Home » » » Eina Azman kurus kerana berlakon

Eina Azman kurus kerana berlakon

Ada banyak cara golongan wanita untuk berbadan ramping dan kelihatan cantik. Antaranya dengan bersenam atau mengamalkan diet dalam pemakanan seharian.

Bagaimanapun ada juga yang tidak perlu melakukan semua itu agar kelihatan menawan secara semulajadi.

Pelakon remaja yang sedang mencipta nama dalam bidang lakonan tempatan, Eina Azman misalnya menganggap kesibukannya berlakon punca dia kelihatan ramping.

Kata pelakon muda berusia 17 tahun ini, selain sibuk berlakon dia juga tidak perlu berbelanja besar untuk tampak cantik.

"Sejak kebelakangan ini saya sangat sibuk berlakon. Terkini saya baru sahaja habis berlakon dalam telemovie bertajuk Big Foot.Kerana sibuk berlakon masa makan dan minum saya juga tidak menentu.

"Kesannya dapat dilihat daripada bentuk badan saya. Sebelum ini berat badan saya 55 kilogram tetapi sekarang menjadi 50 kilogram. Berat badan saya turun lima kilogram dalam masa beberapa bulan kebelakangan ini. Bagi saya ini juga suatu diet secara tidak langsung.

"Selain itu, ukuran lilit pinggang saya juga semakin mengecil daripada 28 sentimeter kepada 24.5 sentimeter sekarang ini. Apabila berat badan saya menurun dan pinggang mengecil, saya nampak macam tinggi dan ramai orang kata saya lebih matang berbanding usia saya," ujarnya.

Pemilik nama sebenar Ainur Syakina Azman ini berkongsi rahsia kecantikannya itu kepada Hits selepas pelancaran filem terbaru lakonannya berjudul Mencari Cinta arahan Shirin Khuzaimi terbitan Madiera Red Movie Associates Sdn. Bhd. yang tamat penggambarannya baru-baru ini.

Menurut pelakon dengan ketinggian 173 sentimeter ini, dia tidak menyedari berat badannya yang menyusut kerana begitu memberi perhatian kepada bidang lakonan yang disertainya itu. Bukan setakat berlakon tetapi sebagai seorang pelajar sekolah turut menjadikannya sentiasa sibuk.

Pelajar tingkatan lima sebuah sekolah swasta ini berkata, kesibukan itu paling ketara sewaktu musim cuti sekolah kerana dia akan memberi sepenuh tumpuan terhadap tawaran-tawaran berlakon yang diberikan kepadanya. Mujurlah kakaknya, Wenny, 19, banyak membantunya.

Pelakon Eina Azman

"Buat masa ini kakak saya itu menjadi pengurus peribadi saya. Dialah yang menguruskan jadual lakonan saya ataupun berurusan dengan penerbit sebelum saya berlakon dalam sesebuah produksi. Contohnya, pada April lalu saya menggunakan cuti sekolah untuk berlakon filem Mencari Cinta.

"Saya menghabiskan masa kira-kira seminggu di sebuah kampung di Janda Baik, Pahang bagi menjalani penggambaran filem itu. Bukan setakat turun berat badan malah saya adakalanya juga turut berasa tertekan kerana kurang rehat dan tidur kerana berlakon," ujarnya.



 
Chatroom