Home » » Gigi emas

Gigi emas

Emas adalah logam berharga yang sentiasa didambakan wanita untuk dijadikan aksesori penyeri wajah dan menambah keanggunan.

Fungsi emas, tidak saja terbatas untuk dibuat pelbagai aksesori seperti rantai, gelang, cincin dan subang, malahan ia juga digunakan dalam bidang pergigian sejak 3,000 tahun lalu.

Buku pertama diterbitkan dalam peradaban Barat ialah Artzney Buchlein pada 1530, menunjukkan bagaimana doktor gigi memasukkan emas ke dalam gigi yang berlubang dan sehingga kini, tradisi berkenaan masih dilakukan oleh segelintir individu, tetapi dengan cara berbeza.

Justeru, tidak hairan suatu ketika dulu ada segelintir orang tua yang memiliki gigi emas sebagai perhiasan diri. Pada zaman moden ini, bukan saja orang tua, malah generasi muda jarang atau mungkin tidak ada yang memasang gigi emas bagi tujuan perhiasan.

Selebriti Barat pakai gigi emas

Bagaimanapun, berbeza di Barat, beberapa selebriti antarabangsa semakin ghairah menggunakan gigi emas sebagai aksesori penyeri wajah. Contohnya, penyanyi popular Madonna, Katy Perry dan Miley Cyrus adalah antara selebriti Barat yang memakai gigi emas dengan cara tersendiri.

Gigi emas

Bukan setakat kilauan warna keemasan dipakai pada gigi, tetapi ada juga yang menambah nilainya dengan meletakkan tatahan berlian dan emas putih.

Bagaimanapun, dalam mengikuti arus fesyen kecantikan semasa, beberapa perkara juga perlu diambil perhatian memandangkan mulut mengandungi pelbagai jenis bakteria yang mudah menyebabkan kerosakan gigi.

Pegawai Pergigian Beverly Wilshire, Dr Yoganjali Dorairaj, berkata dua jenis gigi emas iaitu emas yang disalut terus ke gigi (direct gold) yang dibuat sendiri oleh pegawai pergigian atau lebih dikenali sebagai `crown' yang diklasifikasikan sebagai perhiasan dan tidak boleh ditanggalkan serta acuan gigi emas (grill) yang boleh ditanggalkan.

Katanya, emas yang disalut pada gigi adalah antara cara paling tertua iaitu pada awal abad 19 dengan pengisian logam lain seperti timah hitam, timah, platinum, perak atau aluminium.

Timah hitam disahkan beracun

Bagaimanapun, timah hitam dikatakan pengisian paling popular pada zaman itu sebelum disahkan beracun.

"Bagi acuan gigi emas pula, sejarahnya bermula daripada masyarakat Mayans (dibawa oleh masyarakat dari Tenggara Mexico dan Amerika) memasukkan elemen batu permata atau jed ke dalam acuan gigi emas berkenaan.

"Budaya ini dipopularkan oleh hip hop di Amerika Syarikat sehingga 1980-an. Ketika itu kebanyakan orang yang membelinya untuk tujuan estetik," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dr Yoganjali berkata, walaupun permintaan untuk gigi emas popular di luar negara oleh segelintir masyarakat yang mampu, namun di negara ini tidak ada permintaan.

Kebanyakan pesakit tidak memilih untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan dan lebih suka kepada sesuatu yang kelihatan lebih asli.

Simbol kekayaan

"Tujuan gigi emas ini dipakai sama seperti dulu. Jika dilihat sejarah, gigi emas dipakai sebagai simbol kekayaan dan tahan lama. Ia juga digunakan sebelum perak menjadi material yang juga boleh digunakan.

"Bagaimanapun, bahan tampalan yang digunakan mestilah memenuhi beberapa aspek penting. Antaranya ia mestilah sesuai untuk semua bahagian dalam mulut, serasi tanpa ada kesan negatif, boleh tahan geseran ketika mengunyah makanan, mudah dipasang dan berbaloi penggunaannya," katanya.

Malangnya, semua bahan logam ini mempunyai konduktor haba yang berupaya memberi kesan seperti kejutan galvani iaitu tindak balas elektrik dengan tindak balas kimia.

Justeru, perkara ini boleh dikurangkan dengan meletakkan asas atau lapisan.

Kebiasaannya kandungan gigi emas ini dihasilkan dengan 24 karat (k) atau 18k. Gigi emas mempunyai nikel dan boleh menyebabkan reaksi alahan.

Justeru, acuan gigi emas ini dibuat dalam pelbagai jenis logam yang kadangkala digabungkan dengan batu permata.

Lazimnya, emas di luar negara mempunyai banyak karat seperti 10k; 14k; 18k; 22k dan emas putih.

Di negara ini, sebatang gigi emas `crown' boleh mencapai harga bermula antara RM1,200 hingga RM2,500, tetapi tetap mengikut harga pasaran semasa emas.

Katanya, prosedur pemakaian gigi emas ini mudah seperti prosedur tampalan lain namun mementingkan aspek kebersihan dan sebagainya.

Acuan gigi khas

"Bagi gigi emas yang kekal, hanya 1 milimeter (mm) saja gigi akan dinipiskan, iaitu struktur asal akan lebih terpelihara. Struktur akan dihantar ke makmal dan juruteknik makmal akan membuat acuan dan dalam tempoh dua minggu saja boleh digunakan," katanya.

Bagi gigi emas atau `grill' yang boleh ditanggalkan pula, ia dibuat daripada acuan gigi khas. Malah, bagi individu yang ingin mencuba, acuan ini juga boleh ditempah secara dalam talian sama ada murah atau mahal.

Cuma gigi emas ini perlu ditanggalkan ketika tidur untuk mengelak tertelan.

Pemakaian untuk bergaya tidak digalakkan

Mengikut Persatuan Pergigian Amerika, acuan gigi emas yang dibuat daripada logam asas boleh menyebabkan alahan dan kerengsaan dan berkemungkinan bakteria akan terperangkap pada celah acuan, selain masalah gusi, kaviti atau kerapuhan tulang.

Dr Yoganjali berkata, kebersihan gigi emas perlu dijaga seperti gigi biasa iaitu perlu memberus setiap hari dan menanggalkannya ketika tidur dan makan kerana bimbang tertelan.

Mereka perlu melakukan pemeriksaan gigi setiap enam bulan sekali dan kerap flos.

"Saya berpendapat, pemakaian gigi emas semata-mata untuk bergaya tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan banyak masalah timbul.

Bukan untuk bergaya

"Saya juga menasihatkan sesiapa yang menghadapi masalah gigi sebenar boleh menggunakan emas sebagai `crown' kerana materialnya tahan lama, selamat, mudah untuk menyesuaikan, manakala gigi emas yang boleh ditanggalkan pula boleh digunakan kepada mereka yang begitu menjaga kebersihan oral," katanya yang mencadangkan usia 18 tahun ke atas sesuai untuk menggunakannya kerana rahang sudah stabil.

Jelasnya, sebagai doktor gigi, pesakit yang ingin memakai gigi emas akan disaring kesihatannya terlebih dulu berikutan bimbang jika mempunyai alahan terhadap logam asas selain mereka yang menghidap sawan dan asma kronik.

Oleh Saadiah Ismail



 
Chatroom