Home » » Pokok Kepundung

Pokok Kepundung

Pokok Kepundung
Pokok Kepundung

Nama Saintifik: Baccaurea racemosa
Famili: Euphorbiaceae
Nama Lain: Menteng, Lulai Paya dan Setambun Betina

Bila kita sebut buah Kepundung, mungkin nama buah ini terlalu asing bagi generasi sekarang, apatah lagi jika disebut Menteng, Lulai Paya atau Setambun Betina.

Buah Kepundung tergolong dalam famili Euphorbiaceae dan dikenali dengan nama saintifiknya, Baccaurea Racemosa.

Kepundung juga dikenali sebagai Setambun Betina.

Berasal dari Jawa, Sumatera dan Semenanjung Malaysia dan pada satu ketika dulu, buah Kepundung mudah ditemui di dusun dan kampung.

Buahnya boleh dimakan segar dan rasanya masam manis, seakan-akan buah rambai. Bagaimanapun, pokok ini jarang ditemui lagi dan kemungkinan masih terdapat di kampung-kampung lama.

Pokoknya bersaiz sederhana setinggi 10 hingga 20 meter, batangnya kira-kira 25 - 40 sentimeter (sm) diameter, dahan yang banyak membentuk silara yang padat.

Daunnya ovat-oblong hingga obovat-oblong, 12 hingga 15 sm panjang, 4 hingga 6 sm lebar, petiolnya 1 hingga 4 sm panjang. Infloresennya terdapat pada dahan tua dan batang.

Bunga jantan banyak dan kecil pada rasem sepanjang 5 hingga 12 sm. Bunga betinanya, banyak berwarna putih pada rasem sepanjang 10 hingga 20 sm.

Buahnya 2 - 2.5 sm diameter, bergantungan pada tangkai yang panjang, berwarna hijau ketika muda dan bertukar kekuningan atau kemerahan apabila masak. Buah ini mengandungi 1 - 3 biji yang nipis dibaluti oleh pulpa yang jernih dan berjus.

Sebagai pokok buah yang popular dan digemari masyarakat desa zaman dulu, sepatutnya pokok ini ditanam dan dipopularkan sebagai elemen seni taman supaya generasi muda sekarang dapat mengenali warisan negara yang ada kaitan dengan bahan makanan. Apatah lagi buah ini belum lagi melalui uji kaji mengenai khasiat makanan atau khasiat perubatan.

Pokok ini jarang ditanam secara formal. Pokok yang terdapat di dusun biasanya hasil daripada buangan biji benih. Burung dan haiwan kecil adalah penyebar utama pokok ini.



0 Komen:

Catat Komen

 
Chatroom