Tip selamat, betul kurangkan berat badan
"Aduh, berat badan aku naik lima kilogram lah!" bisik seorang rakan. Pengakuan ini mungkin kerap didengari selepas Aidilfitri. Mengapa tidak, jemputan rumah terbuka mulai 1 Syawal hingga hari ini tidak putus-putus diterima.
Sukar diakui hakikat, namun ramai antara kita terdorong makan sepuas-puasnya sejak hari pertama Aidilfitri atas alasan - Ramadan sudah berlalu. Impak pesta rumah terbuka bukan sekadar mengeratkan hubungan, namun ramai mula risau berat badan naik secara mendadak.
Mungkin ramai menyedari perubahan fizikal diri, namun sukar mengawal nafsu makan. Selain itu, ada juga yang merasa sukar menolak pelawaan pihak yang menjemput atau tidak sampai hati andai tidak dijamah juadah yang dihidang di depan mata.
Biarpun perlu menghadiri banyak majlis rumah terbuka, ia bukanlah alasan tidak mengawal pengambilan pemakanan atau melupakan amalan diet.
Perlu diingatkan, makan secara tidak terkawal pada musim raya adalah berbahaya bagi individu yang mengalami masalah kesihatan dan perlu menjaga pengambilan pemakanan.
Bagi mendapat panduan pengambilan makanan yang betul pada musim perayaan, kolum XY - Tanya Pakar mendapatkan pandangan pakar diet dari Hospital Pakar KPJ Selangor, Norhafizah Zainal Arifin.
Norhafizah berkata, adalah sesuatu yang normal setiap kali selepas musim perayaan, beliau didatangi ramai orang yang mahu mendapatkan nasihat kerana berat badan naik secara mendadak.
"Musim perayaan dan undangan rumah terbuka tidak sepatutnya dijadikan alasan melupakan kepentingan pemakanan seimbang. Kegembiraan beraya tidak akan berkurangan biarpun kita mengawal pemakanan.
"Ini kerana kita bukannya tidak boleh merasa setiap juadah enak yang digemari, tetapi kuantiti makanan yang dijamah perlu dikawal," katanya.
Ikuti tip yang dikongsi bersama pembaca XY - Ikon Lelaki...
Adakah kenaikan berat badan pada musim perayaan dianggap normal?
Ini biasa berlaku... Maklumlah, dalam musim perayaan seperti ini. Di sana-sini, ramai yang menganjurkan rumah terbuka. Majlis ini semestinya menyajikan bermacam-macam juadah.
Hidangan yang disajikan untuk jamuan rumah terbuka selalunya juadah tradisi seperti lemang, ketupat, rendang, lontong dan pelbagai sajian lain yang kebanyakannya mempunyai kadar kandungan lemak tinggi.
Sehubungan itu, jika seseorang yang sering menghadiri rumah terbuka tetapi tidak prihatin untuk mengawal pemakanan, kebarangkalian mereka mengalami kenaikan berat badan adalah tinggi.
Justeru, dalam pada bergembira menghadiri jamuan rumah terbuka, individu yang tidak mahu berat badan bertambah atau mereka yang ingin mengekalkan berat badan ideal, harus berhati-hati memilih makanan.
Secara ringkas, bagaimana hendak memastikan berat badan tidak naik secara mendadak pada musim perayaan ini?
Sebaik-baiknya, apabila memilih juadah, mulakan dengan mengambil buah-buahan terlebih dulu. Ini kerana ia dapat membuatkan perut kita rasa 'terisi' sebelum menikmati makanan lebih berat.
Apabila perut 'terisi', secara tidak langsung kita tidak akan rasa terlalu lapar hingga mengambil makanan dalam kuantiti berlebihan daripada sepatutnya. Selain itu, jangan paksa diri makan apabila sudah terlalu kenyang. Cuba kawal nafsu walaupun juadah yang disajikan sangat memikat selera anda.
Selain menjamah buah-buahan terlebih dulu, bagaimana dengan pengambilan pemakanan yang disyorkan?
Bukannya tidak boleh langsung mencuba setiap juadah yang anda gemari di jamuan rumah terbuka. Anda boleh merasainya, cuma pastikan anda mengambilnya dalam kadar yang sedikit atau berpatutan.
Ini terutama membabitkan makanan yang tinggi kandungan kalori. Memang agak sukar untuk mengawal nafsu makan apabila pelbagai juadah yang nampak enak terhidang di depan mata. Tetapi demi mengelak bertambahnya berat badan secara mendadak yang boleh menjadi punca kepada masalah lain, kita perlu beringat-ingat.
Bagaimana jika seseorang itu mempunyai lebih daripada satu jemputan rumah terbuka dalam satu hari?
Di sinilah perlunya perancangan sebelum pergi ke rumah terbuka. Jika anda sedia maklum yang anda akan mengunjungi lebih daripada sebuah rumah terbuka dalam satu hari, disiplinkan diri untuk mengambil makanan dalam kadar sepatutnya.
Kaedah begini sekurang-kurangnya dapat mengelak anda terlebih makan.
Dari segi dietetik, wajarkah seseorang individu menganggap tempoh sebulan Syawal sebagai 'lesen' untuk mereka menikmati pelbagai juadah sepuas-puasnya. Selepas itu, baru fikirkan bagaimana hendak menurunkan atau mendapatkan semula berat badan ideal?
Tanggapan seperti itu tidak betul. Malah, ini tidak praktikal bagi mereka yang mengalami masalah berat badan mudah naik tetapi sukar diturunkan. Berat badan bukannya mudah untuk diturunkan dalam masa singkat jika tidak mengamalkan pemakanan seimbang dan bersenam.
Sehubungan itu, usah ambil mudah dan menikmati makanan sesuka hati tetapi akhirnya, susah hati apabila sukar menurunkan berat badan selepas itu.
Adakah makan secara perlahan-lahan juga dilihat sebagai suatu cara berkesan untuk mengelak makan berlebihan?
Ya. Ini langkah baik untuk diamalkan. Apabila kita makan dengan laju, kita tidak sedar kuantiti makanan yang sudah kita ambil lalu ia menjadi berlebihan.
Tetapi, apabila kita menikmati makanan perlahan-lahan, otak sempat menerima maklumat yang memberitahu kita bahawa perut sudah kenyang dan kita boleh berhenti daripada makan.
Sebagai tuan rumah yang menganjurkan jamuan rumah terbuka, apa yang boleh anda nasihatkan mereka?
Seelok-eloknya, tuan rumah digalak menyediakan juadah pelbagai jenis. Ini membolehkan tetamu mempunyai pelbagai pilihan mengikut kesesuaian diet mereka.
Contohnya, jika mereka cuba mengelak makanan berat seperti rendang ayam atau daging, mereka boleh menikmati mi atau bihun sup atau makanan lain yang lebih ringan.
Selain itu, penting juga bagi tuan rumah menyediakan pilihan makanan yang sihat seperti buah-buahan. Elok juga dihidangkan air kosong untuk tetamu selain jus dan air berperisa. Ini kerana kadang-kadang, tetamu segan meminta air kosong walaupun mereka memerlukannya.
Oleh Diyanah Anuar
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan