Home » » Ain,Nash kongsi pengalaman kurangkan berat badan

Ain,Nash kongsi pengalaman kurangkan berat badan

Pengalaman mengurangkan berat badan

Bengkak pada ibu jari kaki yang dialaminya tujuh tahun lalu menjadi petanda awal bahawa kesihatan dirinya dalam keadaan bahaya.

Cerita Mohd. Nashriq Othaman, pada awalnya dia hanya terfikir bahawa kakinya bengkak mungkin disebabkan terjatuh atau tersepak sesuatu.

Namun, selepas menjalani pemeriksaan doktor, berita yang diterima cukup mengejutkan. Dia disahkan menghidap penyakit gout.

Gout sejenis penyakit yang menyerang sendi secara berulang-ulang. Serangan tersebut boleh berlaku secara akut atau kronik.

Mohd. Nashriq yang lebih mesra dengan panggilan Nash, 27, mengakui, dia seorang yang kuat makan, perokok tegar dan tidak gemar bersukan. Tiga tahun lalu, dia terpaksa berkaki ayam ke hospital kerana kakinya terlalu sakit.

pengalaman kurangkan berat badan

Dengan ketinggian 180 sentimeter (sm) dan berat yang melebihi 160 kilogram (kg), dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk berjumpa doktor.

“Sakitnya hanya Allah yang tahu. Pada saat itu, saya rasa menyesal dan berfikir tentang masa depan,” luahnya ketika ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Ketika menatap gambar lama dan dirinya sekarang, saiz badan graduan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia ini berubah hampir separuh daripada saiz asal.

Mengimbau kembali zaman kecomelannya, pemuda ini pernah terfikir untuk menurunkan berat tatkala melihat rakan-rakan begitu mudah membeli-belah pakaian tanpa risau dengan saiz pakaian yang dipilih.

Menurut anak jati Perlis ini, dia memiliki tubuh yang besar sejak zaman kanak-kanak. Mengakui faktor pemakanan sebagai punca utama tubuhnya menjadi dua kali ganda, dia agak sukar mengawal nafsu makan.

Nash yang kini bekerja sebagai seorang jurutera memberitahu, pada zaman kanak-kanaknya dia tidak akan ke sekolah sebelum menikmati nasi putih berlaukkan ayam goreng sebagai sarapan.

“Kalau menjamah makanan yang dimasak ibu, tidak sah jika nasi tidak ditambah dua atau tiga kali. Jika makan di luar, saya gemar menghabiskan makanan yang tidak dihabiskan oleh orang lain,” jelasnya yang terpaksa menempah uniform sekolah ketika di sekolah menengah ekoran ketiadaan saiz baju yang dijual untuknya.

Saiz baju paling besar yang pernah dipakai ialah 5XL, manakala saiz seluar pula 52.

“Selain saiz baju, saiz badan saya menjadi bahan ejekan. Tipulah kalau saya tidak terasa, namun ejekan tersebut tidak cukup membakar semangat saya menurunkan berat badan,” luah jejaka ini.

Dengan tubuhnya yang besar, pergerakannya agak terbatas dan dia cepat berasa mengah. Dengan tekad yang menggunung, Nash memulakan azamnya untuk kurus pada Februari 2013.

Nash membuat kajian tentang gaya hidup sihat selain nekad berhenti merokok. Dia juga mengurangkan pengambilan makanan berminyak, garam dan gula selain mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang.

Perubahan demi perubahan yang dilalui membuatkan Nash semakin bersemangat. Usahanya membuahkan hasil apabila dia berjaya menurunkan beratnya sebanyak 72kg.

Lebih membanggakan Nash, selepas tamat pengajian dia menyarung pakaian bersaiz M berbanding 5XL sepanjang belajar di universiti.

“Ramai kenalan yang tidak mengenali saya dengan perubahan ini. Pertanyaan seperti ‘bila nak kurus?’ akhirnya terjawab,” luahnya yang menyifatkan nikmat paling besar selepas kurus ialah hidup sentiasa positif.

Nash menegaskan, seseorang itu perlu fokus dan memperbetulkan niat untuk kurus.

“Kurus bukan untuk cantik atau segak mahupun menyarung baju yang cantik semasa bersanding, sebaliknya berniat untuk mendapatkan kesihatan yang optimum.

“Perubahan perlu bermula dengan diri sendiri. Kita kena kuat semangat dan jangan mudah putus asa. Mahu berjaya kena berkorban dan berusaha. Terus amalkan gaya hidup sihat untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain,” kongsinya.

Sementara itu, Nadhratul Ain Ibrahim, 26, yang mengalami situasi sama tidak pernah mengetahui betapa nikmatnya mempunyai berat ideal dengan ketinggian.

Dia yang pernah menyarung pakaian bersaiz 6XL sering berusaha untuk mendapatkan berat yang sesuai tetapi sering gagal.

Menurut gadis kelahiran Pulau Pinang ini, pada masa itu semangatnya tidak begitu kuat untuk merealisasikan impian tersebut.

Semasa menuntut di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dua tahun lalu, gadis yang lebih mesra disapa Ain ini memulakan azam untuk menurunkan berat badannya.

Langkah awal yang diambil Ain ialah melaburkan sejumlah wang untuk membeli produk menguruskan badan.

Gagal kawal makan

Namun sebagai pelajar, melaburkan wang yang mencecah ratusan ringgit sebulan tentulah satu jumlah yang besar.

Dalam tempoh tersebut, ada masanya Ain gagal mengawal selera makan.

“Saya melakukan perkara yang sia-sia apabila berhabis untuk membeli produk menguruskan badan tetapi gagal mengawal nafsu makan.

“Rasa sangat bersalah pada diri sendiri. Sampai bila saya perlu begini? Dengan berat badan yang mencecah 122kg, saiz tubuh sebegitu menyebabkan pergerakan saya lambat dan mudah berasa penat serta kerap sakit kaki apabila banyak berjalan atau berdiri,” luah pelajar ijazah doktor falsafah ini.

Selain bersenam, Ain mula mempelajari ilmu diet dengan membeli e-book Kevin Zahri.

Dia melakukan senaman sejam sehari sebanyak lima kali seminggu.

Selepas menimba ilmu diet, gadis dengan ketinggian 162sm ini sudah mahir mengira jumlah kalori yang perlu diambil dan dibakar setiap hari.

Kini, dia tampil lebih yakin dan menarik berbanding dahulu. Menariknya, apa yang menjadi kebanggaan gadis ini bukanlah pencapaiannya menurunkan berat badan sebanyak 52kg, sebaliknya stamina yang diperoleh.

Ain turut berkongsi tip dan pengalaman mengurangkan berat badan secara manual tanpa mengamalkan produk di laman Facebook, www.facebook.com/fitwithaainnadra.



 
Chatroom