Home » » Diet awal bantu elak rabun dekat

Diet awal bantu elak rabun dekat

Satu daripada masalah mata yang paling umum adalah rabun dekat atau dalam bahasa saintifiknya myopia. Mereka yang rabun dekat berhadapan dengan masalah untuk melihat objek jauh. Biasanya rabun dekat menyebabkan objek yang jauh kelihatan kabur.

Myopia cenderung untuk diwarisi secara genetik. Di Britain misalnya, sekitar 5 juta orang mengalami masalah myopia. Masalah mata paling umum ini selalunya terjadi ketika zaman kanak-kanak atau awal remaja. Justeru, ia kerap dikesan apabila kanak-kanak itu mula bersekolah.

Secara saintifiknya, mereka yang mengalami rabun dekat akan berhadapan dengan masalah kornea yang terlalu melengkung atau bola mata yang terlalu panjang. Ia menyebabkan fokus refleksi cahaya dari objek yang jauh berada di depan retina menyebabkan objek kelihatan kabur.

Tahap keseriusan masalah yang anda hadapi bergantung kepada keupayaan untuk memfokus. Mereka yang berhadapan dengan masalah rabun dekat yang teruk hanya boleh melihat objek yang jaraknya beberapa inci saja di hadapannya. Mereka yang berada di tahap rabun dekat sederhana pula boleh melihat pada jarak beberapa kaki.

Selalunya, myopia boleh dibaiki dengan penggunaan kaca mata atau kanta lekap. Selain itu, ada juga pesakit yang memilih untuk menjalani pembedahan.

Pakar Mata Kanak-kanak, Dr Choong Yee Foong, berkata memulakan diet awal yang betul boleh membantu mengelak masalah itu terjadi.

“Penting untuk ibu bapa memastikan anak mengambil Vitamin A, beta carotene, lutein, anti oksidan selain buah-buahan dan sayur-sayuran. Semua ini adalah makanan untuk mata,” katanya.

Pelbagai jenis vitamin boleh diperoleh daripada sayur dan buah-buahan. Lutein misalnya, boleh ditemui dalam bayam, salad, kacang, kuning telur dan lobak merah.

Lutein daripada perkataan Latin iaitu lutea yang bermakna ‘kuning’. Ia adalah satu daripada 600 jenis karotenoid semula jadi yang didapati dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. Lutein adalah nutrisi penting yang berfungsi membantu menapis cahaya biru yang bertenaga tinggi dan berkemungkinan melindungi mata.

Mereka yang mengambil makanan mengandungi banyak lutein boleh membantu mengurangkan risiko penuaan makular dan katarak.

Selain boleh ditemui pada alam semula jadi, lutein juga datang dalam bentuk makanan tambahan dan susu formula. Antara susu formula mengandungi lutein ialah Wyeth, Progress Gold dan Promise Gold.

Simptom myopia


# Objek yang jauh kelihatan kabur

# Sakit kepala

# Duduk terlalu dekat dengan televisyen atau papan hitam

# Mendekatkan buku dengan mata apabila membaca

# Kelihatan tidak menyedari objek yang jauh di hadapannya

Oleh Hafizah Iszahanid



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom