LASER-assisted in situ keratomileusis atau LASIK adalah sejenis pembedahan laser refraktif mata yang dilakukan oleh pakar oftamologi bagi memperbetulkan rabun jauh (myopia), hyperopia (rabun dekat), dan astigmatisme (lekukan yang tidak sama rata pada kornea yang menyekat pancaran cahaya daripada memfokus secara jelas pada satu tempat di retina, mengakibatkan pandangan menjadi kabur).
Kini, pusat penjagaan mata swasta tertier menyeluruh yang pertama di Malaysia, Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC) menawarkan teknologi kawalan pengesan mata tercanggih, Zyoptix® Advanced Control Eyetracking (ACE™), yang menjamin keselamatan dan hasil pembedahan LASIK yang lebih tepat bagi pesakit, termasuk di kalangan mereka yang mengalami rabun jauh yang tinggi dan penglihatan kabur (astigmatik).
ISEC juga merupakan pusat yang pertama menggunakan pengesan auto iris dinamik dalam pembedahan lasik ini bagi membantu penghidap rabun jauh dan astigmatisme yang tinggi.
Ini adalah teknologi pertama seumpamanya yang ditawarkan di Malaysia dan rahsianya adalah kemampuan teknologi ACE yang boleh mengesan putaran (rotation) bebola mata secara aktif sewaktu pembedahan dijalankan.
Mengesan putaran mata
Ketika menjelaskan bagaimana ianya dilakukan, Ketua Pembedahan Kornea dan Refraktif ISEC, Dr. Michael Law berkata, putaran (rotation) mata sewaktu pembedahan boleh mengurangkan jangkaan hasil pembedahan pada pesakit dan itulah sebab mengapa sebelum ini doktor biasanya tidak menggalakkan pesakit yang mengalami masalah rabun jauh dan astigmatisme yang tinggi daripada menjalani pembedahan LASIK.
“Kajian-kajian menunjukkan bahawa dalam 8.3 peratus pembedahan, mata berputar lebih tiga darjah, sehingga had maksimum 19 darjah, dan ini akan menjejaskan hasil pembedahan tersebut, terutamanya bagi pesakit yang mengalami masalah rabun jauh atau astigmatisme yang tinggi.
"Kini dengan teknologi ACE, kita boleh mengesan putaran (rotation) mata sewaktu pembedahan dan menggunakan laser seperti sepatutnya dan sekaligus dapat menjamin rawatan yang lebih tepat dan selamat,” jelasnya.
Dr. Law menjelaskan, dengan memantau ke mana anak mata (iris) bergerak dan memantau putaran pergerakan mata, pakar bedah dapat memastikan bahawa kita telah menghalakan laser secara tepat pada kornea, di bahagian yang dikehendaki.
Sebelum adanya teknologi ACE, peralatan yang digunakan hanya mampu mengesan pergerakan menegak dan melintang bebola mata sewaktu pembedahan dijalankan.
Dengan itu, teknologi ACE ini merupakan yang pertama menawarkan daya pengesanan anak mata (iris) untuk semua arah termasuk putaran (cyclo-torsion), sepanjang tempoh pembedahan dijalankan.
Sebagai tambahan, mesin Bausch and Lomb Technolas 217z Excimer Laser yang dilengkapi dengan ACE, mampu mengesan dan sekaligus melaraskan pergerakan putaran statik, peralihan anak mata, pergerakan 'saccadic' pada permukaan x dan y, dan pergerakan di sepanjang permukaan z (permukaan tegak).
Lebih tepat
Dengan ACE, hasil pembedahan ke atas pesakit, terutama yang mengalami astigmatisme yang tinggi atau rabun jauh yang tinggi (myopia), pastinya lebih baik kerana sistem yang digunakan dapat menghala laser secara aktif, tepat ke atas kornea, pada kadar 25 Hertz (25 kali sesaat).
ACE Tracker juga boleh menghentikan rawatan laser jika mata berputar lebih daripada had yang berpatutan.
“Tentunya lebih ramai yang akan mendapat faedah daripada teknologi baru ini, tetapi yang lebih penting teknologi ini menawarkan kepada pesakit, dan pakar bedah, ketenangan fikiran bahawa kesemua pergerakan mata dapat dikesan dan diselaraskan secara aktif sewaktu pembedahan dijalankan,” katanya.
ISEC kini merupakan pusat mata yang pertama dan satu-satunya di Malaysia yang menggunakan ACE di dewan pembedahan LASIK.
Sebagai komitmen untuk memberi rawatan mata yang paling berkualiti pada harga yang berpatutan, ISEC juga tidak mengenakan bayaran lebih untuk prosedur LASIK dengan ACE Tracker.
Dr. Law menjangkakan lebih banyak pusat LASIK akan menggunakan teknologi canggih ini kerana hasil pembedahannya yang cemerlang dan perasaan puas hati pesakit yang telah menjalani pembedahan LASIK dengan ACE Tracker.
“Dengan peluang yang lebih baik untuk meningkatkan kualiti penglihatan, peningkatan dalam ketepatan rawatan pembetulan astigmatik dan pembedahan yang lebih selamat, rasanya tidak seorang pun pakar bedah yang akan, atau patut melepaskan peluang untuk menggunakan ACE,” ujarnya sambil berseloroh.
Untuk maklumat lanjut mengenai LASIK, ACE Tracker dan rawatan mata, anda boleh menghubungi ISEC di talian 03-2284 8989 atau dengan melayari laman web www.isecmalaysia.com.
ARKIB UTUSAN: 26/10/2008
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan