Ambil tahu kandungan dalam makanan
Selamatkah makanan yang kita ambil setiap hari? Percayakah makanan itu benar-benar selamat meskipun kita sendiri yang menyediakannya?
Ada benarnya ungkapan 'kita adalah apa yang kita makan'. Ia menunjukkan betapa sebahagian diri kita banyak terbina daripada makanan yang diambil setiap hari.
Apa yang dimakan, itulah kelak yang akan membina kesihatan tubuh, fizikal, mental dan spiritual seseorang.
Namun, sejauh mana kita menyedari aspek keselamatan termasuk dari segi perolehan, penyediaan dan hidangannya?
Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca), Piarapakaran Subramaniam, menyifatkan masih ramai masyarakat Malaysia tidak faham dengan tahap keselamatan makanan sama ada bahan mentah atau makanan diproses.
"Tanggungjawab meningkat tahap keselamatan dan kualiti makanan terletak pada diri sendiri. Sebagai pengguna, kita perlu faham semua kandungan dalam makanan yang kita ambil dan tidak membuat andaian sendiri.
"Mungkin ikan mentah yang dibeli di pasar nampak segar pada luarannya, tapi kandungan plumbum dalam ikan itu boleh diragui. Begitu juga kandungan dalam bahan makanan yang sudah diproses seperti susu dan biskut.
"Di sini pentingnya kefahaman kita mengenai kandungan bahan dalam satu-satu makanan itu, apabila saya lihat masyarakat Malaysia belum memahami konsep itu," katanya ketika sesi perbincangan meja bulat Kenali Makanan Anda anjuran Nestle Malaysia Berhad, baru-baru ini.
Justeru, Fomca merancang mengadakan program jelajah kempen kesedaran ke seluruh Malaysia untuk memberi pengetahuan tambahan terutama kepada penduduk luar bandar.
"Mereka (penduduk luar bandar) selesa dengan kehidupan yang dijalani selama ini. Mungkin pada awalnya program ini tidak berjalan lancar kerana daripada maklum balas yang dijalankan Fomca sebelum ini, mereka tidak kisah dengan apa yang dimakan asalkan daripada sumber yang dianggap bersih.
"Apa yang mereka tidak faham, ada sesetengah makanan itu tampak elok, tapi mungkin sudah tercemar dengan pelbagai unsur ketika proses pemindahan, jualan dan penyimpanannya.
"Selain itu, Fomca turut merancang mengadakan ceramah bagi mengajar masyarakat Malaysia membaca label sebelum membeli makanan dalam tin.
"Pengetahuan dalam kandungan bahan makanan itu penting untuk mengelak salah faham dan timbulnya masalah berkaitan kesihatan seperti alahan.
"Tapi, kita juga tidak boleh paksa mereka untuk terima semua maklumat yang ingin disampaikan terutama bagi penduduk luar bandar. Maklumat yang akan diberikan juga tidak terlalu berat kerana ia boleh menakutkan mereka hingga akhirnya enggan mengambil satu-satu produk itu.
Menurutnya apa yang penting adalah asas kesedaran kepada makanan yang akan menjadi sasaran utama untuk kempen kesedaran berkenaan.
Perbincangan meja bulat itu turut disertai Pengurus Jaminan Kualiti Kumpulan Nestle Malaysia dan Singapura, Jasmine Lee; Timbalan Pengarah Divisyen Kualiti dan Keselamatan Makanan, Kementerian Kesihatan, Shamsinar Abdul Talib; Pengarah Urusan Kumpulan Soon Soon yang mewakili Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia, Datuk Neoh Soon Bin serta beberapa pengarang syarikat akhbar dan televisyen tempatan.
Piarapakaran tidak ketinggalan memberi beberapa tip untuk mengelak masalah pengambilan makanan tercemar.
"Seeloknya, makan hasil tempatan, sama ada mentah atau yang sudah diproses. Menggunakan bahan mentah yang ditanam sendiri turut digalakkan.
"Walaupun tinggal di kediaman bertingkat, masyarakat boleh berkebun dalam pasu. Selain menjimatkan wang, aspek kebersihan dan keselamatan pasti terjaga.
"Selain itu, kami juga menggesa kerajaan mewujudkan akta antimonopoli perniagaan perusahaan makanan untuk membolehkan pengguna mempunyai lebih banyak pilihan," katanya.
Oleh Nor Faizah Mohamed
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan