Drama Wasiat telah diadaptasi dari telenovela Argentina, Herencia De Amor dan akan disiarkan setiap Rabu, jam 10 malam bermula 27 Julai 2011 ini.
Sinopsis Drama Wasiat
Drama Wasiat bermula apabila seorang hartawan Agus Raizal meninggal dunia akibat serangan jantung, selepas, apa yang disangka khalayak ramai, perkahwinan kedua beliau. Shark fikir Agus akan meninggalkan semua harta Agus kepadanya, kerana dia satu-satu anak Agus. Marina merasakan apabila dia berkahwin dengan lelaki tua itu, dia akan memiliki semua kekayaaan yang dicari-carinya selama ini
Tidak terlintas di fikiran mereka yang Agus mempunyai perancangan yang hebat untuk mereka. Walaupun dia telah meninggal dunia, dia masih mampu memperdayakan mereka. Dalam wasiatnya, mereka perlu tinggal sebumbung dan bekerjasma bagi memajukan salah satu daripada perniagaannya sebelum segala hartanya dibahagikan.
Perkara ini menyusahkan Shark dan Marina yang menginginkan harta tersebut untuk diri mereka sendiri. Sementara mereka bertungkus-lumus menjatuhkan sesame sendiri, Sofiyan anak Cik Ros dibiarkan bersendirian meratapi kematian Agus. Sofiyan mempunyai karisma anak lelaki yang Agus impikan. Agus sentiasa melayan Sofiyan seperti anaknya sendiri, dimana Shark merasa jauh hati atas tindakan bapanya. Shark inginkan kasih sayang daripada Agus tetapi dia tidak faham kenapa dia diketepikan.
Kebencian Shark terhadap Sofiyan menjadi lebih teruk apabila teman wanita Shark, Hanna mula mencintai Sofiyan. Sofiyan dan Shark akan bergaduh antara satu sama lain untuk mendapatkan Hanna dan harta. Bagi Shark, ia tentang kuasa dan wang manakala bagi Sofiyan, ianya kerana kasih sayang dan tanah yang mereka duduki sebagai satu keluarga. Sayangnya, perkara sebenar tentang diri mereka tidak mereka ketahui.
Pelakon utama drama Wasiat dibintangi oleh Farid Kamil, Yasmin Hani, Beto Kusyairi dan Sara Ali.
Komen Pengarah Faisal Ishak
"Saya rasa dengan cara ini, stail drama bersiri Melayu akan sedikit berbeza dan menarik. Ini cabaran sayalah bagaimana nak adaptasikannya dari telenovela luar negara kepada drama tempatan.
"Jadi ianya tidaklah diadaptasikan seratus peratus dari telenovela tersebut dan hanya enam puluh peratus sahaja saya adapatasikan. Konflik-konfilk juga banyak berlaku dalam Wasiat.
"Selain elemen kekeluargaan banyak elemen yang lebih teknikal yang saya terapkan dari telenovela tersebut ke drama bersiri ini," jelas Faisal.