Senaman pesakit diabetes
Ramai beranggapan semua orang boleh bersenam sama ada melakukannya di gimnasium atau berlari di kawasan sekitar rumah. Bagi individu normal, bersenam mampu meningkatkan kesihatan sekali gus menjadikan bentuk tubuh lebih langsing dan menawan.
Keadaan ini berbeza dengan pesakit diabetes kerana mereka memerlukan teknik senaman yang betul bukan saja bergantung kepada jenis diabetes malah kandungan gula dalam darah. Senaman yang dilakukan secara konsisten membantu meningkatkan tahap kesihatan pesakit kencing manis sekali gus mengurangkan rasa letih dan tertekan.
Menurut Juruterapi Senaman Kementerian Kesihatan Malaysia Mohd Redza Abd Rahman, senaman yang boleh dilakukan pesakit diabetes bukanlah senaman berat terutama bagi mereka yang sudah berusia. Ini kerana bersenam tanpa pengawasan doktor akan menyebabkan penyakit menjadi lebih serius atau berkemungkinan pesakit pengsan atau pitam.
Apa yang boleh dilakukan sebelum memulakan sebarang aktiviti fizikal, pesakit harus membuat pemeriksaan doktor ke atas jantung dan mata terlebih dulu bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik. Malah pesakit dinasihatkan memeriksa kaki bagi memastikan tidak berlaku sebarang kecederaan, melecet, kulit tersiat, rekahan, tercalar dan luka pada kawasan anggota fizikal yang boleh menyebabkan luka diabetes menjadi lebih buruk.
Sekiranya terdapat sebarang luka, pesakit dinasihatkan menjalani rawatan kecederaan dengan segera sebelum ia menjadi bertambah teruk. Pemeriksaan ini perlu kerana pesakit diabetes biasanya tiada atau kurang deria rasa pada kaki, jelasnya.
Mereka juga perlu memantau paras gula dalam darah sebelum bersenam kerana senaman boleh mengurangkan dan juga meningkatkan kandungan gula dalam darah sekiranya tidak mengikut seperti yang ditetapkan.
Dalam hal ini, sangat penting mendapatkan nasihat doktor bagi mengelak sebarang kecederaan atau kemalangan ketika bersenam.
Ramai tidak tahu bagi pesakit diabetes, senaman ringan dapat memperbaiki tahap gula dalam darah. Ini kerana aktiviti fizikal dapat memperbaiki penggunaan glukosa oleh otot yang bergerak manakala kesannya akan kekal lebih daripada dua hari.
Profil lemak dalam darah dan tekanan darah yang memberi kesan kepada diabetes juga akan bertambah baik dengan kerap bersenam.
Selain perkara di atas, pesakit juga perlu mengetahui jenis kencing manis yang dihidapi sama ada diabetes melitus 1 atau 2. Diabetes melitus ialah sejenis penyakit endokrin yang berpunca daripada kegagalan badan menggunakan kandungan gula dalam darah sehingga menyebabkan kandungan gula melonjak melepasi tahap normal (100 hingga 250 mg/ dL).
Mereka yang menghidap diabetes melitus jenis 1 menyebabkan badan gagal mengeluarkan hormon insulin yang diperlukan bagi menukarkan gula kepada tenaga manakala jenis 2 pula berlaku apabila badan tidak mengeluarkan insulin secukupnya atau tidak dapat memanfaatkan insulin dengan sempurna.
Kedua-dua jenis diabetes iaitu jenis 1 dan 2 boleh dielakkan atau diperbaiki dengan selalu melakukan senaman ringan.
Fakta menunjukkan individu yang menghidap diabetes jenis 1 dan selalu bersenam, memerlukan kurang insulin manakala individu sihat yang selalu bersenam berkemungkinan besar tidak akan mendapat diabetes jenis 2. Sebabnya, bersenam mengurangkan lemak dalam badan dan seterusnya menambah baik tahap sensitif badan terhadap insulin, katanya.
- Jenis senaman
Bagi pesakit diabetes, senaman boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu regangan, aerobik dan rintangan. Sama ada bagi orang yang sihat atau berpenyakit, asasnya sama iaitu harus mengekalkan kesederhanaan ketika bersenam.
Pesakit diabetes harus memulakan senaman regangan seperti yang dilakukan setiap kali sebelum bersenam.
Senaman regangan mudah seperti meregangkan leher iaitu memusingkan kepala ke kanan atau kiri beberapa saat, bahu dengan menarik tangan kanan ke arah kiri sambil tangan kiri mengampu di bawah siku kanan serta menggerakkan betis dan paha. Senaman aerobik pula lebih bersifat cergas seperti berbasikal, berjalan, berjoging, berenang dan menari.
Senaman rintangan pula bertujuan menguatkan anggota tertentu seperti duduk di kerusi sambil mengangkat kaki ke paras kerusi atau mengangkat dumb bell, katanya.
Redza yang juga Penasihat Saintifik Pemakanan dan Neutrasutikal ZMC SihatSunnah menjelaskan, pesakit diabetes tidak boleh melakukan senaman drastik atau terlalu berat seperti angkat berat atau berlari laju bagi mengelak berlakunya kerosakan saraf.
Senaman yang sesuai diamalkan berbentuk perlahan dan perlu dilakukan secara konsisten. Contohnya, berenang atau senaman di dalam air kerana air dapat menyokong berat badan dan mengurangkan tekanan ke atas kaki. Senaman seperti yoga atau tai chi juga membantu keseimbangan badan serta memberi rasa selesa dan tenang kepada pesakit.
