Home » » » Khasiat teh hitam untuk kecantikan dan kesihatan

Khasiat teh hitam untuk kecantikan dan kesihatan

Minum teh hitam sama ada pagi atau petang bukan saja memberikan kesegaran dan disukai ramai, tetapi membawa beberapa kebaikan, khususnya dalam penjagaan kecantikan seperti mana teh hijau.

Penggunaan teh hitam untuk rawatan dan penjagaan kecantikan sesuai digunakan untuk semua wanita. Malah, penggunaannya bukan saja untuk merawat dan menjaga tubuh atau kulit wajah saja tetapi kompleks iaitu dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.


Antara keberkesanan utama teh hitam ialah merehatkan minda dan fizikal, meredakan tekanan serta mengembalikan kesegaran kulit.

Teh hitam kaya dengan antioksidan dikenali flavonoids yang membantu menangani masalah berpunca daripada radikal bebas seperti masalah sakit jantung, barah dan penuaan.

Khasiat itu sudah pun terbukti sahih dan sudah banyak dicatatkan dalam beberapa jurnal sains penyelidikan yang dilakukan pakar serata dunia. Selain mengambil teh hitam sebagai minuman, ia juga boleh digunakan sebagai penyental atau pupur untuk menyegarkan kulit. Teh hitam yang sudah dihancurkan dan dibancuh dengan beberapa bahan lain seperti krim pelembap boleh dijadikan pupur serta disapukan rata dan di urut pada kulit wajah mahupun seluruh tubuh. Amalan itu boleh membantu anda memiliki kulit yang mulus dan halus.

Antioksidan bersama vitamin E yang ada dalam teh akan membantu menanggalkan sel kulit mati, manakala dengan kaedah urutan yang lembut dan betul, khasiatnya akan terus meresap ke dalam kulit dan melancarkan perjalanan darah serta membuatkan kulit berseri dan sihat.

Jika ingin mengecapi kenikmatan manfaat teh hitam mengembalikan kesegaran tubuh, rasakan pengalaman mandi teh dalam tab mandian.

Pertama sekali, sapukan tubuh anda dengan krim susu dan sebaik saja ia meresap ke dalam kulit, bolehlah berendam dalam tab mandian yang berisi air teh hitam selama 20 minit. Detik itu akan membuatkan perasaan anda dibuai rasa nyaman dan rehat yang cukup menyenangkan manakala minda berserabut perlahan-lahan kembali segar.

Begitu juga untuk wajah, jika ada jerawat timbul cara mudah untuk atasi ialah merendamkan uncang teh hitam dalam air panas selama beberapa minit.

Tanggalkan uncang berkenaan dan ketika masih panas letakkan teh itu terus pada bahagian kulit wajah yang tampak cela, antara lima hingga 10 minit. Jangan bilas teh yang diletakkan pada tanda cela itu kerana ia akan berterusan `memerangi' masalah itu sepanjang hari.

Teh hitam juga amat ajaib sebagai astringen atau bahan yang boleh mengecutkan tisu dan saluran darah bagi pengawalan pengaliran darah. Apa yang perlu anda lakukan ialah bancuh air teh dan percikkan pada wajah sama ada dalam keadaan air teh itu sejuk atau suam. Mudah sekali untuk melakukannya dan paling penting, wajah anda turut berasa segar.

Cara lain yang boleh dibuat bagi menyegarkan wajah dan tampak muda ialah mencampurkan daun teh yang sudah diramas ke dalam krim wajah. Kemudian, urut perlahan-lahan wajah mengikut teknik putaran yang betul.

Kelebihan lain teh hitam dalam meningkatkan kecantikan dan penampilan ialah membantu anda rambut yang cantik, tampak hitam dan berkilauan meskipun kesannya tidak lama ia mampu meningkatkan daya penampilan.

Syampu rambut seperti biasa, kemudian bilas dengan air biasa. Seterusnya, bilas dengan air teh hitam yang sudah direndam. Biarkan sekurang-kurangnya lima minit dan perah air daripada rambut. Keringkan rambut secara semula jadi dan anda boleh perbezaannya.

Bagi yang mempunyai bahagian bawah mata yang gelap dan sembab atau berasa pancaindera itu amat letih, boleh juga memanfaatkan teh hitam. Caranya begitu mudah iaitu dengan meletakkan uncang beg teh hitam pada bahagian berkenaan dan jangan terkejut, masalah itu dapat diatasi dengan cepat. Kaedah itu bukan saja membuatkan mata segar tetapi turut membantu melambatkan timbulnya garis-garis halus pada bahagian bawah mata.

Selain itu, teh hitam boleh `menyelamatkan' keadaan kaki anda yang berasa letih atau tertekan terutama apabila berjalan jauh. Isikan air suam dalam bekas dan campurkan air teh hitam. Rendamkan kaki anda antara 10 hingga 20 minit dalam air teh itu. Oleh kerana teh juga mempunyai antifungus, rendaman itu turut membantu anda memiliki kaki yang cantik dan sihat.

Terlalu banyak kelebihan yang ada pada teh hitam dan cara yang diamalkan juga amat mudah, murah serta boleh dilakukan semua orang. Sesekali menggunakan sumber alami untuk merawat dan menjaga kecantikan memang baik kerana lebih selamat dan yang penting ia turut memberikan hasil memuaskan.

Antara kelebihan teh hitam untuk kecantikan

* Melembapkan bibir

Gunakan uncang teh untuk membersihkan bibir selama lima minit dan bibir tidak perlu dibilas.

* Mengatasi bau mulut

Teh juga digunakan untuk mengatasi bau mulut. Caranya ialah menjadikan teh sebagai ubat berkumur.

* Menyejukkan kulit

Mendinginkan kulit yang terbakar sinar matahari. Caranya ialah dengan merendamkan beberapa uncang teh dan biarkan sejuk setelah itu tampal uncang teh pada bahagian terbakar sinar matahari.

* Mengatasi luka bakar ringan

Caranya sama untuk mengubati kulit terbakar sinar matahari iaitu dengan merendam satu uncang teh dan biarkan sejuk. Serta tampalkan pada bahagian yang terbakar.

* Mengatasi uban

Caranya rendam tiga uncang teh dalam satu cawan air mendidih. Tambahkan satu senduk makan rosemary yang dikeringkan. Biarkan semalaman dan tapis. Untuk menggunakannya ialah seperti menyapu syampu rambut seperti biasa, lalu tuangkan campuran teh pada rambut. Pastikan semua rambut dibasahi teh. Selepas semua dibasahi oleh teh, jangan dibilas dengan air tetapi keringkan dengan tuala. Lakukan beberapa kali untuk mendapatkan hasil yang diinginkan.

* Meredakan gusi berdarah

Jika gusi anak berdarah kerana gigi sulungnya patah, hentikan pendarahan dan redakan sakit dengan cara, basahi uncang teh dengan air sejuk. Tekankan langsung pada bahagian yang berdarah.



 
Chatroom