Home » » Halaqah Sentuhan Qalbu (HSQ),TV9

Halaqah Sentuhan Qalbu (HSQ),TV9

Halaqah Sentuhan Qalbu (HSQ) yang disiarkan TV9 berjaya mencatat jumlah penonton yang besar. Siapa sangka, rating untuk program dihoskan Mohd Noor Sulaiman itu mencecah 4.3 juta penonton bagi musim pertama.

HSQ2 akan menemui penonton sebanyak 13 episod. Berdasarkan tema Nota Kehidupan, beberapa topik seperti Litar Taubatku, Balung Ayam dan Tiang Baru memberi peluang kepada penonton berkongsi kisah benar.

Berbekalkan teknik melihat, mendengar dan merasa, HSQ2 kali ini mengetengahkan pengakuan tetamu jemputan dalam setiap episod mengenai kisah kehidupan silam yang pernah dilalui mereka. Pernahkah anda mendengar pengakuan ibu yang mendera anaknya?

Sejauh manakah keberanian ibu itu tampil untuk menceritakan kelemahannya demi mendapat nasihat daripada mereka yang pakar? Tentunya tidak ramai yang berani muncul membuat pendedahan ikhlas itu untuk dikongsi dengan masyarakat sebagai iktibar.

Selaku penerbit HSQ2, Mohd Noor berkata, tema Nota Kehidupan ini dipilih bukanlah bertujuan untuk mendapat nama atau publisiti semata-mata. Tetapi, ia sekadar ingin berkongsi pengalaman dan bagaimana individu itu tersedar mengenai kesilapan pernah dilakukan.

"Selama satu jam, penonton akan diperdengarkan dengan kisah silam manusia yang akhirnya kembali ke pangkal jalan. Justeru, pastinya emosi seperti sedih, terkejut dan sayu tak dapat dielakkan kerana mereka akhirnya berubah demi mencari keredaan Tuhan.

"Menerusi HSQ2 juga penonton akan diperdengarkan kisah seorang suri rumah dan ibu yang mempunyai dua karakter. Ia berpunca daripada kisah kehidupan silamnya ketika kecil yang dibenci ibu kandung sendiri dan menjadi mangsa dera.

"Tragedi silam yang dilalui itu menyebabkan wanita ini tidak tahu erti kasih sayang. Apabila berkahwin dan mendapat anak, peristiwa silam membayangi diri dan membuatkan dia terdorong melakukan perkara sama terhadap anak kandungnya sendiri.

"Wanita itu berasakan wujud dua sifat berlainan dalam dirinya iaitu sifat ibu kandung dan keperibadian sebenar. Justeru, timbul konflik dalam jiwanya yang berusaha mencari jalan keluar. Tidak terkecuali, kisah benar mengenai seorang pelajar pintar," katanya.

Menurut Mohd Noor, pelajar dikenali Mohd Nurul Imran Koyube yang kini berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif, dulunya ketika menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) enggan berkongsi ilmu dan kepandaiannya dengan membantu orang lain.

"Pemuda ini takut sekiranya orang dibantu itu lebih bijak daripadanya. Sikap negatif Mohd Nurul Imran tidak disenangi sahabatnya. Namun suatu hari, dia tersedar dengan kesilapan itu dan berasa amat bersalah. Kini, dia bersedia berkongsi segala kelebihan yang dimilikinya.

"Bahkan, berteraskan niat murni itu pada usia 23 tahun, Mohd Nurul Imran kini seorang yang berjaya. Menerusi topik Pelajar Nombor 1, penonton akan mengetahui kisah silam itu yang diharapkan dapat memberi jalan dan membuka mata golongan remaja," katanya.

Ditanya apakah dengan mengundang individu yang sudah insaf ini ke studio berkongsi cerita ibarat membuka aib mereka, Mohd Noor berkata, pihak penerbitan tetap peka dengan sensitiviti dan semestinya perkara yang mengaibkan takkan sesekali dibincangkan.

Katanya, setiap soalan yang ditanya sudah dinilai lebih dulu. Justeru, tiada sebab untuk menyinggung sesiapa kerana matlamat HSQ2 untuk berkongsi kisah dan menyuntik keinsafan. Berdasarkan kisah diketengahkan, ia diharap dapat memperbaiki diri supaya lebih fokus dan positif.

Semua topik perbincangan akan diperkukuhkan lagi dengan ayat al-Quran. Bahkan, program ini juga turut mengekalkan konsep menampilkan seorang ahli panel terpilih dan jurulatih kecerdasan, emosi dan spiritual daripada ESQ Leadership Training Centre.

Tidak semua orang sudi berkongsi setiap pengalaman dan keperitan masa silam mereka secara terbuka. Namun HSQ2 berjaya menemui 13 tetamu undangan yang berani dan berkeyakinan supaya pengalaman mereka dapat dijadikan iktibar bersama.



 
Chatroom