Home » » Sinopsis Arrow, siri aksi fiksyen di TV3

Sinopsis Arrow, siri aksi fiksyen di TV3

Sinopsis Arrow
Kisah siri Arrow bermula apabila jutawan Starling City, Oliver Queen (Stephen Amell) yang menghabiskan masa lima tahun terkandas di sebuah pulau selepas kapal yang dinaikinya karam, mangsa lain termasuklah bapanya, Robert Queen dan adik bekas teman wanitanya, Sara Lance. Kepulangan Oliver ke Starling City disambut oleh ibunya, Moira bersama suami barunya, Walter Steele dan adiknya, Thea. Dia juga diraikan oleh rakan karibnya, Tommy Merlyn, anak ahli perniagaan berjaya, Malcolm Merlyn. Oliver cuba membetulkan hubungan yang terputus dengan bekas kekasihnya, Laurel, tetapi wanita tersebut terus-menerus menyalahkan Oliver atas kematian Sara.

Sejak kembali ke Starling City, berlaku perubahan yang besar pada diri Oliver. Setiap malam beliau akan mengenakan pakaian jaket kepala berwarna hijau bagi merahsiakan identitinya lengkap dengan senjata busur panah. Tujuan Oliver adalah untuk menunaikan permintaan terakhir bapanya. Robert Queen mahu melihat kumpulan penjenayah dihapuskan dan mengembalikan keharmonian di Starling City seperti sediakala serta membaiki kesilapan keluarga Queen. Tugas pertama Oliver ialah menjatuhkan jutawan korup, Adam Hunt, yang telah memperguna dan menipu ramai penduduk di Starling City bernilai jutaan dollar.

Penampilan terbaru Oliver menjadi tumpuan detektif polis Quentin Lance, bapa kepada Laurel dan Sara, yang merancang untuk menangkap kerana dendam atas kematian anak perempuannya dan perpisahan dengan isterinya, tanpa menyedari Oliver mempunyai dua identiti. Namun, Oliver tidak keseorangan kerana dia dibantu oleh pengawal peribadi, John Diggle, yang kemudian menyertai Oliver untuk menegakkan keadilan. Pada waktu yang sama, ibu Oliver, Moira, menyembunyikan rahsia bahawa dia mengetahui tragedi kapal karam lima tahun lalu sebenarnya disabotaj.

Laurel memfailkan saman sivil terhadap Martin Somers, yang juga merupakan salah seorang sasaran Oliver kerana lelaki itu terlibat dalam penyeludupan dadah dengan kumpulan Cina yang menyebabkan kematian bapa seorang wanita muda. Dengan penampilan misteri, Oliver mengancam Somers untuk membuat pengakuan atas segala kesalahan yang telah dilakukan terhadap bandar tersebut. Bagaimanapun, sebaliknya berlaku apabila Somers menghubungi kumpulan Cina itu, yang menghantar pembunuh upahan untuk membunuh Laurel.

Namun, Oliver berjaya menyelamatkan Laurel, dia kemudiannya mendapatkan pengakuan Somers dan memberi rakaman audio tersebut kepada Detektif Lance. Sementara itu, Moira dan Walter cuba meyakinkan Oliver untuk menerima jawatan di syarikat keluarga Queen. Oliver menolak apabila dia dengan sengaja memberitahu kepada umum syarikat itu sedang mencari calon untuk jabatan sains, menyedari dia tidak mampu merealisasikan hasrat bapanya dan menjadi lelaki seperti yang dimahukan oleh ibunya dalam satu masa.

Oliver teringat kembali peristiwa di pulau apabila dia diserang oleh lelaki berpakaian jaket kepala lengkap dengan busur dan panah. Apakah yang sebenarnya berlaku di pulau tersebut? Selain Adam Hunt dan Martin Somers, siapakah sasaran Oliver yang seterusnya? Jangan lepaskan peluang menonton karya terbaru Greg Berlanti, Marc Guggenheim dan Andrew Kreisberg serta ikuti bagaimana Oliver berubah menjadi seorang wira yang dikenali sebagai ‘Arrow’ dalam melaksanakan hasrat terakhir ayahnya di setiap episod!

Saksikan siri aksi fiksyen terbaru ‘Arrow’ musim pertama setiap hari Selasa jam 11.00 malam, eksklusif di TV3.

Arrow menampilkan pelakon-pelakon popular iaitu Stephen Amell, Katie Cassidy, Colin Donnell, David Ramsey, Willa Holland, Susanna Thompson dan Paul Blackthorne, siri ini diadaptasi dari komik superhero ‘Green Arrow’ terbitan DC Comics.



 
Chatroom