Home » » » Khasiat spirulina untuk kesihatan

Khasiat spirulina untuk kesihatan

Spirulina dikategorikan sebagai tumbuhan alga yang berwarna hijau kebiruan. Ia adalah suplemen yang popular di Jepun dan dipasarkan sebagai nutrisi tambahan di Amerika Syarikat. Perubahan cara pemakanan dan gaya hidup moden mungkin mendorong kebanyakan kita atau masyarakat moden amnya yang perlukan sokongan makanan tambahan untuk melengkapkan keperluan tubuh.

Pemakanan kita hari ini selalunya mengikut selera makan, manakala pengaruh iklan juga turut memberi sumbangan yang besar dalam menentukan pilihan makanan. Kesannya, ramai yang mengambil makanan segera dan makanan sedia proses yang tinggi dengan lemak, karbohidrat dan gula serta kurang sayuran semula jadi dan fiber.

Makanan sebegini akan meningkatkan berat badan dan paras kolesterol, menjejaskan sistem pencernaan dan seterusnya membawa kepada masalah kesihatan pada masa akan datang.

Spirulina organik dikenali sebagai makanan lengkap kerana ia mengandungi hampir semua jenis nutrien. Ia juga kaya dengan sumber protein yang senang dicernakan, selain mengandungi klorofil, karotenoid, mineral, asid gama linolenik (GLA) dan pigmen tumbuhan yang unik.

Protein diperlukan untuk membina dan membaiki otot dan tisu. Ia juga digunakan sebagai sumber tenaga ketika latihan atau senaman yang memerlukan daya ketahanan. GLA penting untuk pelbagai jenis masalah kesihatan seperti ekzema atopik, sensitiviti hormon dan masalah inflamasi.

Spirulina organik mengandungi vitamin dan mineral yang bermanfaat seperti vitamin B dan mineral seperti zat besi, kalsium dan magnesium yang penting untuk metabolisme tenaga, fungsi aktiviti enzim yang normal, kesihatan sistem saraf serta pengecutan dan pengenduran otot untuk mengekalkan fungsi yang normal.

Siapakah yang memperoleh manfaat daripada pengambilan organik spirulina? Spirulina sesuai untuk warga tua yang biasanya tidak dapat menyerap dan mengguna sepenuhnya nutrien penting dalam makanan. Spirulina dengan sel dinding yang lembut, lebih mudah dicerna, membolehkan kandungan nutriennya diserap dan digunakan oleh badan.

Spirulina kaya dengan sumber protein. Oleh itu, ia juga sangat sesuai untuk kanak-kanak yang sedang membesar dan juga orang dewasa untuk bekalan tenaga.

Untuk mereka yang ingin menjaga berat badan, spirulina yang rendah lemak, kalori dan tanpa kolesterol sesuai digunakan untuk mengawal berat badan secara semula jadi. Di samping itu, kandungan klorofilnya yang tinggi pula membantu menyahtoksik.

Spirulina juga membantu menampung keperluan mineral penting seperti magnesium, kromium dan vitamin B12 dan mungkin juga bermanfaat untuk membantu memperbaiki penggunaan glukosa di kalangan pesakit diabetes.

Di samping itu, spirulina membantu membekalkan zat besi, magnesium dan mineral mikro kepada mereka yang mengalami kekurangan zat besi.

Untuk pelajar atau individu yang sibuk bekerja, mereka biasanya kurang mendapat hidangan makanan yang berkhasiat. Memandangkan spirulina juga kaya dengan vitamin B termasuk tiamin dan riboflavin yang diperlukan untuk metabolisme karbohidrat dan lemak untuk menghasilkan tenaga. Oleh itu, spirulina adalah sangat sesuai untuk membekalkan tenaga dan nutrien penting ketika tubuh memerlukan prestasi yang optimum.


Vegetarian berkecenderungan mengalami kekurangan zat besi, kalsium, vitamin B12, zink dan protein. Dengan itu, pengambilan spirulina akan membantu membekalkan nutrien yang lebih menyeluruh.

Spirulina juga membekalkan tenaga berpanjangan untuk golongan atlit yang inginkan daya ketahanan yang tinggi kerana spirulina mengandungi asid amino yang juga diperlukan untuk membaik pulih tisu selepas senaman.

Untuk mereka yang sedang pulih daripada pembedahan ataupun kecederaan. Spirulina membantu memperbaiki sel dan dan mungkin memberi faedah kepada proses pemulihan.



Affiliates

 
Chatroom