Home » » Keris warisan, simbol estetika Melayu

Keris warisan, simbol estetika Melayu

Keris adalah sejenis senjata warisan Melayu yang digunakan sejak lebih 700 tahun yang lalu.

Ini kerana pada ketika itu tiada senjata lain untuk mempertahankan diri seperti hari ini.

Malah keris turut di jadikan sebagai lambang kekuasaan yang digunakan sebagai tanda bukti arahan atau hukuman dari pihak berkuasa di sesuatu daerah dan negeri.


Seterusnya keris dijadikan pelengkap pakaian orang Melayu dan Bangsawan Melayu.

Pada masa sama keris dijadikan sebagai lambang kekuasaan dan simbol pemerintahan berdaulat yang digunakan raja dan Sultan yang memerintah sesebuah negeri atau negara.

Lebih membanggakan apabila keris turut diberi nama khusus dengan sifat dan identiti khas termasuk Keris Cura Simanja Kini dan Taming Sari.

Hulu dan sarung keris kebanyakannya diperbuat daripada bahan kayu terpilih dengan mempelbagaikan bentuk dan ragam hias tersendiri.

Sekaligus melambangkan kehalusan ukiran kayu hasil garapan pengukir seni ukiran halus.

Bahan seperti perak dan logam dijadikan sebagai bahan tambahan di bahagian pendokok.

Sementara bahan lain seperti emas, berlian, tulang, gading, tanduk turut digunakan sebagai ragam hias.

Antara pengukir ukiran halus terkenal di negara ini ialah Allahyarham Tengku Ibrahim Tengku Wok (Tokoh Kraf Negara Pertama).

Allahyarham pernah menghasilkan ukiran hulu Keris Jawa Demam, Tajung, Pekaka, Tapak Kuda dan Kakak Tua yang amat halus serta teliti pada setiap ragam hiasnya.

Koleksi keris yang diperbuat Allahyarham juga tersimpan di Muzium Kraf, Kraftangan Malaysia di Jalan Conlay.

Kraftangan Malaysia terus mengekalkan warisan negara dengan melantik Adiguru Kraf dan latihan kepada golongan muda untuk mempelajari kemahiran seni ukiran halus.

Maklumat ini disediakan Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia atau pro@kraftangan.gov.my.




 
Chatroom