Apa juga jenis senaman, pergerakan perlu dilakukan secara perlahan-lahan, kemudian ditingkatkan menjadi lebih cepat mengikut kemampuan badan. Jika tiada kecederaan, lakukan senaman sehingga 30 minit sehari dalam masa lima hari seminggu, ulasnya.
Pesakit yang ingin berjalan harus memastikan memakai kasut sesuai, selesa serta memastikan tali kasut diikat ketat supaya ia tidak terpijak semasa berjalan yang boleh mengakibatkan jatuh atau tercedera.
Bagi mengelak pesakit pitam atau muntah selepas bersenam, mereka dilarang duduk, sebaliknya berjalan perlahan-lahan untuk menyejukkan badan. Ketika ini pesakit juga tidak digalakkan mandi, sebaliknya minum air secukupnya bagi menggantikan air yang hilang melalui proses perpeluhan ketika bersenam.
Dalam hal ini, jelas Redza, senaman bertindak dalam dua cara bagi mengawal diabetes.
Senaman boleh memberi stimulasi agar lebih banyak insulin di dalam badan dirembes keluar serta sensitisasi semula tisu otot dan lemak terhadap insulin yang dikeluarkan oleh organ pengeluar iaitu pankreas.
Senaman aerobik dan anaerobik (tenaga yang dikeluarkan apabila oksigen dalam otot kurang semasa gerak intensiti tinggi) ialah penjana kuat yang boleh menolong mengimbangi metabolisma di dalam badan manusia.
Oleh itu pesakit digalakkan kerap bersenam sebagai langkah pencegahan awal daripada menghidap diabetes serta dapat mengurangkan peningkatan gula dalam darah.
Pesakit juga perlu membuat pemeriksaan kandungan glukosa dalam darah sebelum dan selepas menjalani aktiviti fizikal. Ini penting bagi mengetahui kesan aktiviti fizikal itu ke atas gula dalam darah.
Pesakit boleh mengetahui menerusi julat kandungan gula dalam darah yang selamat iaitu di antara 100 hingga 250 mg/dL. Jika purata gula dalam darah melebihi 250mg/dL dan individu mempunyai diabetes jenis 1, dia perlu menjalani pemeriksaan kandungan keton dalam air kencing. Sekiranya kandungan keton ini sederhana atau tinggi, tangguhkan dulu aktiviti fizikal ini sehingga bacaannya turun. Ini bagi mengelak pesakit pengsan sekiranya terus bersenam, katanya.
Bagi pesakit yang kerap letih, lesu dan berada dalam keadaan tertekan, sebenarnya ia berpunca daripada kekurangan oksigen di dalam sistem otot sekali gus menggalakkan pembentukan asid laktik. Apabila asid laktik terlalu banyak, ia menyebabkan berlaku proses penegangan tisu otot sekali gus menyebabkan pesakit menghadapi masalah di atas.
Bagi mengurangkan rasa letih, mengantuk dan lesu, senaman pada setiap pagi dengan menggerakkan kaki perlahan dan sedikit laju selama tiga, empat dan lima minit secara berulang mampu mengurangkan masalah ini. Selain berdiri, pesakit juga boleh duduk di kerusi sambil menggerakkan kaki atau berjalan turun naik satu anak tangga untuk memberikan kesegaran pada badan.
Bagi mereka yang memilih menggunakan treadmill haruslah tidak mempunyai masalah lutut atau berbadan besar. Mereka juga digalakkan memilih kelajuan rendah dan perlahan kemudian dipertingkat sedikit demi sedikit. Senaman ini boleh dilakukan selama 30 hingga 40 minit mengikut ketahanan badan, ujar Redza.
- Patuhi jadual pengambilan ubat
Bagi mendapatkan kesan optimum ke atas ubat, pesakit perlu mematuhi jadual pengambilan secara berkesan.
Sebaiknya jangan makan ubat ketika perut kosong. Ini kerana jika pesakit bersenam pada hari di mana dia mengambil ubat, ini boleh menimbulkan masalah hipoglisemia dan menyebabkan pesakit pitam serta-merta.
Jelas Redza, ada juga golongan yang dikategorikan sebagai `atas pagar' iaitu mereka yang mempunyai paras gula dalam darah agak tinggi, tetapi belum dikategorikan sebagai pesakit kencing manis serta mempunyai sejarah keluarga mengalami masalah kegagalan buah pinggang dan kencing manis.
Golongan ini berisiko rendah mendapat penyakit kencing manis sekiranya sering bersenam dan pada masa sama, paras gula boleh dikurangkan tanpa perlu mengambil ubat, ujarnya.
Apa yang boleh disimpulkan, bagi pesakit diabetes bersenam bukan saja menyihatkan, menjaga berat badan dan melancarkan aliran darah, tetapi lebih penting ia mampu meningkatkan kadar penyerapan insulin dan mengawal paras gula dalam darah.
Sekiranya pesakit diabetes mengikut peraturan di atas dan menjaga pemakanan, tidak mustahil mereka dapat menjalani kehidupan lebih sihat sama seperti orang lain. Apa yang penting mendapatkan maklumat jelas mengenai senaman serta mengamalkannya, ujar Redza sambil menunjukkan teknik senaman ringan untuk pesakit diabetes yang dapat dilakukan di rumah atau gimnasium.
Oleh Siti Zarinah Sahib