Saiz badan bukan segalanya
Keikhlasan hati, tarikan senyuman, kelembutan bahkan sarat dengan kasih sayang membuatkan segelintir wanita bersaiz XXL dikatakan ada keistimewaan tersendiri.
Hanya mereka yang pernah bersama si pemilik bentuk badan sedemikian mampu merungkai keistimewaannya kerana yang dilihat bukan hanya saiz, sebaliknya kelebihan lain yang lebih mustahak.
Bagi Harry Adnan, 40, dia sebelum ini tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga bagi mengakhiri zaman bujangnya tidak lama lagi kerana belum dipertemukan dengan wanita idaman.
Biarpun memiliki ramai teman wanita sebelum ini, pintu hatinya tidak pernah terbuka untuk mendirikan rumah tangga.
Namun, pertemuannya dengan seorang ibu tunggal, Siti Rudziah Lembek, 45, benar-benar menggoncang hatinya untuk berkongsi kasih seterusnya mendirikan istana bahagia berdua.
Baginya, keistimewaan pilihan hatinya itu bukan terletak pada bentuk badannya, tetapi sikap lemah lembut, penyayang serta keprihatinannya dengan orang sekeliling yang membuatkan hatinya begitu teguh untuk memiliki wanita berkenaan.
“Sebenarnya saya bersahabat baik dan pernah bekerja dengan arwah suami Siti Rudziah 15 tahun lalu. Sepanjang mengenali arwah suaminya, tentunya kami berjumpa dan dilayan sebagai sahabat suami dengan baik sekali. Batas ikatan itu terjaga sebaiknya dan saya banyak memerhati dari jauh saja.
“Saya mengagumi ketabahannya yang tak merungut, lembut dan sabar melayan arwah suami. Pernah terdetik di hati saya, kalaulah ditakdirkan hayat suaminya tidak panjang, saya amat berharap suatu hari nanti Tuhan membuka pintu hatinya buat saya.
“Walaupun perasaan itu hanya disimpan dalam hati, sepanjang melihat ketabahan Siti menjaga suami, saya seolah-olah ada rasa cemburu. Alangkah bertuah kalau saya mendapat isteri sebaik dirinya.
“Dalam diam saya berdoa supaya dia akan jadi milik diri ini sehinggalah arwah suami meninggal dunia, saya terus meluahkan isi hati namun saya dimarahi Siti,” katanya mengimbas kenangan lalunya.
Sebaik selepas edah, Harry berterus-terang kerana tidak mahu wanita yang dipujanya itu diintip lelaki lain. Biarpun ditengking dan dikatakan ‘gila’, kesungguhannya membuatkan Siti Rudziah meminta diberi peluang untuk berfikir panjang.
“Tidak sabar menunggu keputusan, namun tidak putus berdoa, akhirnya dia menerima hasrat hati. Apabila diperkenalkan kepada keluarga saya, tiada seorang pun yang membantah baik dari segi perbezaan usia mahupun fizikalnya yang agak berisi sebab semua itu tidak penting.
“Saya memilih Siti kerana dia terlalu istimewa di hati saya. Bahkan, saya menyintainya kerana yakin yang Allah mencipta dia untuk saling menyayangi,” katanya yang menidakkan tanggapan bahawa isteri berbadan besar tidak menarik.
Melihat bentuk badan Harry yang kurus melidi, pasti ramai yang mengatakan pasangan ini agak pelik dengan saiz badan agak ketara.
“Pada saya, keistimewaan dan kecantikan seseorang wanita bukan hanya pada bentuk fizikalnya. Terus-terang sebelum ini, saya dikelilingi ramai teman wanita yang kebanyakannya kurus langsing.
“Tetapi kecantikan luaran mereka itu tidak pernah menarik aura saya untuk mengakhirinya dengan perkahwinan kerana bukan kecantikan luaran yang saya cari.
“Kalau orang mengatakan saya ada niat lain seperti mahu menumpang kesenangannya, saya rasa itu tidak betul. Ini soal hati dan perasaan.
“Memang ramai wanita yang menaruh perasaan, tetapi hati ini tidak pernah terbuka. Mungkin jodoh saya dengan Siti agak kuat dan amat berharap cinta ini membawa bahagia hingga ke akhir hayat,” katanya yang mengakui bukan menjadi bebanan meskipun status wanita idamannya itu ibu dua cahaya mata.
Mengikut perencanaan, dia dan bakal isteri akan mendirikan rumah tangga sebelum Aidiladha ini dan berhasrat membesarkan lagi perniagaan restoran yang diusahakan mereka berdua di Seksyen 16, Shah Alam, Selangor.
Siti Rudziah pula terharu dengan perasaan bakal suaminya itu apatah lagi dia sudah lama menghidap kencing manis dan darah tinggi bahkan harus menyuntik insulin setiap hari.
Malah, soal ubat dan waktu pengambilan ubat pun diambil perhatian oleh bakal suaminya itu.
Begitu juga dalam soal makanan kerana lelaki itu turut memantau jika makanan itu mengandungi lemak berlebihan, kandungan kolesterol tinggi atau makanan manis demi memastikan kesihatannya diselia rapi.
“Lebih membuat saya terharu, dia tidak pernah memandang bentuk badan saya sebagai suatu penghalang dalam hubungan ini. Melihat kesungguhan yang ditunjukkan dan restu keluarga terutama anak-anak, tidak salah untuk saya menerimanya sebagai pasangan hidup.
“Walaupun arwah suami baru meninggal dunia, tidak bermakna saya tidak kasih kepadanya. Ingatan kepada arwah suami tidak pernah padam apatah lagi hampir lima tahun menjaganya ketika sakit.
“Apabila saya sakit sekarang, ada seseorang yang akan menjaga saya pula dan semua ini saya serahkan kepada Allah,” katanya yang sentiasa bersikap positif dalam menerima ketentuan takdir.
Oleh Noriah Idris
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan