Home » » Kisah Shuhaib bin Sinan (Pahlawan Islam)

Kisah Shuhaib bin Sinan (Pahlawan Islam)

Kisah Shuhaib bin Sinan (Pahlawan Islam)

Shuhaib bin Sinan dilahirkan dalam lingkungan kesenangan, bapanya dilantik Kisra Parsi sebagai hakim dan Datuk Bandar Ubuilah. Kemudian, negeri itu menjadi sasaran Rom yang datang menyerbu dan menawan.

Shuhaib bin Sinan antara penduduk yang ditawan dan sejak itu dia menjadi hamba sahaya yang dijual beli. Pengembaraan hidupnya membawa beliau jauh dan berakhir di Makkah. Majikan yang tertarik dengan kecerdasan serta kejujurannya, memerdekakan Shuhaib malah, memberi peluang dia berniaga bersamanya.

Dikenali dengan panggilan iman

Shuhaib bin Sinan memeluk Islam di rumah Arqam selepas mengetahui kehadiran Rasulullah SAW dan setelah mendengar mengenai akidah Islam, dia terus berbaiah kepada utusan Allah SWT. Sejak itu, panggilan iman tidak dapat dibendung.

Semua itu adalah rahmat daripada Allah SWT yang dilimpahkan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, serta petunjuk-Nya yang diberikan kepada orang yang kembali dan menyerahkan diri kepada-Nya.

Shuhaib bin Sinan adalah pengikut setia Rasulullah SAW dan setiap perjuangan Baginda, dia akan berada sama ada di kanan atau kiri baginda. Jika ada yang dibimbangkan, dia akan menyerbu di barisan paling hadapan, jika ada kecemasan di belakang, dia akan berundur ke belakang.

Dikisahkan, ketika hijrah Baginda ke Madinah, Shuhaib bin Sinan mengetahuinya dan mengikut perancangan dia akan menjadi orang ketiga di samping Rasulullah SAW serta Abu Bakar. Namun, orang Quraisy membuat persediaan menghalang hijrah itu.

Shuhaib pula terperangkap dalam salah satu perangkap Quraisy sementara Baginda dan Abu Bakar berjaya meloloskan diri. Bagi mengelak tuduhan orang Quraisy dan melengahkan mereka, Shuhaib memacu untanya laju menuju Sahara.

Orang Quraisy mengekorinya dan usaha mereka hampir berjaya, tetapi Shuhaib bin Sinan kemudian menawarkan mereka hartanya yang disembunyikan sebagai helah untuk melepaskan diri dan dia berjaya.

Beriman dengan harta kekayaan

Shuhaib meneruskan perjalanan hijrah seorang diri hingga berjaya menyusul Rasulullah SAW dan Abu Bakar di Quba. Shuhaib telah menebus dirinya untuk beriman dengan segala harta kekayaannya tetapi sedikitpun dia tidak merasa rugi.

Shuhaib amat disayangi Rasulullah kerana kesolehan serta ketakwaannya. Dia juga dikenali sebagai seorang yang ceria dan suka berjenaka. Malah Rasulullah pernah berjenaka dengan Shuhaib yang sedang makan kurma dengan sebelah matanya bengkak.

Baginda bertanya sambil ketawa: "Kenapa kamu makan kurma dan sebelah matamu bengkak? Shuhaib menjawab: Apa salahnya, aku memakannya dengan mata sebelah lagi."

Shuhaib juga seorang yang pemurah dan disebabkan kemurahan hatinya mendermakan makanan, dia pernah diberi peringatan olah Umar al-Khattab, tetapi jawab Shuhaib, beliau mendermakan hartanya kerana pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik kamu ialah yang suka memberi makanan."

Saat-saat Umar akan menghadap Penciptanya, beliau berpesan kepada sahabat hendaklah Shuhaib menjadi imam kaum Muslimin dalam solat. Kebiasaannya khalifah akan menjadi imam dalam solat kaum Muslimin, tetapi sementara menanti pelantikan khalifah seterusnya, Shuhaib diberi pengiktirafan menjadi imam.

Peristiwa itu adalah kesempurnaan kurniaan Allah terhadap hamba-Nya yang soleh iaitu Shuhaib bin Sinan.

* Diubah suai daripada buku Siri 100 Pahlawan Syurga - Jilid 2



 
Chatroom