Home » » Penyelesaian Selulit

Penyelesaian Selulit

Senaman dan selulit

Masalah selulit? Kita semua tahu bagaimana ia kelihatan, tetapi banyak salah faham mengenainya semakin menular. Perkara pertama yang anda perlu tahu bahawa dalam erti kata perubatan sebenar, selulit adalah lemak lama semata-mata.

Namun ia mempunyai ciri-ciri seperti berlesung atau kelihatan seperti buah oren yang di kupas kulitnya. Ini adalah puncanya.

Semua orang mempunyai tisu perantara yang memisahkan selsel lemak ke dalam ruang petak di atas permukaan otot anda. Lelaki mempunyai corak petak lemak yang mendatar atau menyilang, manakala corak petak lemak wanita adalah seperti corak sarang lebah di mana lemak akan yang lebih menonjol atau berbonjol.

Hasilnya wanita lebih cenderung untuk mempunyai lebih selulit daripada lelaki, terutama di sekitar punggung dan paha. Selulit akan menjadi lebih ketara seiring dengan peningkatan umur.

Ini adalah kerana kulit akan menjadi lebih nipis dari semasa ke semasa dan secara amnya terjadi kepada mereka yang dalam usia 30 tahun dan ke atas.

Sudah tentu bukan semua orang akan mendapat selulit dalam hidup mereka. Itu adalah kerana genetik yang menentukan tempat di mana sel-sel lemak anda akan terletak dan berapa banyak sel lemak yang anda miliki.

Tahap aktiviti juga adalah satu lagi faktor penting yang berkaitan dengan selulit. Jika anda kerap bersenam, kemungkinan akan dapat mengurangkan selulit atau jika adapun masalah selulit itu tidak begitu kelihatan.

Tiada rawatan segera

Malangnya, terlalu ramai orang masih mempercayai pada idea pemulihan yang cepat dan mudah. Berhati-hatilah dengan krim selulit serta kaedah perubatan seperti sedutan lemak dan rawatan kosmetik seperti balutan badan.

Kaedah ini selalunya tidak berhasil. Sebenarnya tidak ada krim yang disapu pada kulit boleh menembusi kulit dan menyusun semula sel-sel lemak di bawah permukaan.

Manakala sedutan lemak pula direkabentuk untuk menyingkirkan lebihan deposit lemak tetapi ia tidak akan menukar rupa bentuk lemak.

Bagi balutan badan, kesannya hanya sementara. Lemak boleh dimampatkan, apabila anda melakukan balutan ia hanya melicinkan kulit anda tetapi kulit anda akan kembali seperti sedia kala pada hari berikutnya.

Antara salah tanggapan yang lain adalah dengan berdiet saja boleh menghilangkan lemak. Walaupun terdapat diet yang membuatkan anda hilang berat badan, sekurangkurangnya satu perempat daripada berat yang hilang adalah otot.

Ia mengurangkan metabolisma anda, bagaimanapun jika anda kembali kepada tabiat makan macam biasa, anda mungkin mendapatkan kembali berat badan sebelumnya kerana metabolisma badan yang rendah.

Penyelesaian Selulit

Pakar mencadangkan program senaman kardio yang digabungkan bersama dengan dua hingga tiga sesi latihan bebanan seminggu bersama amalan diet yang sihat.

Pendekatan seperti ini terbukti berfungsi serta bertindak balas dengan baik. Reka satu bentuk program pengurangan selulit yang mudah untuk anda ikuti.

Mestilah mempunyai elemen senaman seperti latihan bebanan selama 20 minit dengan lima jenis senaman untuk bahagian atas badan dan lima untuk bahagian bawah badan.

Disertakan bersama dengan lebih daripada 20 minit berjalan pantas atau berjoging. Sasarkan kadar denyutan jantung sekitar 70 hingga 80 peratus dari kadar jantung maksimum anda.

Anda di sarankan untuk melakukan program ini sekurang-kurangnya tiga hari seminggu. Melalui program seperti ini, anda di jangka boleh menurunkan kira-kira satu kilogram setiap minggu atau kira-kira 8 kilogram berat badan selepas dua bulan.

Manakala jika anda menggabungkan program senaman dengan amalan pemakanan yang baik (diet berasaskan piramid makanan), anda sebenarnya boleh mencapai dua kali ganda kehilangan lemak.

Senaman ringkas

Program senaman tidak perlu begitu rumit untuk menjadi bagus. Bagi latihan bebanan, pelbagai alat boleh digunakan seperti dumbbell, jalur getah, berat badan sendiri dan mesin angkatan

Masih tidak pasti di mana untuk bermula? Satu atau dua sesi dengan jurulatih peribadi yang bertauliah boleh membantu anda untuk bermula pada landasan yang betul.

Anda mestilah realistik, keputusannya tidak akan berlaku dalam sehari. Sesuatu program senaman yang konsisten dan kerap digabungkan pula dengan diet yang tepat boleh membantu. Bukan saja meningkatkan penampilan tetapi kesihatan anda secara keseluruhan juga.

Oleh Mohd Hoesni Rahmat



 
Chatroom