KEYAKINAN diri adalah sesuatu yang amat penting bukan saja untuk wanita tetapi juga lelaki. Ia perlu dipupuk untuk dijadikan pelengkap gaya agar sesiapa yang melihat tertawan dengan perawakan diri yang menarik.
Dalam situasi kini yang makin kompetitif dan penuh cabaran, penting bagi seseorang itu untuk kelihatan profesional dan menawan sepanjang masa.
Oleh itu, penjagaan diri dari hujung rambut hingga hujung kaki antara perkara yang perlu dititikberatkan. Apatah lagi, jika tampil dalam keadaan selekeh dan tidak terurus, sudah pasti tidak ramai boleh memberikan kepercayaan berdasarkan pandangan kali pertama.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Stylo International, Datuk Nancy Yeoh, berkata penjagaan kebersihan diri perlu dijadikan fokus utama dalam membina keyakinan diri.
Bagi mereka yang tidak bertudung, penjagaan rambut menjadi keutamaan kerana ia aset penting yang menjadi perhatian dalam segala hal.
“Rambut perlu dibersihkan dan dirapikan dengan perapi rambut bersesuaian untuk mengelakkannya daripada kekeringan hingga mengakibatkan masalah kelemumur.
“Ia akan menimbulkan ketidakselesaan pada diri kerana kulit kepala juga akan mengalami kegatalan dan menjadi punca kulit kepala berkuping,” katanya.
Tidak dinafikan wanita mudah mengalami masalah rambut kerana lebih banyak menggunakan bahan kimia akibat kerap mewarnakan rambut, meluruskan rambut serta penggunaan klip dan getah rambut.
“Tetapi jika usaha memulihara kesihatan rambut diberi perhatian, semua perkara itu tidak akan dialami sebaliknya rambut akan menjadi lebih sihat dan segar.
“Adakalanya wanita tidak begitu berminat untuk menjaga rambut tetapi sikap itu perlu diubah kerana hasil yang diperoleh nanti memberikan kepuasan tidak terhingga,” katanya ditemui pada bengkel media Serlahkan Kecantikan Dalaman dan Keyakinan Diri anjuran Head & Shoulders di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Malah, pemilihan warna dalam menyesuaikan gaya harian juga memainkan peranan bagi mewujudkan bayangan suasana lebih ceria walaupun dengan hanya penggunaan bahan berkenaan.
“Untuk tampil lebih langsing dan kurus daripada badan sebenar, apa kata gunakan warna hitam kerana ia mampu menutupi segala kekurangan fizikal diri. Tetapi diingatkan, mereka yang mengalami masalah kelemumur seharusnya mengelakkan penggunaan warna sebegini kerana ia lebih menyerlahkan masalah dihadapi.
“Dengan pemakaian warna ceria seperti kuning, merah, oren atau biru, ia mampu mewujudkan aura ceria dan ia sedikit sebanyak mempengaruhi perasaan pada hari berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, dalam menjana keyakinan diri, kesihatan tubuh badan tidak seharusnya diabaikan kerana ia juga menggambarkan gaya hidup positif yang seimbang.
“Pengambilan diet makanan seimbang amat penting dalam semua perkara kerana ia turut membantu mengurangkan tekanan. Elak daripada mengambil sesuatu yang boleh memberikan kesan buruk pada diri antaranya meminum minuman keras ataupun merokok kerana ia ibarat ‘racun’ yang boleh merosakkan badan secara perlahan-lahan dan meninggalkan kesan pada diri secara luaran,” katanya.
Malah katanya, setiap wanita juga perlu berhati-hati memilih pakaian dalam yang bersesuaian untuk mengelakkan ketidakselesaan hingga menimbulkan rasa kurang yakin semasa mengenakan pakaian.
“Pemakaian pakaian dalam yang betul mampu memberikan impak positif terhadap keyakinan diri setiap wanita kerana jika kita berasa selesa dengan penampilan diri maka tahap keyakinan akan lebih tinggi.
“Sebaliknya jika tersilap memilih pakaian dalam, busana yang dikenakan juga akan nampak ganjil dan kita teragak-agak,” katanya.
Dalam mencari keyakinan diri, katanya, penting untuk tidak sesekali cuba ‘menjadi’ orang lain hingga menimbulkan masalah pada diri di kemudian hari.
Nancy berkata, penting untuk menyayangi dan menyukai diri sendiri terlebih dulu dan menerima segala kekurangan diri seadanya daripada cuba memperoleh sesuatu yang di luar kemampuan diri.
“Jika kita mengetahui kelemahan sendiri, cuba memperbaikinya agar ia boleh dijadikan satu kelebihan. Jangan sesekali menjadikan kelemahan diri itu sesuatu yang lebih ketara sebaliknya ‘sembunyikan’ dan gantikan dengan kelebihan yang ada,” katanya.
Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...