Home » » Kesilapan fesyen wanita berusia 30 tahun ke atas

Kesilapan fesyen wanita berusia 30 tahun ke atas

Angka 30 sering menjadi kebimbangan di kalangan wanita dan biasanya wanita golongan ini mula resah memikirkan perubahan pada penampilan mereka.

Kesilapan yang biasa dilakukan di kalangan wanita berusia 30 tahun ke atas adalah mereka masih cenderung bergaya seperti remaja dengan baju berpotongan terlalu pendek dan ketat.

Berikut beberapa tip yang boleh dijadikan panduan bagi wanita golongan ini kala mencari busana yang sesuai.


Skirt

Skirt pendek sememangnya tidak sopan digayakan secara terbuka oleh wanita berusia 30 tahun ke atas kerana ia seolah-olah menunjukkan mereka masih belum matang.

Bagi usia sebegini, skirt paras lutut lebih sesuai dan tampak manis serta mampu memperlihatkan sisi feminin mereka. Pilih rona polos jika ingin dipadankan bersama blaus bercetak.

Seluar

Bagi sesiapa yang usianya menginjak 30 tahun, sama ada lelaki atau wanita, zaman seluar jean koyak sudah berlalu dan sama sekali tidak sopan digayakan.

Ia mungkin melekap cantik ketika anda berusia awal 20-an, tetapi ia membuatkan anda tampak selekeh jika memakainya pada usia sebegini. Jika ingin membeli seluar jean, pilih potongan dan rekaan klasik.

Dapatkan juga beberapa pasang seluar jenis khaki yang boleh digayakan bersama blaus atau kemeja-T.

Kemeja

Kemeja-T kasual, vintaj atau lusuh memang kelihatan trendy untuk golongan remaja dan wanita muda. Seperti seluar jean koyak, ia hanya akan membuatkan wanita dalam golongan usia 30 tahun ke atas seperti ‘menjerit meminta perhatian’ - tetapi bukan perhatian yang sepatutnya!

Ya, apa yang tertera pada kemeja-T mampu menterjemahkan personaliti seseorang, jadi pilih corak atau tulisan yang tidak keterlaluan.

Aksesori

Tidak dinafikan penggunaan aksesori amat penting dalam menata gaya berbeza pada setiap busana. Kunci utamanya ialah pemilihan aksesori yang mampu menyerlahkan lagi busana yang digayakan.

Apabila mengenakan busana polos, padankan dengan aksesori sarat sama ada beberapa juraian rantai atau secekak gelang dempak. Lakukan sebaliknya jika busana sarat dengan corak. Minimumkan penggunaan aksesori.



 
Chatroom