Home » » Ketagihan Dadah : Situasi Sebenar di Malaysia

Ketagihan Dadah : Situasi Sebenar di Malaysia

Tidak banyak perkara yang lebih bersifat kontroversi dan menjadi topik larangan seperti penagihan dadah. Menurut Laporan Dadah Sedunia Bangsa-Bangsa Bersatu 2004, masalah penagihan dadah membelenggu hampir setiap negara, tidak kira status ekonomi dan politiknya.

Di Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah mendaftarkan lebih 300,000 penagih, tetapi agensi ini meramalkan bahawa masih ramai yang belum diambil kira. Malah, beberapa kajian menunjukkan bahawa bagi setiap individu yang berdaftar dengan AADK, mungkin ada tiga atau empat yang tidak mendaftar.

Unjuran tersebut menunjukkan bahawa empat peratus daripada penduduk Malaysia menagih dadah. Walaupun angka ini agak mengejutkan, ramai orang tidak sedar betapa rumit masalah penagihan dadah dan menganggapnya sebagai satu kelemahan moral atau masalah perwatakan.

Namun, 92.11 peratus daripada mereka yang bergantung kepada dadah adalah pekerja yang diambil bekerja oleh majikan. Justeru, persoalannya ialah jika ketagihan dan kebergantungan kepada dadah disebabkan oleh kegagalan individu mengawal kehidupan mereka, bagaimana lebih 90 peratus daripada mereka boleh diambil bekerja?

Jawapannya ialah ketagihan dan kebergantungan bukan disebabkan oleh kegagalan dan kelemahan peribadi. Pada hakikatnya, ketagihan dan kebergantungan ialah penyakit seperti kebanyakan penyakit kronik lain dan ia memerlukan rawatan.

Memahami ketagihan dan kebergantungan

Setakat ini, ahli sains dan doktor telah mendapati bahawa dadah boleh mempengaruhi otak. Dari segi ketagihan opioid, otak sebenarnya bergantung pada opioid untuk mencetuskan pembebasan dopamin, sejenis bahan yang dibebaskan secara semula jadi dalam otak apabila kita berasa gembira.

Namun, dalam kes individu yang ketagihan opioid, nikmat biasa kehidupan diatasi oleh kegembiraan melampau (euforia) yang dihasilkan oleh opioid, lantas membawa kepada ketagihan dan kebergantungan. Justeru, penagih semakin terdesak untuk mendapatkan opioid, dan ketagihan yang dialami oleh individu tersebut begitu serius sehingga menyebabkan kesakitan fizikal dan boleh mengatasi keperluan dan tanggungjawab hariannya.

Ini menyebabkan mereka mengabaikan orang tersayang, pekerjaan mereka dan minat lain dalam kehidupan mereka. Akhirnya, ketagihan serius menyebabkan opioid digunakan bukan lagi untuk mengalami perasaan euforia, sebaliknya untuk mengurangkan tekanan akibat gejala ‘tarikan’.

Merawat ketagihan opioid di Malaysia

Terdapat 4 bidang utama dalam program pemulihan dadah di Malaysia:

1. Pengesanan dan penyahtoksinan

2. Pemulihan dalam institusi

3. Pemantauan dalam masyarakat dan penjagaan susulan

4. Farmakoterapi atau terapi penggantian dadah (DST)

* Pengesanan dan penyahtoksinan

Sebanyak 22 hospital telah diwartakan sebagai pusat pengesanan ketagihan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia manakala terdapat beberapa buah pusat penyahtoksinan. Proses penyahtoksinan dilakukan menggunakan kaedah ‘berhenti terus’. Kaedah tersebut bermakna penagih perlu menghadapi gejala ‘tarikan’ tanpa sebarang ubat untuk mengurangkan kesannya.

* Pemulihan dalam institusi

Institusi pemulihan penagih dinamakan Pusat Serenti yang terdapat di seluruh negara. Di sana, penagih dadah akan menjalani program pemulihan antara lapan bulan hingga dua tahun lamanya. Matlamat program tersebut adalah untuk memulihkan seseorang yang ketagihan dari segi fizikal dan psikologi, dalam satu persekitaran terkawal serta bebas daripada pengaruh dadah.

* Pemantauan dalam masyarakat dan penjagaan susulan

Pemulihan ialah satu proses jangka panjang dan tidak berakhir apabila penagih meninggalkan institut pemulihan (Pusat Serenti). Mereka yang berjaya keluar dari institut diawasi selama dua tahun oleh Pegawai Pemulihan Dadah untuk membolehkannya kembali ke pangkuan masyarakat.

* Farmakoterapi atau Terapi Penggantian Dadah (DST)

Buprenorphine/naloxone

Sebagai opioid agonis, buprenorphine mengikat reseptor opioid di dalam otak, mengurangkan keinginan dan juga mengekang sindrom penarikan opioid. Rawatan ini amat berkesan bagi mereka yang mahu mengawal gejala penyakit dan ketagihan mereka.

Buprenorphine juga mengandungi naloxone yang menyebabkan gejala tarikan yang teruk jika tidak diambil seperti yang diarahkan. Ini bertujuan mengurangkan potensi penyalahgunaan rawatan, memudahkan pesakit mendapatkan rawatan dan mengurangkan kos penyeliaan jangka panjang penyakit.

Dianggap sebagai terapi penggantian dadah, buprenorphine/naloxone membolehkan pesakit yang ketagih opioid bertukar lebih awal kepada terapi di rumah dan juga dos yang kurang kerap (selang setiap satu hari atau tiga kali seminggu), membolehkan pesakit menjalani kehidupan seperti biasa dan bekerja. Buprenorphine/naloxone tidak mengubati masalah ketagihan, tetapi apabila digunakan sebagai sebahagian daripada pelan rawatan, ia boleh membantu pesakit yang ketagih opioid untuk terus menjauhkan diri daripada dadah. Terapi ini merupakan satu alat penting dalam program rawatan yang merangkumi terapi dan sokongan.

Methadone

Methadone ialah sejenis ubat cecair yang diambil setiap hari di klinik methadone atau pejabat doktor di bawah penyeliaan secara langsung. Methadone ialah sejenis opioid agonis penuh yang mengaktifkan reseptor opioid di dalam otak, merangsangnya untuk menghalang isyarat sakit dan menyebabkan perasaan euforia.

Rencana ini disumbangkan oleh Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) sebagai menyokong kempen Jiwa Baru, satu inisiatif pendidikan awam bagi merawat ketagihan opioid.



1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

Mohon supaya dibincangkan penyalahgunaan dadah jenis meth yang mana ia tidak diidtilahkan sebagai ketagihan tetapi 'craving' iaitu kebergantungan 'mentaly'. Dadah ini secara peribadi saya katakan harus di highlightkan kerana tidak ada rawatan formal yang dilaksanakan di Malaysia memandangkan tidak ada terapi gantian(DST) yang spesifik terhadap pengguna dadah ini melainkan aktiviti modul 'kekal lupa'. mohon pandangan serta idea admin.

Catat Ulasan

 
Chatroom