Home » » Seni Makan Secara Sihat - Tip Diet Gaya Hidup Sihat

Seni Makan Secara Sihat - Tip Diet Gaya Hidup Sihat

Makan secara sihat dan menyeronokkan. Terdapat banyak yang perlu diterokai mengenai makan secara sihat dan bagaimana ia boleh terus membuatkan keluarga anda teruja dengan sajian baru yang lazat!

Apabila dilengkapkan dengan gaya hidup aktif, anda akan memperoleh banyak manfaat untuk minda dan tubuh anda sepanjang hayat.



Seni makan secara sihat

Terdapat banyak cara untuk menjadikan makan secara sihat menyeronokkan. Kuncinya adalah untuk membabitkan keluarga di dalam perancangan makanan dan memberi peluang kepada mereka untuk memilih apa yang akan dimakan.

Ini secara tidak langsung akan memudahkan mereka menerima diet harian yang lebih sihat.

Pentingkan kepelbagaian

Kepelbagaian bukan sahaja menjadikan waktu makan keluarga lebih menarik, malah turut disyorkan pakar pemakanan.

Kepelbagaian membolehkan anda sekeluarga memperoleh manfaat daripada nutrien berbeza yang terkandung dalam makanan berbeza, di dalam jumlah yang berbeza.

Belilah dengan bijak

Setelah selesai merancang menu mingguan anda, sediakan satu senarai membeli-belah yang mengutamakan kesihatan serta kesegaran makanan dan bukannya makanan yang diproses.

Bawa anak-anak anda bersama dan biarkan mereka bantu anda memilih barangan yang ingin dibeli. Ini menjimatkan masa anda mencari barangan dan mengurangkan risiko terlupa membeli sesuatu.

Babitkan seisi keluarga

Memasak boleh menjadi satu lagi pengalaman menyeronokkan untuk seisi keluarga. Terokai kaedah memasak yang lebih sihat seperti membakar atau memanggang daripada hanya menggoreng bagi setiap hidangan.

Hidangan anda bukan sahaja berasa lazat, tetapi mungkin lebih lazat dan anda dapat mengurangkan pengambilan lemak dan minyak untuk seisi keluarga.

Ingatlah, makanan berperisa tidak semestinya bergantung pada minyak atau garam sahaja. Kurangkan penggunaan garam dengan menggunakan herba dan rempah ratus sebagai pilihan yang lebih sihat.

Babitkan anak-anak anda untuk membantu di dapur tetapi ingat untuk menjauhkan mereka daripada perkakas dapur yang tajam dan cecair panas. Jadilah keluarga yang kreatif.

Jadi kreatif

Kini setelah mendapat asas yang diperlukan, tiba masanya untuk menggunakan kreativiti anda. Terdapat banyak jenis masakan berbeza daripada pelbagai budaya dan banyak resipi yang boleh didapati daripada Internet, rancangan masakan televisyen ataupun buku resipi.

Ubah resipi ini supaya lebih sihat. Lama kelamaan, ahli keluarga anda akan mula pulang lebih awal kerana mereka tidak sabar untuk menikmati hidangan baru yang sihat serta lazat.

Anda akan kerap mendengar, "Apa hidangan makan malam hari ini?" Anda juga berpeluang menghabiskan masa berborak bersama keluarga sambil menikmati hidangan lazat anda.

Tubuh lebih sihat sepanjang hayat

Pemakanan yang baik sahaja masih tidak mencukupi, ia perlu dilengkapkan dengan aktiviti fizikal harian. Aktiviti fizikal yang kerap boleh membawa banyak manfaat kesihatan yang akhirnya akan menjadikan seisi keluarga anda sihat secara fizikal dan mental.

Bukan itu sahaja, ia menyeronokkan dan akan merapatkan hubungan keluarga. Jika dilakukan dengan betul, anda juga boleh menjadikan kerja rumah sebagai aktiviti keluarga yang menyeronokkan. Berikut beberapa cara untuk membantu anda memulakannya.

Mulakan dengan anak-anak anda

Kanak-kanak perlukan lebih banyak aktiviti fizikal berbanding orang dewasa kerana mereka sedang membesar. Bawa mereka ke taman berdekatan dan biarkan mereka bebas berlari (tetapi masih di bawah pemerhatian anda).

Anda juga boleh menyertai mereka kerana mereka suka bermain bersama anda. Tambahan lagi, ia bagus untuk kesihatan.

Bersenam secara berkumpulan

Senaman bersama keluarga adalah masa sihat bersama yang akan menguatkan ikatan kekeluargaan. Cuba aktiviti baru atau lebih mencabar seperti berjalan kaki atau mengembara di dalam hutan. Tidak lama lagi, anak-anak anda tidak sabar menantikan hujung minggu dan tidak akan lagi tidur sepanjang hari.

Sememangnya banyak aktiviti fizikal yang menyeronokkan, gunakan kreativiti anda.

Galakkan sumbangan idea daripada keluarga

Galakkan ahli keluarga anda menyumbang idea mengenai apa yang ingin dimakan atau aktiviti semasa hujung minggu dan mereka pasti akan memberi anda idea untuk pelbagai makanan hebat serta cadangan makanan yang menyeronokkan.

Jika pembantu rumah yang menyediakan makanan di rumah anda, pastikan anda memberinya arahan mengenai cara menyediakan hidangan yang sihat.

Perkara penting yang perlu diingat adalah pastikan anda semua bergembira dan bertenaga serta bersama mencapai matlamat yang diingini supaya setiap ahli keluarga akan menghargai kehidupan yang lebih sihat serta lebih bermakna. Tunggu apa lagi, mulakan dari sekarang!

*Artikel ini adalah sumbangan Persatuan Pemakanan Malaysia, disokong oleh Nestle Products Sdn Bhd.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.nutriweb.org.my atau hubungi Nestle Products Sdn Bhd di talian bebas tol 1 800 88 3433 atau www.nestle.com.my



Affiliates

 
Chatroom