Home » » Kucing pembawa virus

Kucing pembawa virus

Kucing pembawa virus

Kes pertama kucing membawa virus tibi (tuberkulosis) kepada manusia berlaku apabila wabak berkenaan menyerang tupai tanah spesies belang kelabu dan jalur hitam putih.

Berikutan jangkitan itu, dua individu di United Kingdom (UK) disahkan menghidap batuk kering. Keadaan menjadi lebih teruk apabila sembilan kucing dijangkiti di daerah Home dalam tempoh beberapa minggu.

Enam ekor daripadanya dihapuskan, dua masih hidup, seekor anak kucing berusia 18 bulan digelar Milhouse, dapat melarikan diri.

Tujuh daripada kucing berkenaan mempunyai luka akibat gigitan. Doktor haiwan mengesahkan kemungkinan mereka bergaduh dengan tupai tanah, yang menjadi pembawa.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saintis memberi amaran bahawa kucing boleh menyebarkan tibi kepada pemiliknya, namun ini dipercayai menjadi kes pertama didokumenkan di dunia.

Kucing sakit kronik

Jangkitan itu disebarkan kepada pesakit yang tidak pernah berlaku sebelumnya dalam komuniti kucing di Newbury, Berkshire, UK tahun lalu. Pesakit berkenaan yang dijangkiti memberi tindak balas kepada rawatan.

Kenyataan Pejabat Kesihatan Awam England (PHE) mengkategorikan risiko jangkitan lanjut sebagai `amat rendah'

Tanda amaran itu ditimbulkan doktor haiwan, Dr Carl Gorman, selepas mendapati beberapa ekor kucing termasuk haiwan peliharaannya, Milhouse, mula menunjukkan keadaan kronik paru-paru dan luka yang mencurigakan.

Tibi dalam kalangan kucing jarang berlaku, tidak sampai 25 kes setiap tahun di UK. Tahun lalu, wabak di Newbury tidak pernah dijangka.

Dr Gorman yang juga Pengarah Klinikal di Klinik Haiwan Falkland di Newbury, berkata jangkitan asal dipercayai berpunca daripada wabak tibi lembu yang berlaku di pinggir bandar berkenaan.

Beliau dalam kenyataannya menerusi akhbar Daily Mail, berkata rakannya melihat seekor kucing yang mempunyai luka dan dikhuatiri sebagai tanda jangkitan tibi.

"Banyak kes dilaporkan di sekitar Newbury dengan sekelompok kes dikenal pasti berada di sekitar Greenham Common.

"Ini sesuatu yang luar biasa bagi kucing yang dijangkiti tibi, bagaimanapun ia tidak mustahil," katanya.

Kesan luka tanda jangkitan

Dua lagi pemilik kucing didiagnos dengan `tibi terpendam', yang bermaksud mereka terdedah kepada jangkitan namun tidak menunjukkan sebarang gejala berkaitan.

Beliau berkata, kucing yang masih kecil dan menderita akibat luka terbuka menjadikan risiko jangkitan lebih besar.

"Sebelum haiwan peliharaan ini didiagnos menghidap tibi, pemilik perlu membersihkan luka tanpa memakai sarung tangan atau mengambil langkah berjaga-jaga," katanya.

Dr Gorman, 52, yang memiliki tiga ekor anjing dan empat kucing lain berkata, ketika si comel Milhouse duduk di atas ribanya pada satu hari, dia dapati ada benjolan pada kaki kucing berkenaan.

Beliau berkata, dia cuba merawat Milhouse dan maklum balas yang diberikan sungguh baik, bagaimanapun kucing berkenaan menghilangkan diri.

Prof Noel Smith, dari Agensi Makmal Haiwan dan Kesihatan Haiwan, berkata ujian ke atas ternakan juga mendapati sejumlah kecil ternakan dijangkiti dengan jenis sama M bovis seperti yang menjangkiti kucing terbabit.

