahan pada otot di sekeliling serat kanta. Disebabkan ia kurang elastik, mata sukar untuk memfokus.
Walaupun presbyopia umumnya berlaku pada mereka yang berusia 40 tahun ke atas, ada juga yang berhadapan dengan masalah ini lebih awal disebabkan komplikasi penyakit lain atau pengambilan sesetengah jenis ubat.
Pesakit diabetes, sclerosis berbilang (MS), atau pesakit jantung adalah mereka yang berisiko diserang presbyopia pada usia yang lebih muda. Selain itu pengambilan ubat antikemurungan atau alkohol turut mempengaruhi.
Bagaimanapun jelas Holden, tahap usia diserang presbyopia adalah berbeza mengikut negara. Misalnya jika di Finland, warganya berhadapan dengan presbyopia pada usia 48 tahun, 38 tahun di Malawi dan mungkin 30 tahun di Malaysia, berikutan faktor sinaran matahari.
Malah, disebabkan faktor jangka hayat yang meningkat jumlah mereka yang berhadapan dengan presbyopia juga bertambah. Jika pada 2005 ada satu bilion penghidap presyobia, jumlah itu dijangka bertambah sekali ganda pada 2020.
Jelas Holden, selalunya pesakit tidak mengetahui mereka berhadapan dengan presbyopia dan berpendapat perubahan kualiti penglihatan sebagai satu kelaziman akibat usia yang meningkat.
“Malah, mereka mendapat rawatan di hospital untuk masalah lain tetapi kemudian mendapati mengalami presbyopia,” katanya.
Presbyopia tidak boleh ditangani dengan pembedahan malah kerana ia sebahagian faktor penuaan, presbyopia juga tidak boleh dicegah.
Holden berkata, presbyopia boleh dibaiki dengan memilih kanta lekap yang sesuai. Walaupun sesetengah orang lebih menyukai kaca mata, teknologi terkini membenarkan mereka yang berhadapan dengan presbyopia memilih kanta lekap dari jenis multifokal.
Andainya anda tidak pernah memakai cermin mata atau kanta lekap sebelum berhadapan dengan presbyopia, anda mungkin boleh membaiki penglihatan dengan menggunakan cermin mata saja. Untuk mendapatkan kaca mata dan kanta lekap yang sesuai, dapatkan rawatan dan khidmat nasihat daripada pakar mata. Tidak merawat presbyopia bermakna anda memilih untuk hidup dalam tekanan.
Gejala
# Penglihatan kabur pada objek yang dekat
# Sukar membaca tulisan yang kecil
# Mata yang letih terutama apabila membaca di tempat kurang cahaya atau waktu petang
# Mata tegang dan sakit kepala apabila terlalu dekat dengan bahan bacaan/jahitan.
# Memegang bahan bacaan pada jarak kejauhan lengan untuk melihat dengan lebih jelas.
Oleh Hafizah Iszahanid
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...