Home » » Hentikan Tabiat Merokok

Hentikan Tabiat Merokok

MEMBUANG tabiat merokok yang telah sebati dan menjadi darah daging memang sesuatu yang sukar. Namun, sebaik mula memikirkan untuk berhenti merokok sudah merupakan langkah pertama.

Persoalannya, sejauh sejauh mana anda sudah bersedia untuk mengambil langkah besar itu. Tidak mengapa jika sekarang anda belum bersedia, tetapi keinginan untuk berhenti merokok perlu dikekalkan. Teruskan belajar dan mempersiapkan diri. Jika ramai perokok berjaya membuang tabiat tersebut, anda juga boleh.

Anda tidak semestinya bersendiri untuk berhenti merokok, sebaliknya minta bantuan keluarga, rakan-rakan dan doktor. Untuk berhenti merokok memang sukar, tetapi apabila mendapat bantuan ia mungkin jadi lebih mudah.

Berikut beberapa panduan yang boleh diikuti untuk berhenti merokok:

1. Bersiap sedia untuk berhenti. Anda tidak perlu berhenti serta-merta, tetapi cuba tetapkan tarikh untuk berhenti. Pilih waktu di mana anda tidak mengalami banyak tekanan dalam hidup. Buang bekas abuk rokok, pemetik api dan yang berkaitan, sebelum mula untuk berhenti. Jangan benarkan orang lain merokok di rumah anda.

2. Ubah rutin anda. Sebagai contoh, jika sebelum ini anda akan merokok selepas makan, kini lakukan aktiviti lain seperti bersiar-siar.

3. Ambil ubat jika perlu. Ia boleh membantu meredakan rasa ketagihan dan tekanan. Anda boleh mengambil gula getah bernakotin, lozenges, patch tanpa preskripsi. Doktor anda juga boleh memberi ubat. Menggunakan produk pengganti nakotin atau ubat mampu melipat gandakan peluang anda untuk berhenti merokok.

4. Dapatkan sokongan. Meminta bantuan contohnya melalui program berhenti merokok yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Dapatkan juga kaunseling daripada doktor, jururawat atau terapi.

5. Sebaik saja berhenti merokok, komited dengan keputusan tersebut. Jangan mengambil produk tembakau sama sekali biarpun sekadar sebatang rokok kerana ia tidak membantu langsung, sebalik menyukarkan lagi keadaan.

Persoalan yang sering timbul bagi perokok

Kenapa begitu sukar untuk berhenti merokok?

Berhenti merokok memang sukar kerana tubuh mengalami ketagihan nakotin atau tembakau. Berhenti merokok bukan sekadar membuang tabiat buruk, sebaliknya mengajar tubuh berhenti daripada rasa ketagihan. Ketagihan boleh dikurangkan dengan gula getah bernakotin atau ubat lain yang tidak memberi kesan buruk sebagaimana tembakau.

Anda juga harus mengubah kebiasaan. Jika sebelumnya menghisap rokok atau mengunyah tembakau ketika tertekan atau merokok sambil minum kopi, anda harus memikir cara lain apabila mengambil keputusan untuk berhenti. Sebagai contoh, berbual dengan rakan atau menarik nafas dalam-dalam apabila berasa tertekan. Cuba kunyah gula getah kurang gula bagi menggantikan rokok.

Bagaimana jika berasa tidak selesa ketika cuba untuk berhenti merokok?

Memang anda mungkin berasa letih, rimas atau sedih ketika pertama kali cuba berhenti. Anda juga mungkin mengalami masalah untuk tidur dan makan banyak daripada kebiasaan. Perasaan itu tidak akan kekal lama dan ubat tertentu mungkin boleh membantu.

Adakah akan naik berat badan?

Perokok mungkin bimbang akan mengalami pertambahan berat badan apabila berhenti merokok. Jangan jadikannya alasan untuk berhenti daripada terus berusaha. Banyak yang akan diperoleh jika berhenti merokok. Berat badan anda mungkin bertambah beberapa kilogram, tetapi tubuh akan berasa lebih sihat dan dapat menjimatkan wang. Masalah kesihatan juga mungkin dapat dikurangkan.

Beberapa langkah boleh diambil untuk mengurangkan kenaikan berat badan:

-Bersenam bukan saja menyihatkan bahkan memperbaiki mood anda.

-Makan lebih banyak buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin, sebaliknya kurangkan makanan tinggi lemak.

-Cuba untuk tidak menggantikan rokok dengan makanan. Sebaliknya banyak minum air.

Bagaimana jika mula merokok semula?

Ramai yang gagal untuk berhenti merokok pada cubaan pertama (selalunya lebih lima kali) sebelum mereka benar-benar dapat berhenti merokok. Jika mula merokok semula selepas cuba berhenti, jangan putus asa. Setiap kali anda berhenti merokok walaupun dalam jangka masa pendek, sebenarnya semakin hampir dengan matlamat jangka panjang. Selalu ingatkan diri bahawa dengan berhenti merokok dapat mengelakkan penyakit serius dan hidup lebih lama.

Setiap kali cuba berhenti sebenarnya anda belajar lebih banyak tentang apa yang boleh membantu dan apa yang menghalang perjalanan anda. Fikir semula apa yang menyebabkan anda mula merokok semua dan buat rancangan untuk berjaya kali ini. Anda pasti boleh.

Untuk panduan lanjut boleh layari www.health.yahoo.com.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom