Home » » Tampil langsing secara sihat

Tampil langsing secara sihat

Bentuk badan yang kurus dikatakan antara kriteria penting untuk dikategorikan sebagai cantik. Lihat saja selebriti tempatan mahupun antarabangsa yang sering disenaraikan sebagai antara wanita tercantik. Boleh dikatakan semuanya mempunyai bentuk badan langsing, sekali gus mengesahkan peraturan tidak bertulis bahawa langsing atau kurus itu sebagai elemen penting untuk membolehkan seseorang itu dikatakan cantik.

Kehadiran supermodel terkenal dari Britain, Kate Moss pada 1980-an yang tampil dengan imej ‘kurus melidi’ turut mengubah persepsi cantik. Jika sebelum itu tubuh yang berisi dan menawan, masih dianggap cantik, Moss membawa fenomena tidak sihat sehingga wanita sanggup berlapar untuk menjadi cantik sepertinya.

Sejak itu, wujud pelbagai masalah di seluruh dunia membabitkan ketaksuban untuk tampil kurus apabila ramai wanita khususnya yang masih muda sanggup melakukan apa saja bagi memperoleh bentuk badan idaman itu.

Bermulalah era taksub untuk cantik yang menyaksikan produk pelangsingan begitu laris di pasaran.

Sebut apa saja yang dikatakan boleh membantu seseorang itu menguruskan badan, pasti akan disambar wanita.

Malah, formula diet seperti Atkins Diet yang mencadangkan pengambilan makanan rendah karbohidrat atau video senaman untuk mengurangkan berat badan mengaut keuntungan mega.

Walaupun ada antaranya sebenarnya tidak berkesan, bahkan ada yang memudaratkan, pengguna terutama wanita yang terdesak untuk tampil cantik dengan segera tidak mengendahkannya, bahkan sanggup berlapar demi mencapai hasrat di hati Begitu pun, Ratu Malaysia/Dunia 2008, Winci Soo, mempunyai pandangan sebaliknya. Gadis jelita yang bakal mewakili Malaysia ke pertandingan Ratu Dunia pada Disember ini, berkata pengalamannya ketika cuba menguruskan badan satu ketika dulu mengajar beliau bahawa tiada yang lebih baik daripada mengambil pemakanan seimbang dan bersenam untuk langsing.

“Saya pernah mencuba Atkins Diet untuk menguruskan badan. Dulu ketika remaja saya agak berisi dan pernah mencecah berat badan 65kilogram (kg) sehingga emak kata saya kelihatan seperti gorilla. Melihat teman lain yang kurus boleh pakai apa saja baju dan tampak cantik, saya cemburu serta ingin menjadi seperti mereka sehingga sanggup melakukan apa saja.

“Tetapi, formula diet yang saya lakukan tidak berhasil kerana saya mendapati diri tidak bertenaga untuk menjalani kegiatan harian. Akhirnya saya berhenti kerana menyedari apa yang saya lakukan itu boleh memudaratkan diri,” kata gadis berusia 23 tahun itu.

Walaupun menghentikan amalan dietnya, akui wanita yang mempunyai ketinggian 1.7 meter itu, keinginan untuk menguruskan badan tetap ada.

Justeru, beliau cuba mengurangkan pengambilan makanan secara perlahan-lahan bagi mengelakkan risiko lebih serius.

Antaranya, beliau menggantikan nasi dengan roti selain mengamalkan senaman ringan seperti berlari anak atau berjalan sekitar padang. “Saya bernasib baik kerana mendapat sokongan keluarga.

Walaupun tinggal di Malaysia yang mana nasi menjadi makanan utama, keluarga saya lebih menggemari makanan Barat dan roti lebih banyak diambil. Lama-kelamaan saya menyedari berat badan semakin berkurangan sehingga memperoleh berat badan ideal.

“Malah, saya juga tidak menyangka kerana kesungguhan itulah hari ini saya berjaya meraih gelaran utama dalam pertandingan ratu Malaysia/Dunia 2008,” kata graduan jurusan undang-undang itu.

Berlainan pula dengan pemenang kedua pertandingan sama, Cindy Chen, 24 tahun. Walaupun mengakui tidak pernah mengalami masalah berat badan, beliau tidak memandang remeh perkara berkenaan.

Malah, beliau berpendapat, wanita yang sanggup berlapar hanya untuk kelihatan kurus hanya merosakkan diri sendiri kerana ada cara lain yang lebih sihat untuk tampil langsing.

“Saya mungkin bernasib baik kerana tiada masalah berat badan sejak kecil. Saya makan nasi setiap hari, sekurang-kurangnya sekali sehari. Tetapi, saya memang seorang yang gemar bersenam, mungkin itu banyak membantu saya untuk kurus.

“Selain itu, saya juga selalu pergi ke gimnasium dan kini saya bersama Winci mengikuti kelas tarian. Secara tidak langsung, kelas tarian itu juga satu senaman yang dapat memecahkan lemak,” katanya yang mempunyai ketinggian 1.71 m dan berat badan 50kg.

Bagaimanapun, beliau berkata, berat badannya pernah mencecah kurang daripada 47kg akibat tekanan ketika pengajian dulu sehingga penampilannya tampak tidak bertenaga dan kurang berseri Malah, katanya, ramai rakan yang terkejut dengan penampilannya ketika itu kerana terlalu kurus berbanding ketinggiannya.

“Ketika itu, ramai rakan yang bimbang dengan keadaan saya. Saya kurang makan kerana terlalu sibuk dengan pengajian, dan menyedari keadaan saya yang tampak tidak bermaya, saya memujuk diri.

"Pemakanan kembali teratur dan pengajian berjalan lancar, saya lega apabila berat badan semakin meningkat. Ramai rakan memuji penampilan baru saya dan mungkin itulah tuah saya apabila kemenangan ini membuka laluan lebih besar kepada kerjaya saya,” katanya.

Bagi aktres jelita kelahiran London yang semakin popular di Taiwan, Elvanna Raine, tidak salah untuk menguruskan badan, tetapi perlu ada had supaya tidak memudaratkan kesihatan.

“Saya pernah melalui tempoh itu (remaja) terutama kegilaan untuk kelihatan kurus seperti supermodel atau artis jelita.

"Kini saya semakin matang dan apabila menoleh ke belakang, saya menyedari apa yang dilalui kebanyakan gadis remaja itu hanyalah mengejar bayang-bayang.

“Lagi pun, tidak semua selebriti atau supermodel itu kurus kering, dan mereka makan seperti orang biasa serta menikmati kehidupan. Cuma bezanya dalam bidang kerjaya mereka itu, mereka perlu kelihatan cantik dan bersenam selain mempunyai pakar pemakanan yang menjaga rutin makanan mereka sehingga berjaya memperoleh bentuk badan cantik,” katanya.

Beliau mengakui satu ketika dulu rutin mingguannya termasuk mengunjungi gimnasium, tetapi sejak kebelakangan ini kesibukan kerja menyebabkan beliau sukar untuk melakukannya.

Justeru, bagi mengekalkan bentuk badannya beliau mengawal pengambilan makanan, tetapi tidaklah sehingga berlapar.

“Saya seorang yang suka menikmati makanan, dan tidak pernah mengelak daripada mengambil makanan tertentu hanya untuk kurus. Malah, selalunya saya tidak akan gagal menikmati setiap sesi makan sama ada sarapan, makan tengah hari mahupun malam. Tetapi saya akan pastikan hanya makan sedikit setiap sesi.

"Nasihat saya kepada wanita yang ingin mengurus badan, lakukan secara perlahan dan bukannya berlapar untuk cantik,” katanya mengakhiri perbualan.

Oleh Fadzlena Jafar



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom