Home » » Keburukan, Kebaikan Tuala Wanita: Tip Memilih Dan Memakai Tuala Wanita

Keburukan, Kebaikan Tuala Wanita: Tip Memilih Dan Memakai Tuala Wanita

Tuala Wanita: Baik Buruk, Tip Memilih Dan Memakai Tuala Wanita

Datang bulan atau haid (period) adalah fitrah bagi seorang wanita. Ketika haid, tuala wanita menjadi teman rapat. Tetapi, tahukah kita tuala wanita yang salah bakal mengundang pelbagai risiko penyakit wanita?

Keputihan melampau, radang rahim, jangkitan seperti endometritis, bau busuk, jangkitan saluran kencing, kerap kencing, otot rahim longgar dan kawasan intim tidak produktif antaranya merupakan masalah yang berlaku akibat daripada pemilihan pad yang salah.

Kajian kanser rahim dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan 80 peratus daripada wanita di dunia ini menghidapi penyakit genekologi yang berbeza tahap.

Sebanyak 75 peratus daripada penyakit ginekologi adalah disebabkan oleh penjagaan yang tidak betul semasa haid dan penggunaan tuala wanita yang tidak berkualiti.

Laporan WHO juga menyebut pada tahun 2012 sebanyak 528,000 kes baharu kanser serviks yang menyebabkan kematian di seluruh dunia.

Kanser rahim atau kanser serviks merupakan antara kanser utama kalangan wanita dan kanser kedua terbanyak selepas kanser payudara termasuk Malaysia. Sebanyak 10.5 peratus dari kematian wanita yang mengidap kanser adalah disebabkan oleh kanser servik.

Keputihan itu asid

Masalah paling biasa dihidapi wanita adalah keputihan. Ramai wanita beranggapan keputihan itu perkara biasa. Lebih-lebih lagi apabila berasakan keputihan yang dialami tidak berbau dan tidak berwarna. Sedangkan hakikatnya keputihan adalah asid, dan asid fungsinya merosakkan.

Buktinya? Kalau keputihan terkena seluar dalam pun terkoyak!

Pembuatan tuala wanita juga dikaitkan dengan penggunaan kertas, pulpa kayu dan bahan kimia yang bersifat kekal. Bahan kimia yang digunakan dalam tuala wanita mengakibatkan tuala wanita kelihatan putih bersih dan tampak selesa sedangkan proses pelunturan menggunakan kimia tersebut menghasilkan bahan penyebab kanser disebut dioksin.

Pusat Penyelidikan Kanser Antarabangsa telah mengelaskan dioksin sebagai karsinogen kelas pertama kepada manusia. Kajian menunjukkan walaupun kandungan dioksin dalam tahap yang rendah ia masih mampu menyebabkan kanser dan pelbagai sakit puan yang lain.

Bahaya Tuala Wanita

Namun hendak mengelakkan tuala wanita seratus peratus adalah mustahil. Pada zaman ini kita tidak seperti masa lalu di mana orang dulu-dulu membuat tuala wanita sendiri sama ada menggunakan perca kain ataupun tuala bersih.

Peredaran zaman menyebabkan wanita dicemburui masa, justeru, pada saat-saat genting didatangi haid, tuala wanita siap adalah pilihan utama.

Tips memakai tuala wanita lebih selesa

Pernahkah anda rasa kegatalan, kepanasan dan kesakitan ketika haid? Boleh jadi apa yang berlaku itu adalah disebabkan pemakaian tuala wanita yang tidak telus udara.

Maka, memilih tuala wanita yang sesuai dan mengekalkan ciri-ciri kesihatan adalah penting untuk wanita mengelakkan masalah tersebut.

Pilihlah tuala wanita yang terbukti ciri-ciri kebersihan dan keselamatannya. Semak label pembuatan dan tarikh luput serta penggunaan bahan-bahan pembuatannya

Merujuk kepada mereka yang lebih pakar adalah tindakan yang baik sekiranya anda mempunyai kemusykilan mengenai sesuatu produk berkaitan wanita.

Berikut antara langkah pemakaian pad yang selesa dan selamat:-

Cuci tangan sebelum dan selepas - Mencuci tangan sebelum memakai pad adalah langkah terbaik bagi mengelakkan bakteria pada tangan terkena pad yang mahu dipakai. Cuci pad sebelum buang juga adalah disyorkan untuk kebersihan.

Pilih pad berbungkus kedap

- Udara yang kedap akan mengelakkan pembiakan bakteria dalam tuala wanita. Justeru pastikan pad yang anda beli dibungkus rapi.

Pakai ketika duduk
- Memakai pad ketika berdiri akan membuatkan anda berbongkok dan pemakaian pad tidak kemas.

Selalu tukar
- Selalu tukar tuala wanita selepas beberapa jam untuk mengelakkan jangkitan kuman. Jangan pakai terlalu lama kerana semakin lama anda pakai semakin banyak bakteria berkumpul dan berpeluang merebak ke bahagian pangkal rahim anda.

Pakai seluar longgar 
-  Memakai seluar longgar akan memberikan pengudaraan yang lebih baik untuk keselesaan anda.

Perkara penting yang hendak disampaikan di sini ialah, elakkan dari membeli pad yang dibuat dari kertas kitar semula. Bagaimana mengenal pasti sama ada pad anda dari bahan kitar semula adalah dengan cara membuat uji kaji sendiri. Buka pad anda dan rendamkan di dalam semangkuk air.

Jika anda mendapati pad tersebut berkepul-kepul seperti kertas, ia adalah dari bahan kitar semula. Pad jenis ini juga menimbulkan bau yang amat busuk.

Tips ketika membeli pad ialah, jangan sesekali membeli pad pada harga murah dan tawaran istimewa dua atau tiga pek dalma sati harga kerana dikhuatiri pad tersebut telah tamat tempoh.

Kebanyakan pad yang ditawarkan pada harga sebegini tidak mempamerkan tarikh luput. Sila semak untuk keselamatan anda.

Minimumkan penggunaan pad

Ketika zaman nenek moyang kita tak pernah wujud istilah pad atau tuala wanita. Kalau ada pun mereka menggunakan cara tradisional sama ada memotong kain batik dijadikan alas ketika haid atau menggunakan tuala good morning.

Saya sendiri ketika awal baligh menggunakan tuala wanita buatan sendiri menggunakan kain. Sehinggalah saya remaja dan mula mengenali tuala wanita di pasaran.

Saya masih ingat lagi kakak minta saya ke kedai beli Sanita. Sanita antara jenama pad yang terkenal awal-awal dulu kerana harganya yang murah. Saya tidak tahu bahawa Sanita itu adalah tuala wanita.

Kakak akan pesan, cakap sahaja pada tuan kedai nak beli Sanita dan dia akan bagi. Bungkus dulu dengan kertas baru masuk dalam plastik. Apabila sudah remaja barulah saya tahu ia sejenis pad yang digunakan ketika haid.

Namun lama-kelamaan apabila saya mengetahui tentang bahayanya tuala wanita yang diperbuat daripada kertas kitar semula, saya jadi takut dan meminimumkan penggunaan pad pasaran, sebaliknya kembali kepada kaedah tradisional

. Biasanya hari pertama hingga ke tiga sahaja saya gunakan pad dan untuk hari seterusnya saya bertukar kepada kain tradisional pula.

Saya memang telah lama menerima informasti berkenaan bahaya tuala wanita zaman sekarang. Jadi sebab itu saya mengelakkan diri daripada terlalu bergantung dengan pad yang ada di pasaran. Hendak mengelak seratus peratus memang susah sebab saya bekerja dan perlukan masa yang singkat dan cepat untuk bersiap.

Jadi, masih menggunakan pad pasaran namun ketika membeli saya akan pastikan label tarikh luput dan beli pad yang saya yakin seratus peratus menggunakan kapas. Biarlah mahal sedikit asalkan tidak meninggalkan kesan jangka panjang.

Sebenarnya menggunakan pad pasaran atau yang dibuat sendiri pun belum tentu menjamin keselamatan. Kerana itulah kita sebagai wanita dinasihatkan untuk kerap menukar tuala wanita ketika haid serta mengelakkan penggunaan panty liner.

Ini bagi membolehkan alat sulit kita mendapat pengudaraan yang baik dan tidak terperap dalam jangka masa lama. Bakteria akan cepat membiak pada pad yang kotor. Jadi saya akan pastikan setiap dua atau tiga jam sekali, akan tukar.

Kadangkala jika berasakan gatal-gatal pada alat sulit, kita patut cepat-cepat sedar bahawa gatal itu berkemungkinan puncanya dari bakteria yang sudah wujud pada tuala wanita. Teruslah salin dan elakkan menggunakan jenama sama pada masa akan datang. - Azila Hasan, 27, bekerja sendiri

Tukar jenama yang lebih baik

Saya pernah dengar mengenai kesan penggunaan tuala wanita di pasaran. Kawan saya pun ada yang pernah terkena jangkitan pada alat sulit akibat penggunaan tuala wanita sehingga kelihatan kulat berwarna hijau. Apabila kawan berkongsi masalah dia, saya mula berjaga-jaga soal kebersihan dan pemilihan pad.

Sebagai langkah pencegahan saya akan pastikan pad yang saya beli dari fabrik kapas. Saya sendiri pernah rasa tidak selesa ketika memakai pad dan menyebabkan saya bertindak menukar kepada jenama lain sehingga bertemu dengan jenama yang betul-betul selesa dan dipercayai.

Bagi saya, pemilihan pad sama pentingnya dengan pemilihan lampin pakai buang untuk bayi kita. Seperti mana bayi yang perlukan lampin terbaik, begitu juga diri kita.

Walau pun kita wanita tidak memakainya setiap hari tetapi kita memakainya dalam keadaan basah dengan darah. Jangkitan akan mudah berlaku pada pad yang basah. Saya jenis yang aktif jadi saya amat teliti soal pemilihan pad.

Pada pendapat saya wanita perlu terbuka berkongsi permasalahan mereka dengan orang lain sama ada dengan rakan sebaya atau doktor. Kadang-kadang ada wanita yang terkena jangkitan kuman tapi dia menganggap ia perkara biasa sehingga keadaan jadi bertambah buruk. Baharulah mereka risau dan berjumpa doktor.

Saya juga mengamalkan pemakanan jamu untuk elak keputihan. Zaman sekarang penyakit boleh datang dalam pelbagai sebab dan keadaan. Justeru, saya mengambil pendekatan berhati-hati baik dari segi luaran dan dalaman. - Noor Hafizah Yahya, 30, Admin IT

Akan lebih berhati-hati

Saya tidak tahu mengenai bahaya tuala wanita / pad pakai buang ini sehinggalah diberitahu pada hari ini. Selama ini saya fikirkan semua pad sama sahaja dan ia nampak bersih.

Setakat yang saya faham melalui pembacaan, tisu muka, tisu tandas dan lampin pakai buang ada yang diperbuat daripada surat khabar atau kertas terpakai yang dikitar semula.

Pemprosesan bahan-bahan ini yang menggunakan bahan kimia boleh mengakibatkan kanser kepada pengguna. Bab tuala wanita saya tidak terfikir sehingga begitu sekali tapi saya tidak menolak kemungkinan perkara ini membahayakan dan saya akan lebih berhati-hati selepas ini.

Memang risau dan sedih bila memikirkan kita sebagai pengguna boleh terpedaya dengan semua ini. Jika kita teliti melalui iklan-iklan di media masa semuanya mempamerkan perkara yang baik-baik sahaja terhadap sesuatu produk.

Saya fikir iklan telah ditapis oleh lembaga penapisan berkaitan penyiaran jadi tentu sekali produk yang diiklankan berkualiti baik.

Bagaimanapun apabila mendapat tahu mengenai hal ini barulah saya sedar akan pentingnya mencari maklumat demi kebaikan sendiri. Dari segi kesihatan dan kebersihan diri saya percaya semua tahu yang wanita dinasihatkan untuk kerap menukar tuala wanita sekiranya didatangi haid. Dan itulah perkara yang saya amalkan buat diri sendiri. - Siti Fairus, 30,

Tuala wanita bukan penyebab kanser serviks

Kanser serviks terjadi kerana hubungan kelamin dan jangkitan Human Papilloma Virus (HPV) yang cuma akan dijangkiti melalui hubungan kelamin.

Hubungan kelamin pada usia muda menyebabkan trauma pada pangkal serviks kita, dan memudahkan HPV virus untuk masuk menjangkitinya.

Semakin ramai pasangan kelamin, semakin tinggi risiko untuk mendapat jangkitan HPV. HPV tidak boleh dijangkiti melalui tuala wanita, berkongsi pakaian atau tuala mandi.

Kandungan kimia yang digunakan sebagai peluntur di dalam tuala wanita adalah sangat rendah dan selamat untuk digunakan.

Lagipun, vagina kita mempunyai sistem pertahanannya sendiri seperti mucus dan bentuk anatominya yang unik untuk mengelakkan sebarang kimia daripada naik ke sistem pembiakan kita.

Jika kita hendak menuding jari kepada tuala wanita sebagai punca kanser serviks, cerita ini tidak benar sama sekali.

Kurang kebersihan kelamin juga salah satu sebab terjadinya masalah wanita. Jangkitan kelamin yang berpanjangan akan menyebabkan inflamasi atau radang pada pangkal serviks, seterusnya menyebabkan pembentukan sel-sel abnormal pada serviks. Tambahan lagi jika wanita itu aktif dalam hubungan seksual, keadaan ini akan menyebabkan jangkitan HPV lagi mudah terjadi.

Dengan itu, tidak kira jika anda menggunakan tuala wanita, atau kain biasa atau seluar dalam sahaja, jika anda tidak kerap menukarnya, ini boleh menyebabkan pelbagai jangkitan pada organ wanita terutamanya pelvic inflammatory disease (sejenis jangkitan pada organ pembiakan wanita yang menyebabkan discaj berbau, sakit perut dan susah untuk mengandung)

Ada kajian di Kerala, India, di mana populasinya terlalu miskin untuk membeli tuala wanita. Kebanyakan wanita di situ cuma menggunakan kain biasa dan dicuci untuk digunakan berulang-ulang kali.

Kaji selidik dan pemeriksaan wanita telah dijalankan kepada mereka. Wanita yang menggunakan kain biasa itu mengalami lebih banyak masalah wanita seperti discaj berbau, jangkitan kelamin dan keputusan pap smear yang abnormal. Wanita yang menggunakan tuala wanita pakai buang pula, kurang mendapat masalah ini.

Ini membuktikan bahawa pemakaian kain yang tidak bersih dan kurang penjagaan kebersihan adalah faktor utama kepada masalah wanita.

Dr Mardiana Kipli
Pakar Obstetriks dan Ginekologi Hospital Umum Sarawak
Pensyarah Perubatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

Info:
Cara pakai tuala wanita perlu dipilih mengikut jenisnya iaitu kadar serapan, gaya, saiz, bentuk dan  ketebalan. Tiga faktor ini berperanan penting dalam pemilihan tuala wanita.

Perkara penting perlu anda tahu:

1  Membasuh tangan terlebih dahulu sebelum memakai tuala wanita kerana kotoran semasa membuka seluar dan memegang tuala wanita lama akan dipindah melalui tangan. Cara pakai tuala wanita yang salah akan menyebabkan mudah dijangkiti pada bahagian faraj anda.

2 Anda perlu tahu tarikh luput tuala wanita tersebut. Pastikan anda membeli yang mempunyai tarikh luput kerana tuala wanita yang lama akan mempunyai kualiti yang rendah dan dikhuatiri telah terdedah kepada habuk dan bakteria kerana disimpan terlalu lama.

3 Menggunakan pad yang mempunyai wangi-wangian boleh memberi alahan kepada kulit. Jadi elakkan menggunakan pad terlalu lama kerana boleh mengakibatkan pembiakan bakteria dengan mudah.

Sumber: Sinar Harian



 
Chatroom