Home » » Sendi cepat rosak jika gemuk dan cara kurangkan sakit lutut

Sendi cepat rosak jika gemuk dan cara kurangkan sakit lutut

Sendi cepat rosak jika gemuk

Pernah rasa sakit secara tiba-tiba di lutut hingga sukar berjalan? Selepas diurut beberapa kali dengan minyak panas, barulah kaki berupaya melangkah perlahan-lahan? Bersedialah, kerana itu antara beberapa simptom masalah osteoartritis lutut yang dialami kebanyakan golongan muda hari ini.

Meskipun usia adalah faktor utama bagi osteoartritis lutut, golongan muda kini turut berisiko disebabkan keturunan, kecederaan ketika bersukan, jangkitan atau berat badan berlebihan.

Osteoartritis (OA) lazimnya radang sendi, berlaku apabila kusyen semula jadi antara sendi iaitu tulang rawan mula menjadi haus.

Apabila ini berlaku, tulang sendi itu akan saling bergesel lebih rapat dan kurang serapan hentakan yang sebelum ini memberi perlindungan kepada tulang rawan itu.

Geselan ini akhirnya menyebabkan kesakitan, bengkak, kekakuan dan menurunnya tahap keupayaan untuk bergerak.

Menurut Perunding Ortopedik, Artroplasti dan Kecederaan Sukan di Pusat Perubatan Tropicana, Dr Soong Kean Leong, OA adalah kumpulan artritis paling kerap ditemui yang biasanya dialami individu berusia 45 tahun ke atas.

"Tapi dengan perubahan gaya hidup zaman ini, makin ramai golongan muda seawal 20-an mula mengalaminya hingga ada yang terpaksa mendapatkan rawatan suntikan dan memerlukan pembedahan.

"Wanita juga didapati lebih berisiko mengalami osteoartritis lutut ini berbanding lelaki," katanya.

Penyebab utama OA ialah umur dan hampir setiap individu akan mengalami beberapa tahap osteoartritis. Bagaimanapun, beberapa faktor lain turut dikenal pasti berupaya meningkatkan risiko artritis yang ketara pada usia lebih awal.

"Berat badan berlebihan akan memberikan bebanan kepada sendi terutamanya lutut. Setiap kilogram berat yang bertambah akan memberikan tiga ke empat kali tekanan pada lutut.

"Faktor keturunan atau mutasi genetik pula membuatkan seseorang lebih cenderung untuk mengalami osteoartritis lutut disebabkan tahap abnormal yang diwarisi dalam bentuk tulang yang mengelilingi sendi lutut.

"Selain itu, kecederaan berulang dan tekanan kerap seperti mencangkung atau mengangkat barangan berat juga akan menyebabkan berlakunya osteoartritis lutut ini.

"Tidak ketinggalan atlet kerana pendedahan berterusan kepada tekanan lutut terutama sukan yang banyak membabitkan penggunaan kaki," katanya.

Tambah Dr Soong, rawatan tanpa ubatan biasanya dilakukan terlebih dulu kepada pesakit bagi mengurangkan kesakitan dan simptom sedia ada.

"Rawatan dimulakan dengan perubahan gaya hidup terutama mereka yang mengalami masalah berat badan, latihan fisioterapi dan rawatan menyelaraskan semula bahagian yang sakit.

"Jika rawatan ini tidak berupaya membantu pesakit, barulah disyorkan penggunaan ubatan tahan sakit seperti COX-2, suntikan dan akhir sekali pembedahan," jelasnya.

Suntikan efektif

Bagaimanapun ada segelintir pesakit yang tidak mahu bergantung kepada ubat tahan sakit dan memilih suntikan atas faktor segera serta efektif.

Wujud dua jenis suntikan, steroid dan gel yang bertindak mengurangkan kesakitan dan bengkak pada lutut.

"Suntikan steroid atau kortikosteroid ini membantu mengurangkan kesakitan dan bengkak OA dengan cairan yang dihasilkan di lutut. Suntikan ini juga mengurangkan keradangan pada sendi.

"Ia bertindak dengan segera, biasanya antara 24 hingga 48 jam. Secara purata, kelegaan daripada kesakitan yang ditawarkan menerusi suntikan ini bertahan antara enam hingga 12 minggu.

"Namun ia tidak boleh digunakan secara kerap, biasanya dua hingga tiga kali setahun.

