Home » » Hargai masa kaya

Hargai masa kaya

Hargai masa kaya

Semua orang inginkan kekayaan. Ada yang sudah mencapainya, ramai yang masih dalam perjalanan untuk mencapainya.

Secara rata-rata, kebanyakan golongan yang kaya terbabit dalam bidang perniagaan. Namun, perlu diingat juga rezeki datang dalam pelbagai bidang, bukan semata-mata daripada perniagaan. Sama ada bekerja makan gaji di bidang swasta atau kerajaan, pasti peluang menjadi kaya tetap ada.

Begitu juga tidak semestinya mereka yang berpendapatan tinggi saja boleh menjadi kaya. Dengan berjimat dan bijak melabur, lama-kelamaan, anda juga boleh mengumpul kekayaan.

Sememangnya kekayaan boleh datang dalam pelbagai cara, begitu juga sebaliknya. Punca rezeki boleh hilang dengan pelbagai cara dan pada bila-bila masa saja.

Sebagai contoh, dalam apa jua bidang perniagaan, terdapat elemen yang tidak dapat ditentukan. Adakalanya kitaran semasa memberi keuntungan, ada juga kitaran kerugian dalam perniagaan yang boleh terjadi atas pelbagai sebab. Memang sering juga kita dengar perniagaan yang gah boleh menjunam gagal akibat ekonomi yang tidak menentu.

Sekiranya anda menjalankan perniagaan yang berjaya, aset anda bukan saja pada wang ringgit hasil keuntungan perniagaan, tetapi juga pada ilmu yang anda miliki bertahun-tahun lamanya dalam berniaga.

Sekiranya perniagaan yang berjaya kita jalankan mengalami kerugian dan kegagalan mendadak dengan ilmu yang terkumpul, pada bila-bila masa saja kita boleh mengubah haluan dan memulakan perniagaan baru yang berjaya.

Oleh itu, perlu beringat, sekiranya sudah kaya dan berjaya, bukan bermaksud untuk berhenti mencari ilmu. Ilmu sememangnya amat penting tidak kira wang ringgit yang dimiliki. Ilmu adalah aset utama dalam memastikan kekayaan dapat dikekalkan dan bertambah.

Lagi besar periuk, lagi besar keraknya, itu peribahasa yang sering kita dengar. Bagi golongan berada, apabila kekayaan bertambah, maka perbelanjaan juga bertambah dalam menampung gaya hidup yang sudah pastinya meningkat.

Sekiranya dulu hanya memiliki sebuah kereta, kini memiliki enam kereta mewah. Jika dulu tinggal di pangsapuri sudah memadai dengan kekayaan pasti teringin tinggal di rumah banglo. Jika dulu makan di gerai saja sudah berselera, namun apabila kaya, pastinya hendak merasa makanan hotel lima bintang! Bukanlah sesuatu yang asing, tetapi ia suatu lumrah. Perbelanjaan pasti akan bertambah apabila kekayaan bertambah.

Seperti yang dikatakan, adakalanya pendapatan yang mewah akan terhenti. Pastikan simpanan yang dimiliki dapat menampung gaya hidup kini dan bukan gaya hidup sebelum ini. Malang juga tidak berbau, mungkin sesuatu yang tidak diingini terjadi pada pencari nafkah. Kemalangan yang mengakibatkan kecacatan yang menyebabkan terputus pendapatan atau maut akan meninggalkan keluarga dengan tanggungan gaya hidup yang tinggi.

Pastikan simpanan, pelaburan atau insurans membabitkan mereka yang tersayang. Tidak lupa juga, bukan saja kos gaya hidup kini, tetapi juga setiap tahun kos perbelanjaan hidup semakin meningkat tahun demi tahun.

Sememangnya benar, apabila kaya, tiba masanya juga untuk meraikan hidup bersama keluarga. Tak guna juga bertahun-tahun berusaha sedaya upaya mengumpulkan kekayaan, tetapi tidak dibelanjakan. Selalunya akan pergi melancong melawat negara orang atau membeli barangan mewah yang sebelum ini hanya mampu dilihat saja. Pasti ini hakikat biasa.

Perlu beringat-ingat juga untuk sentiasa membantu mereka yang tidak senasib.

Memberi dan menderma pastinya tidak akan mengurangkan harta, malah ia membuka lagi pintu rezeki dan memberi keberkatan kepada harta yang dimiliki. Memberi dan berkongsi harta akan membuat diri amat menghargai harta sebagai sesuatu yang banyak di keliling kita. Ini seterusnya membuka mata dan minda kita kepada lebih banyak peluang untuk menjana pendapatan di sekeliling.

Menjadi kaya dan berjaya bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi ia juga bukanlah mustahil dan boleh dicapai oleh sesiapa saja. Perlu beringat bahawa harta kekayaan tidak perlu menjadi alasan tidak lagi berusaha, mencari ilmu dan juga mengambil endah hal pengurusan kewangan. Malah untuk mengekalkan kekayaan, semuanya amat penting.

Imbangi kekayaan dengan diri, keluarga dan juga masyarakat supaya untuk jangka panjang, kekayaan yang dimiliki akan dapat berterusan untuk generasi akan datang.

Berinteraksi mengenai kewangan, perniagaan dan motivasi di Facebook Irfan Khairi di fb.irfankhairi.com. Tanyakan soalan anda di sana!

Oleh Irfan Khairi
Source: Majalah Metro

Soalan pembaca

Salam Irfan Khairi,

Saya menjalankan perniagaan bertahun-tahun lamanya dan alhamdulillah, agak berjaya dalam bidang yang diceburi.

Kedudukan kewangan juga agak stabil dan umur saya kini pada pertengahan 50-an. Persoalannya, bilakah waktu terbaik untuk berhenti berniaga dan mula berehat daripada alam perniagaan dan bersara?

Jawapan

Sememangnya alam perniagaan tidak mengira waktu bersara. Mungkin sekiranya puan melihat kenalan sebaya mula memikirkan soal persaraan, puan juga terfikir untuk berhenti berniaga kerana keadaan kewangan juga sudah stabil.

Bagi saya, sekiranya tiada sebab untuk berhenti, anda tidak perlu berhenti berniaga. Mungkin pilihan adalah mengurangkan tanggungjawab kerja dengan mengagihkan lebih banyak kerja kepada pekerja dan orang yang dipercayai. Perniagaan yang terbaik apabila ia boleh diteruskan dengan hanya pembabitan anda yang minimum.

Satu lagi sebab meneruskan perniagaan sebagai pilihan yang baik kerana ia dapat membantu memenuhi keperluan diri sendiri dari segi mental dan juga fizikal. Minda dan badan akan menjadi lemah sekiranya tiada aktiviti untuk berfikir dan berusaha. Perniagaan memberi manfaat dalam memenuhi keperluan terbabit.

Apabila tiba masanya kelak diri sendiri tidak mampu untuk berniaga dan bekerja pada tahap yang terbaik, mungkin itulah waktu terbaik untuk memperlahankan rentak berniaga.

Sehingga waktu itu sampai, nikmati rezeki, peluang dan cabaran sebagai usahawan untuk tahun yang akan datang.




 
Chatroom