Aspek komunikasi dan penyebaran maklumat bukan saja dilihat berlaku secara lisan, malah boleh disebarkan dengan cepat dan pantas secara maya (virtual) melalui internet atau khidmat pesanan ringkas (SMS).
Penciptaan alat komunikasi secara maya ini mempunyai banyak faedah jika digunakan dengan betul dan baik. Namun, ia menuntut suatu disiplin, tatacara dan tanggungjawab pengguna supaya kemajuan tidak disalahgunakan untuk menyebar perkara tidak benar atau palsu.
Tidak dinafikan peralatan canggih itu hari ini turut disalah guna bagi menyebar pelbagai maklumat palsu, sesat dan fitnah secara bebas tanpa ada rasa tanggungjawab. Tambahan pula, sukar sekali untuk mengesan pihak melakukannya.
Dilihat kesannya terhadap masyarakat, sama ada melalui perhubungan secara lisan atau saluran teknologi maklumat (IT), kedua-duanya sama tahapnya. Jika secara lisan maklumat boleh dimanipulasi dan dikelirukan, begitulah juga melalui IT.
Untuk menilai kesahihan berita yang disebarkan, al-Quran sudah meletakkan garis panduan. Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menampakkan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Allah SWT sudah memberi peringatan dan mengajar semua umat Islam supaya meneliti dan menyelidik terlebih dulu berita yang disampaikan oleh orang fasik kepada mereka. Tidak kira sama ada berita itu disampaikan secara lisan atau melalui internet.
Seseorang mukmin dilarang tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita disebarkan atau jangan terlalu cepat pula menafikannya sebelum membuat penelitian serta penyelidikan terhadap kebenaran berita itu. Ini semata-mata untuk mengelak daripada melakukan kesalahan di atas kesamaran.
Sebab penurunan ayat itu ada hubung kait dengan berita dibawa oleh al-Walid bin 'Uqbah bin Abu Mu'it. Ahmad bin Hanbal, meriwayatkan bersumberkan daripada al-Harith bin Dirar al-Khuza'iy, yang berkata, "Aku bertemu Rasulullah SAW, Baginda mengajakku supaya memeluk agama Islam. Aku menerima ajakan (dakwah) Rasulullah SAW itu dengan memeluk agama Islam. Kemudian Rasulullah SAW mengajakku supaya mengeluarkan zakat, dan aku menerima ajakan itu. Aku berkata lagi: Aku perlu pulang kepada kaumku terlebih dulu, untuk mengajak mereka supaya sama-sama memeluk Islam dan mengeluarkan zakat. Sesiapa yang menerima ajakanku itu, aku akan memungut zakat daripadanya. Wahai Rasulullah SAW apabila sudah cukup tempoh, maka hantarlah utusan untuk mengambil zakat yang telah dipungut itu."
Apabila al-Harith selesai memungut zakat dan tempoh ditetapkan sudah tiba, maka Rasulullah SAW mengutuskan al-Walid bin 'Uqbah bin Abu Mu'it kepada kaum Bani Mustaliq untuk memungut zakat daripada mereka.
Dalam perjalanan menuju perkampungan Bani Mustaliq itu, al-Walid merasa takut dan gentar. Lalu al-Walid bergegas pulang sebelum sempat sampai ke perkampungan Bani Mustaliq dan membawa berita palsu kepada Rasulullah SAW bahawa al-Harith enggan menyerahkan hasil kutipan zakat itu, malah mengambil tindakan untuk membunuhnya.
Kemudian Rasulullah SAW mengutuskan utusannya kepada al-Harith untuk memastikan kebenaran berita yang disampaikan oleh al-Walid. Dalam perjalanan, utusan Rasulullah SAW itu bertemu dengan al-Harith dan rombongannya yang sedang menuju kepada Rasulullah SAW Dalam pertemuan itu, al-Harith bertanya kepada utusan itu, "Kepada siapakah kamu semua diutuskan. Mereka menjawab: Kepadamu. Al-Harith bertanya lagi: Mengapa kamu diutuskan ke-padaku? Mereka menjawab: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengutuskan al-Walid bin `Uqbah kepadamu untuk mengambil hasil kutipan zakat. Dia berkata bahawa kamu enggan menyerahkan zakat, bahkan bertindak akan membunuhnya. Lantas al-Harith berkata: Tidak! demi Allah yang mengutus Muhammad dengan kebenaran, aku tidak melihat al-Walid pun dan dia tidak datang kepadaku."
Apabila al-Harith dan rombongannya tiba di hadapan Rasulullah SAW, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Kamu enggan menyerahkan hasil kutipan zakat dan cuba membunuh utusanku. Maka al-Harith berkata: Tidak! Demi Allah yang mengutus engkau dengan kebenaran, aku tidak berbuat demikian. Maka turunlah ayat 6, surah al-Hujurat)." (Ibn Kathir)
Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Menyelidiki dengan tenang adalah daripada Allah dan tergopoh-gapah (itu) adalah daripada syaitan." (Al-Tabariy).
Oleh Mohd Shukri Hanapi
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...