"Suntikan gel atau dikenali sebagai suntikan asid hyaluronic ini turut bertindak seperti kortikosteroid, cuma kosnya lebih tinggi daripada rawatan lain.

"Kebanyakan cecair pada lutut yang sihat mengandungi asid hyaluronic tapi apabila berlakunya OA, asid hyaluronic itu makin berkurangan. Suntikan ini dilakukan bagi meningkatkan semula kandungan cecair itu.

"Suntikan ini hanya dilakukan apabila benar-benar perlu dan tiada perubahan positif pada simptom," katanya.

Kesan sampingan pasti ada dan Dr Soong tidak menafikan pesakit akan mengalami beberapa rasa tidak selesa selepas disuntik.

"Ia seperti kita masukkan sesuatu pada lutut. Rasa tidak selesa dan ada sesetengahnya mengalami kesan bengkak kecil pada permulaannya. Tapi selepas beberapa hari, kesan itu hilang dan tidak lagi timbul rasa sakit ketika melakukan pergerakan.

"Apapun semuanya bergantung kepada keadaan pesakit itu sendiri," tegasnya.

Cara kurangkan sakit lutut

Terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan untuk membantu mengurangkan sakit lutut yang berpunca daripada kecederaan mahupun masalah osteoartritis yang dialami sejak bertahun lalu.

Berikut beberapa langkah mudah untuk membantu lutut dalam keadaan baik.

* Jangan terlalu banyak rehat. Banyak berehat akan membuatkan otot lebih lemah, sekali gus memburukkan keadaan sendi yang kesakitan. Cari program senaman yang selamat dan sesuai untuk sakit lutut.

Jika tidak pasti dengan teknik senaman itu, berbincang dengan doktor atau pakar terapi fizikal.

Elakkan risiko jatuh. Lutut yang sakit akan membuatkan diri tidak stabil lalu boleh menyebabkan terjatuh.

* Elakkan terjatuh dengan berjalan di kawasan terang dan berpermukaan rata. Pegang pada penghadang ketika naik atau turun tangga walaupun rasa diri mampu melakukannya tanpa bantuan.

Sentiasa gunakan tangga atau bangku teguh jika perlu mendapatkan sesuatu dari kawasan tinggi.

* Amalkan 'RICE' (Rest, Ice, Compression dan Elevation). Ia baik untuk mengurangkan kesan kecederaan ringan pada lutut atau keradangan akibat artritis. Rehatkan lutut apabila perlu. Letakkan ais untuk mengurangkan bengkak, pakai pembalut mampat dan rehatkan lutut pada paras lebih tinggi daripada pinggang.

* Jangan pandang remeh pada berat badan. Jika mengalami peningkatan berat badan, segera menurunkannya menerusi senaman dan pengambilan makanan seimbang. Ini akan membantu mengurangkan tekanan pada lutut. Tidak perlu sehingga mencapai berat badan ideal. Cukup sekadar untuk tubuh yang lebih sihat.

* Jangan malu menggunakan tongkat ketika berjalan. Berjalan dengan tongkat membantu mengurangkan tekanan pada lutut.

* Pertimbangkan rawatan akupunktur. Teknik perawatan tradisional Cina ini membabitkan tusukan jarum halus pada beberapa titik tumpuan tubuh yang dikenal pasti membantu mengurangkan pelbagai jenis kesakitan.

* Jangan membiarkan kasut memburukkan keadaan. Memakai kasut yang mempunyai lapisan kusyen tambahan dapat membantu mengurangkan tekanan pada lutut. Untuk pesakit osteoartritis lutut, doktor biasanya mengesyorkan lapik dalaman khas yang boleh didapati di kedai kasut khusus.

Jangan tambahkan kesakitan pada lutut. Senaman impak tinggi hanya memudaratkan kesakitan itu. Elakkan senaman seperti berlari, melompat dan kickboxing. Selain itu, elakkan senaman seperti 'lunges' dan mencangkung (squat) kerana ia memberikan tekanan berlebihan pada lutut.

* Dapatkan nasihat pakar perubatan dengan segera. Jika kesakitan di lutut baru dirasai, sebaiknya jumpa doktor. Rawatan awal akan membantu mengelakkan mudarat pada masa depan.

Oleh Nor Faizah Mohamed



 
Chatroom