Home » » Pokok duit-duit

Pokok duit-duit

Pokok duit-duit

Kajian antarabangsa dapati tumbuhan lasak pokok duit-duit ini dapat bersih udara, serap gas beracun

Bagi masyarakat Cina, menanam pokok duit-duit akan membawa tuah dan rezeki kepada mereka yang menanamnya. Malah, mereka mempercayai jika pokok berkenaan tumbuh subur dengan daun yang banyak serta menjalar tinggi akan melambangkan rezeki semakin bertambah.

Namun, realitinya pokok duit-duit adalah spesies yang mudah hidup dan cepat membiak walaupun tanpa tanah. Selain boleh ditanam di tanah, pokok ini boleh hidup di dalam air atau menjalar di batang kayu atau berpaut pada mana-mana pancang kayu, pagar atau binaan batu.

Pokok duit-duit dikenali sebagai Centipede Tongavine, Silver Vine, Devil's Ivy, Taro Vine, Money plant dan Solomon Islands' Ivy adalah spesies tumbuhan dalam famili Araceae. Ia sememangnya banyak ditemui di Malaysia, Indonesia dan Papua New Guinea.


Nama saintifiknya Epipremnum aureum dan segelintir pakar percaya pokok ini dalam genera Pothos. Namun, ramai yang keliru dan menggelarnya sebagai filodendron.

Pokok ini sangat popular menjadi hiasan luaran dan dalaman rumah kerana ia mudah hidup dan tidak perlukan penjagaan rapi.
Biasanya daunnya berwarna hijau muda kekuningan dan keputihan. Sesetengah daun-daunnya hijau dengan berbintik kuning, berselang-seli dan ada yang berbentuk jantung dan seakan-akan daun kangkung. Ada yang berpendapat corak daunnya seakan corak yang batu marmar.

Pokok duit-duit boleh membesar sehingga 20 meter tinggi, dengan lebar batang pokoknya mencecah sehingga empat sentimeter. Pokok ini memanjat melalui akar-akar udara yang mencengkam dahan pokok-pokok yang lain.

Ada jenis pokok ini boleh memanjat sehingga 100 sentimeter panjang dan berbentuk pinatifid, iaitu mempunyai lekuk sehingga ke tulang daun.

Ada juga jenis yang berbunga dengan panjangnya kira-kira 23 sentimeter. Namun spesies ini tidak pernah dilihat di negara ini atau pun di Singapura.
Bagi aspek penjagaan, pokok ini memerlukan cahaya matahari yang sederhana dengan suhu sesuai antara 17 hingga 30 darjah Celsius dan tidak perlukan siraman yang kerap seperti pokok lain.

Namun, jika mahu ia tumbuh subur, siraman air dalam jumlah yang sederhana, sememangnya diperlukan. Begitu juga dengan pembajaan yang teratur.

Secara amnya, pokok ini hanya memerlukan air ketika daun-daunnya berasa kering jika disentuh. Gunakan baja cecair dan seelok-eloknya tukarlah pasu setiap tahun.

Pokok ini juga dikategorikan sebagai tahan lasak dan dapat bertahan daripada sebarang pemangkasan atau penganiayaan terhadap pokoknya. Ia juga sesuai ditanam menggunakan kaedah hidroponik.

Tiada khasiat pokok ini dicatatkan dalam mana-mana jurnal atau penulisan botani, namun difahamkan ia menjadi antara 17 pokok beracun untuk binatang peliharaan seperti anjing dan kucing.

Haiwan peliharaan boleh mengalami kencing berpanjangan, muntah dan masalah pernafasan jika termakan tumbuhan ini.

Namun, pokok ini dikatakan dapat membersihkan udara dan amat sesuai ditanam di dalam pejabat. Mengikut kajian Agensi Agensi Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (Nasa), sama seperti tumbuhan pembersih udara seperti pokok labah-labah, kekwa (chrysanthemums) dan jenis philodendron yang dapat memindahkan sesetengah kimia beracun dalam udara.

Kajian yang dijalankan pada lewat 1980-an antara Nasa dan Persatuan Kontraktor Landskap Amerika Syarikat (ALCA) mendapati gas beracun seperti ‘formaldehyde’ dan benzene yang sangat tinggi kandungannya, banyak dikesan di kebanyakan bangunan di negara berkenaan. Kajian itu mendapati gas beracun itu dapat dibuang dengan adanya penanaman pokok duit-duit.

Oleh Rohaniza Idris




1 Komen:

diana berkata...

Terima kasih... Baru-baru ni terbaca pokok duit-duit berbahaya... Okla kalau begini... lega membacanya :)

Catat Ulasan

 
Chatroom