Apa punca gemuk dan gendut? Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan, Dr Noor Azah Daud, berkata puncanya adalah ketidakseimbangan dalam pengambilan tenaga dengan penggunaan tenaga.
Ini ditambah dengan tiada perubahan dalam tabiat dan pengambilan makanan berlemak dan tinggi kalori.
“Kombinasi pengambilan nutrisi berlebihan ditambah pula dengan gaya hidup lebih banyak duduk adalah punca utama obesiti epidemik" katanya.
Selain malas bersenam, perubahan persekitaran fizikal (obesogenic environment) juga mempengaruhi keadaan ini.
Antara lelaki dan perempuan, lelaki cenderung untuk menjadi gendut apabila usia semakin meningkat. Lelaki seperti juga perempuan ‘bergelut’ dengan isu pertambahan berat badan atau gemuk sepanjang usia. Begitupun, ada yang tidak menyedari pertambahan dalam ukur lilit perut mereka.
Gemuk atau gendut sebenarnya boleh dicegah dengan pengambilan diet yang betul dan senaman. Senaman untuk setiap individu, tua dan muda tidak sama. Apabila usia meningkat misalnya, selain mengubah menu makanan anda juga perlu tahu senaman sesuai untuk terus kekal langsing atau menurunkan berat badan.
Secara umum, untuk menurunkan berat badan anda perlu ‘membakar’ sebanyak mana kalori yang anda ambil. Maksudnya elak makanan tinggi lemak dan karbohidrat dan makan dalam kuantiti yang kecil.
Jadikan ‘pembakaran’ lemak sebagai aktiviti rutin. Walau di mana anda berada di rumah atau pejabat, lakukan bila berkesempatan. Misalnya, gunakan tangga untuk ke kantin atau ke surau. Begitupun turun naik tangga lakukan dengan menggunakan kasut bertapak rendah bukan kasut bertumit tinggi.
Info Gendut
Dalam sesetengah budaya, gemuk dikaitkan dengan tarikan fizikal, kekuatan dan kesuburan. Artifak lama dikenali sebagai “Venus figurines" iaitu statut bersaiz poket adalah model perempuan gemuk. Walaupun signifikan budaya ini tidak direkodkan tetapi ia dikatakan popular di zaman prasejarah di Mediterranean. Dalam budaya Eropah pula, perempuan gemuk dikaitkan dengan ritual magis dan kesuburan.
Gemuk juga diiktiraf sebagai simbol kekayaan dan status sosial terutama dalam kelompok masyarakat yang mengalami masalah kekurangan makanan. Dalam sejarah awal Eropah moden juga gemuk dikaitkan sebagai simbol kekayaan sebelum akhirnya ia dikaitkan dengan keghairahan, selera dan erotik.
Dalam seni halus, perempuan gemuk juga mendapat tempat. Misalnya dalam karya pelukis era baroque, Peter Paul Rubens (1577-1640) sehingga timbulnya istilah 'Rubenesque'. Ia dilihat sebagai simbol prestij.
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan