Home » » Parasit Heartworm pembunuh senyap kucing

Parasit Heartworm pembunuh senyap kucing

Parasit Kucing

Apa perasaan kita kalau tiba-tiba kucing kesayangan yang nampak sihat dan aktif mati mengejut. Mesti kita akan tertanya-tanya sebab kematiannya kerana ia tidak menunjukkan tanda-tanda sedang sakit.

Ada antara kita boleh menangis dan sangat sedih kerana kematian kucing yang disayangi ini.

Sama seperti halnya dengan haiwan lain, terdapat pembunuh senyap yang menyerang secara tiba-tiba dan ini dikenali sebagai parasit Heartworm.

Tidak nampak dengan mata kasar, tidak menunjukkan akan menyerang, tetapi parasit ini mampu menarik nyawa kucing kesayangan secara tiba-tiba tanpa disangka.

Ramai peminat kucing yang sangat takut dengan parasit ini, apatah lagi secara kasarnya kita tidak boleh melihat tanda-tanda serangan parasit jahat ini.

Sejenis parasit

Heartworm adalah sejenis parasit yang menumpang dalam organ dalaman seperti jantung, paru-paru dan saluran darah. Menurut veterinar, parasit ini berwarna putih, panjangnya mencecah 12 inci serta berbentuk cacing.

Heartworm kebiasaannya adalah parasit yang biasa menjangkiti anjing dan akan merebak kepada si comel melalui pembawa parasit iaitu nyamuk. Parasit dewasa akan mengeluarkan telur microfilaria di dalam induk (anjing atau kucing) dan akan berenang di dalam saluran darah untuk mencari tempat pembiakan yang sesuai.

Gigitan nyamuk terhadap haiwan yang dijangkiti pula akan menyebabkan ia menyedut bersama telur Microfilaria dan kebiasaannya mengambil masa 10 hingga 14 hari untuk matang sebagai larva dalam nyamuk.

Nyamuk yang penuh dengan larva ini pula akan memindahkan larva matang kepada haiwan lain yang digigitnya. Ini bermakna nyamuk juga menjadi tempat untuk larva berkembang dan sebagai penyebar parasit.

Selepas pemindahan, parasit ini tidak terus menyerang tetapi secara perlahan-lahan ia akan memakan organ dalaman kucing. Ia akan mengambil masa selama 8 bulan untuk menjadi matang di dalam badan induk.

Parasit ini akan terus berenang di dalam saluran darah sehingga menemui tempat yang sesuai seperti jantung sebagai penempatannya. Heartworm kebiasaannya akan berada di dalam organ kucing selama 2 atau 3 tahun.

Antara tanda dijangkiti parasit ini adalah sama seperti dijangkiti penyakit lain seperti muntah, batuk, nafas berbunyi, kepenatan dan susut berat badan.

Tiada tanda khusus

Disebabkan tiada tanda khusus untuk menandakan ia dijangkiti parasit ini membuatkan agak sukar menilainya dijangkiti dengan parasit Heartworm.

Namun jika terdapat gejala seperti itu, elok bawa kepada veterinar walaupun hanya batuk atau demam biasa. Ini kerana lebih baik kita mencegah daripada merawati.

Perkara terbaik untuk mencegah adalah dengan menghapuskan pembawa parasit iaitu nyamuk. Rajinlah membersihkan kawasan sekitar rumah selain menyembur racun serangga bagi mengelakkan nyamuk.

Oleh Alzahrin Alias



 
Chatroom