Bermacam alasan wanita ke gimnasium. Ada yang mahu tampil ramping menawan sempena majlis perkahwinan atau jelita dipandang ketika majlis makan malam istimewa.
Tidak kurang yang mendampingi gimnasium kerana saranan doktor akibat masalah kesihatan. Namun, sejak beberapa tahun ini, kian ramai wanita yang cenderung untuk mencuba pelbagai bentuk senaman di gimnasium lantaran kesedaran terhadap kesihatan diri.
"Jika lima tahun dulu, kurang daripada 10 peratus wanita ke gimnasium kerana pentingkan gaya hidup sihat, tetapi kini peratusan berkenaan semakin meningkat, malah ia satu aliran yang memberangsangkan.
"Namun, biar apa saja matlamat mereka ke gimnasium, sama ada mahu menurunkan berat badan dalam masa enam minggu atau menjaga kesihatan diri untuk jangka panjang, paling penting adalah disiplin diri," kata jurulatih peribadi, Norheleve Remie Norya.
Disiplin diri yang baik dalam melakukan senaman, menurutnya, boleh menghasilkan keputusan yang optimum.
Apapun, jika tiada pengetahuan langsung mengenai kaedah senaman terbaik untuk diri sendiri, usah menerjah segala peralatan di gimnasium sesuka hati kerana hasilnya mungkin tidak seperti diharapkan.
"Ia perlu dimulakan dengan ujian kecergasan sebelum sesuatu latihan itu dirangka untuk keupayaan tubuh masing-masing.
"Setiap individu pula mempunyai latihan berbeza misalnya latihan senaman untuk mereka yang mempunyai berat badan berlebihan tidak sesuai untuk mereka yang bertubuh sederhana atau kurus dan begitu juga sebaliknya," katanya.
Panduan daripada jurulatih peribadi, menurutnya, tidak harus diabaikan. Mereka bukan saja membantu seseorang untuk mencapai matlamat senaman yang diimpikan, malah ia cukup berguna bagi mengelakkan diri daripada melakukan latihan yang boleh memudaratkan diri.
"Ada yang mahu menurunkan berat badan dalam tempoh enam minggu untuk persediaan majlis istimewa. Tetapi ada kalanya, cara sedemikian tidak sihat apabila ia membabitkan pengurangan berat badan yang banyak.
"Pengurangan kira-kira dua kilogram berat badan dalam sebulan dianggap selamat, tetapi jika lebih daripada itu, ia boleh memudaratkan misalnya ia boleh menyebabkan kepadatan tulang berkurangan. Malah bila sudah terlalu kurus, tahap kesihatan juga mudah terganggu," katanya.
Sejak kira-kira enam tahun bergelar jurulatih peribadi, Norheleve, 32, mengakui ada kalanya perlu tegas menangani kerenah mereka yang 'berat' untuk bersenam.
"Agak kelakar kerana mereka sudah berada di dalam gimnasium, tetapi masih malas untuk melakukan senaman. Lantas, jurulatih peribadi seperti kami perlu tegas dengan golongan sebegini," kata rakannya, Narinder Singh, 33.
Narinder yang juga bekas atlit jalan kaki negara, bagaimanapun mengakui, kemahuan untuk bersenam perlu didorong diri sendiri.
"Kira-kira 80 peratus adalah usaha individu itu sendiri untuk berlatih manakala selebihnya atas dorongan dan tunjuk ajar jurulatih. Jika mahu bersenam di gimnasium dan mendapatkan jurulatih peribadi, perlu bijak memilih jurulatih peribadi yang benar-benar berkelayakan," katanya.
Dia akui, kemunculan gimnasium komersil yang kian meningkat ada kalanya mewujudkan persaingan kurang sihat kerana ada sesetengah jurulatih peribadi tidak memperoleh latihan mencukupi.
"Mereka mungkin lebih terlatih dalam bidang pemasaran sekali gus mampu menarik pelanggan yang ramai untuk menyertai satu-satu gimnasium sedangkan jurulatih itu sendiri tidak mempunyai pengetahuan mencukupi dalam aktiviti sukan dan kecergasan," katanya.
Senaman paling mudah yang disaran adalah berjalan (tetapi bukan berjalan secara santai seperti mahu ke pasar). Berjalan pantas dengan jarak kira-kira enam hingga tujuh kilometer sejam sudah memadai.
Menurutnya, lakukan senaman tiga kali seminggu dengan tempoh antara 45 hingga 60 minit, yang dianggap mampu membantu seseorang untuk mencapai tahap kesihatan diri yang baik.
Sebelum itu, perlu mendapatkan kasut sukan yang baik dan bersesuaian, lazimnya berharga antara RM200 hingga RM400 sepasang yang boleh digunakan untuk tempoh lama.
Waktu untuk bersenam pula, sebaiknya dilakukan pada waktu pagi misalnya sebelum mula waktu bekerja.
"Ramai yang memberi alasan tak sempat untuk bersenam pada siang hari, lalu gimnasium biasanya penuh di waktu malam. Apa salahnya mengubah rutin seharian misalnya, lakukan latihan kardiovaskular di awal pagi sebelum sarapan dan memulakan tugas seharian.
"Jika sering diamalkan, perubahannya memang ketara kerana tubuh berasa lebih segar dan cergas sepanjang hari," katanya.
Bagi Norheleve, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya adalah kiriman kad daripada seorang wanita yang mengucapkan terima kasih kepadanya kerana membantu pasangannya yang mengalami masalah seksual, menjalani latihan di gimnasium.
Katanya, selepas tiga bulan menjalani latihan, lelaki terbabit yang dalam lingkungan usia 30-an nyata menunjukkan peningkatan yang baik dari segi staminanya.
Narinder pula pernah membantu seorang wanita berusia 45 tahun yang asalnya hanya mahu mengurangkan berat badan, tetapi akhirnya berjaya mencapai tahap kecergasan setanding dengan jurulatih peribadi wanita yang biasanya bertugas di pusat kecergasan atau gimnasium.
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan