Kebersihan diri berpandukan amalan Rasulullah
Kesempurnaan agama mencakupi setiap inci kehidupan umatnya. Nilai kebersihan yang diterapkan dalam kehidupan seharian penting untuk diamalkan. Disiplin dalam amalan kebersihan akan mencegah daripada penyakit berbahaya seperti demam denggi dan leptospirosis.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud kebersihan itu sebahagian daripada iman menjelaskan agama Islam sangat menitikberatkan kebersihan.
Kebersihan melalui ibadah solat
Selain itu, kepentingan kebersihan di sisi agama Islam boleh dilihat melalui ibadah solat yang meletakkan bersuci sebagai syarat sah ibadah itu. Ini kerana Islam agama fitrah dan fitrah itu sesuatu yang bersih serta suci.
Sabda Rasulullah SAW: Islam itu bersih oleh kerana itu bersihkanlah dirimu, sesungguhnya tidak akan masuk syurga kecuali orang yang bersih.
Umat Islam bukan saja dididik dengan kebersihan luaran, malah kebersihan dalaman atau kebersihan rohani. Firman Allah SWT: Dan bersihkanlah pakaianmu dan jauhilah perbuatan yang kotor (dosa). (Surah al-Muddatsir, ayat 4-5)
Setiap perkara yang kita lakukan adalah biasan atau cerminan daripada dalaman diri. Faktor ini menyebabkan Rasulullah SAW sangat menitikberatkan kebersihan hati iaitu tunjang utama kepada tubuh badan kita.
Umat Islam mesti mengambil berat kebersihan anggota badan, pakaian, tempat tinggal, persekitaran dan apa saja berkaitan kehidupan seharian kita. Hal ini bertepatan firman Allah SWT: Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan orang yang menyucikan diri. (Surah al-Baqarah, ayat 222)
Menjaga kebersihan satu ibadah dan mendatangkan pahala kerana ia perbuatan yang dicintai Allah SWT. Nabi Muhammad SAW menunjukkan cara menjaga kebersihan merangkumi semua bidang. Anggota luaran diberi perhatian lebih kerana ia membentuk personaliti selain membantu mencegah penyakit.
Saidatina Aishah berkata: Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah); memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendisendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinjak). (Riwayat Muslim)
Kebersihan mulut, gigi penting
Kebersihan mulut dan gigi juga penting. Profesional menyatakan, kesihatan anggota badan terutama sistem penghadaman bergantung kepada kebersihan mulut dan gigi.
Rasulullah SAW bersabda: Sekiranya ia tidak akan menjadi beban buat umatku, telah aku arahkan mereka supaya bersugi (memberus gigi) sebelum solat.
Keprihatinan Rasulullah SAW dalam soal kebersihan bukan saja mencakupi soal kebersihan mulut dan gigi, kekemasan rambut dan wajah. Sikap Baginda yang menitikberatkan amalan kebersihan memang tidak ada tolok-bandingnya.
Selain itu, Rasulullah SAW memberi tunjuk ajar cara memotong kuku dan bagi yang mengikut sunnah itu disediakan ganjaran pahala. Amalan ini penting kerana kuku yang panjang mempunyai sejenis kuman seperti terdapat dalam najis manusia iaitu e-coli. Kuman itu tidak akan hilang walaupun kita mencuci tangan dengan sabun.
Kebersihan dalam agama Islam turut meliputi ruang lingkup pemilihan makanan. Firman Allah SWT: Wahai orang yang beriman! Makanlah dari benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat.
Islam telah menggariskan panduan terbaik buat umatnya dalam soal kebersihan. Bukan garis panduan biasa, malah dibekalkan dengan ganjaran pahala buat umatnya sebagai bekalan akhirat.
Oleh Norhafizah Azizan