Air bukan sekadar diminum atau penyucian fizikal semata-mata. Dalam konteks moden, air digunakan untuk pembangunan ekonomi, terutama dalam bidang pertanian industri. Jika diungkapkan secara lebih meluas, air juga sangat penting dari segi diplomasi dan politik setempat atau serantau.
Namun, tidak ramai cuba memahami air dari perspektif pembangunan modal insan atau falsafah hidup. Realitinya air dianggap sumber kehidupan, kemudahan awam atau penjanaan kekayaan semata-mata. Dengan kata lain, peranan air tidak dilihat penting dari segi kemajuan sahsiah, intelektual apatah lagi kerohanian.
Bagi orang Islam, air sumber utama penyucian diri menerusi mandi wajib atau wuduk. Kualiti air terbaik ialah air mutlak yang suci dan menyucikan. Kejernihan rohani hanya dapat dicapai menerusi kejernihan, kebersihan dan ketulenan air mutlak. Itu sebabnya konsep air mempunyai kedudukan penting sehingga menjadi antara satu bab terawal dalam ajaran fikah. Yang pasti tentu ada hikmahnya sehingga air zam-zam mempunyai kualiti terbaik, seperti hadis Rasulullah SAW diriwayatkan Ibnu Abbas yang bermaksud: "Sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam-zam".
Justeru, air dari segi peranan mempunyai pengertian tersendiri, melebihi penyucian fizikal seperti menghilangkan najis, bau atau sekadar menyegarkan tubuh setiap pagi dan petang. Hal ini juga selalu disorot dalam konteks penyucian rohani menerusi konsep sentiasa berada keadaan berwuduk atau amal salih dengan menyediakan sumber air kepada masyarakat seperti hadis sahih daripada Anas r.a menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Ada tujuh pahala yang tetap diterima oleh seseorang itu apabila dia mati kelak, iaitu orang mendirikan masjid dan terus digunakan orang ramai sebagai tempat ibadah; orang mengalirkan air sungai selagi orang tetap menggunakannya; orang menulis mushaf selagi masih ada orang membacanya; orang menggali perigi selagi ada orang memanfaatkannya; orang menanam tumbuhan selagi ada yang memakan buahnya sama ada manusia atau binatang; orang mengajarkan ilmunya selagi ilmu itu diamalkan mereka mempelajarinya dan orang meninggalkan anak salih dan anak itu sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua-dua orang tuanya".
Hadis ini menjelaskan tiga golongan manusia yang mendapat pahala secara berterusan, biarpun sudah meninggal dunia, iaitu mereka yang membina rumah ibadah, membangunkan modal insan menerusi kepakaran dalam bidang penulisan serta pendidikan dan mereka melestarikan alam sekitar dengan memulihara sungai, sumber air serta tumbuhan.
Selain itu, air juga perlu difahami dari segi falsafah hidup dan pembangunan insaniah secara menyeluruh. Dalam pemikiran Melayu Islam, peranan air begitu menyerlah seperti terungkap menerusi pepatah dan bidalan. Ia membabitkan budaya hidup, semangat kekitaan, nasihat dan pedoman yang sangat bermakna, tepat dan ringkas.
Hakikatnya pemikiran Melayu Islam menjadikan air sebagai instrumen pengajaran sangat berguna. Itu sebabnya bidalan Melayu penuh dengan kalimat suci dan hikmah. Oleh kerana hikmah itu adalah air mandi atau lumrah dalam konteks Melayu Islam, khususnya dari segi pembentukan jati diri dan kekuatan budaya.
Mana sungai yang tidak berhulu? Seseorang mesti ada asal-usulnya sehingga jati diri seseorang mempunyai kaitan sangat akrab dengan persekitaran budaya dan rumpun masyarakat biarpun mereka telah jauh berkelana. Tetapi kita sering diingatkan bahawa air dicincang tidak akan putus, bahawa tautan darah, persaudaraan dan rumpun bangsa tidak akan hilang walaupun ada yang cuba menafikannya.
Secara zahir kita sering berbeza, termasuk pemikiran dan gaya hidup, sesuai dengan fitrah insaniah sebagai salah satu tanda mengenai kebesaran Allah SWT yang mencipta makhluk dengan penuh kepelbagaian, namun sumber kekuatan adalah perpaduan. Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Itu sebabnya ajaran Islam yang menjadi teras pemikiran dan jati diri Melayu meletakkan kerjasama dan semangat berpasukan sebagai suatu kemestian membentuk barisan padu, bagai aur dengan tebing.
Mereka yang tidak bekerjasama dan hanya mementingkan diri sendiri diumpamakan seperti kera sumbang. Sering mereka mendapat bahana, karam tidak berair. Memang kebaikan dan keburukan itu jelas, seperti minyak dengan air. Justeru, kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa kebaikan perlu diraikan dan dilaksanakan sebaiknya. Air setitik dilautkan, tanah seketul digunungkan.
Oleh Dr Zaini Ujang
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...