Bagaimanapun, hubungan langsung kucing dengan ternakan itu agak mustahil disebabkan sekatan pergerakan.

"Berkemungkinan jangkitan adalah daripada haiwan liar yang dijangkiti, namun penyebaran jangkitan antara kucing kepada kucing tidak dapat dielakkan," katanya.

Rantaian jangkitan daripada ternakan kepada manusia


1) Antara lembu dan tupai tanah - Jangkitan tersebar menerusi udara, air kencing dan bulu. Tupai tanah menandakan kawasan mereka dan lembu meragut rumput.

2) Tupai tanah kepada kucing - Menerusi hubungan langsung termasuk bergaduh, menggigit dan mencakar. Tikus dan tikus air yang masuk ke lubang tupai tanah dimakan kucing.

3) Kucing kepada manusia - Laluan mungkin adalah menerusi luka terbuka atau sentuhan ketika kucing menjilat atau membuang bulu.

SOAL JAWAB


S: Apa itu tibi?

J: Tuberkulosis manusia adalah penyakit menyerang paru-paru hingga membawa maut, satu daripada pembunuh terbesar di dunia. Biasanya dikaitkan dengan kemiskinan dan keadaan tempat tinggal yang daif.

Virus sebahagian besarnya dimusnahkan di Britain menerusi pemberian vaksin BCG, bagaimanapun secara perlahan meningkat semula terutama dalam kalangan pendatang dan mereka yang tidak berumah.

Pada tahun 2012, ada 8,715 kes di UK dengan 261 daripadanya maut. Jangkitan boleh dirawat dengan segera menerusi pemberian antibiotik.

S: Apakah itu tibi lembu?

J: Jenis tibi disebabkan oleh bakteria berbeza daripada tibi manusia iaitu mycobacterium bovis, namun memiliki simptom sama seperti dijangkiti manusia. Dibawa oleh ternakan, tupai tanah dan mamalia kecil. Virus menjejaskan industri ternakan dengan 32,620 lembu disembelih di UK tahun lalu.

Kerajaan cuba mengekang penyebaran penyakit dengan penghapusan tupai tanah.

S: Bagaimanakah virus menyerang kucing?
J: Kucing boleh dijangkiti tibi lembu jika memakan tikus dijangkiti atau interaksi dengan ternakan atau tupai tanah. Kebanyakan kucing di Newbury mempunyai luka kecil dan besar. Ini adalah kesan gaduh dengan tupai atau dengan kucing lain yang dijangkiti.

S: Berapa kerap manusia mendapat tibi lembu daripada kucing?

J: Ini adalah kes pertama yang diketahui kemungkinan disebabkan pemilik kucing menyedut bakteria dikeluarkan haiwan ternakan mereka atau menerusi pencemaran luka yang tidak ditutup pada kulit. Tidak mustahil kucing yang dijangkiti menjilat luka pemilik mereka.

S: Bolehkah manusia mendapat tibi lembu dengan cara lain?

J: Kira-kira 40 orang setiap tahun mendapat tibi lembu, kebanyakannya berusia lebih 65 tahun. Jangkitan aktif dikesan beberapa tahun lalu dengan meminum susu tanpa pasteur. Penghidap lebih muda biasanya dilahirkan di luar UK.

S: Adakah saya berisiko dijangkiti daripada kucing saya?

J: Pejabat Kesihatan Awam UK mengkelaskan risiko itu sebagai `amat rendah', namun memberi amaran kepada pemilik haiwan ternakan supaya melihat tanda jangkitan pada kucing mereka.

S: Apakah tanda tibi pada kucing?

J: Jangkitan tibi pada haiwan ternakan biasanya menyebabkan penyakit kronik. Jika haiwan peliharaan anda dijangkiti, kesannya menunjukkan tanda batuk, nafas berbunyi atau hilang berat badan. Tanda benjol, bengkak bernanah atau luka akibat gigitan yang gagal pulih juga satu tanda jangkitan.

~ Berita Harian



 
Chatroom