Home » » MyNutriDiari: Aplikasi pemakanan sihat

MyNutriDiari: Aplikasi pemakanan sihat

MyNutriDiari: Aplikasi pemakanan sihat

Gizi tidak seimbang berlaku apabila seseorang mengambil makanan tidak mengandungi zat yang diperlukan dalam kuantiti mencukupi. Pemakanan tidak seimbang menyebabkan seseorang mengalami gangguan nutrisi.

Gangguan nutrisi disebabkan kekurangan nutrien, ketidakupayaan tubuh menyerap nutrien dan menggunakan nutrien akibat makan terlalu sedikit atau terlalu banyak kelas makanan tertentu.

Contohnya, kegemukan disebabkan pengambilan makanan mengandungi tenaga berlebihan, manakala anemia (kekurangan darah) disebabkan kurang mengambil makanan mengandungi zat besi.

Pengambilan zat yang tidak seimbang, ditambah tidak melakukan senaman secukupnya, juga antara penyebab penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu penyakit kronik yang tidak boleh disebarkan kepada orang lain dan penghidapnya mendapat penyakit ini secara perlahan-lahan akibat mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan sudah lama melaksanakan beberapa kempen, program dan aktiviti untuk menggalakkan rakyat mengambil makanan seimbang bagi mengekalkan gaya hidup sihat.

Namun, masih ramai yang berdegil sehingga menghidap pelbagai masalah kesihatan, manakala penghidap penyakit kronik yang terangkum dalam NCD juga meningkat setiap tahun.

Kementerian berkenaan masih terus mengingatkan rakyat mengenai bahaya gizi yang tidak seimbang apabila melancarkan aplikasi pemakanan sihat dikenali sebagai MyNutriDiari melalui telefon pintar yang membolehkan rakyat mengakses maklumat berkaitan makanan dan kandungan kalori yang diambil, baru-baru ini.

Aplikasi itu satu lagi inovasi daripada Bahagian Pemakanan kementerian berkenaan bagi memudahkan pengguna memantau pengambilan kalori harian dan saranan nutrisi keperluan harian.

Ini kerana aplikasi berkenaan mampu mengira jumlah kalori yang kita makan setiap hari, di samping berkeupayaan menyimpan rekod pengambilan kalori harian, mingguan dan bulanan.

MyNutriDiari yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store juga menyimpan rekod aktiviti fizikal harian, mingguan dan bulanan, menyenarai kalori makanan dan minuman rakyat Malaysia, khidmat pengimbas kod bar untuk maklumat pemakanan, memberi saranan secara spesifik mengikut situasi seseorang serta menawarkan bahan rujukan percuma.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, dibandingkan dengan kempen gaya hidup sihat dijalankan sebelum ini, pendekatan berkenaan lebih interaktif dan informatif kerana ia hanya di hujung jari pengguna, seiring dengan kemajuan teknologi masa kini apabila hampir semua penduduk negara ini memiliki telefon pintar yang membolehkan maklumat berkenaan kesihatan disebarkan dengan berkesan.

Menurutnya, walaupun pelbagai aplikasi berkaitan pemakanan sihat boleh dimuat turun, MyNutriDiari dibangunkan lebih kepada pengguna rakyat di negara ini yang merujuk kepada budaya pemakanan tempatan dan tabiat pemakanan mereka.

"Pelancaran aplikasi ini diharap dapat membantu pengguna memantau pengambilan makanan harian selaras dengan saranan keperluan tenaga mereka, selain membantu pengguna memantau berat badan dan mengetahui jenis aktiviti fizikal yang boleh dilakukan.

"Malah, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat pemakanan melalui imbasan kod bar pada label makanan dan memantau berat badan serta jumlah kalori harian sebelum menjamu selera," katanya pada majlis pelancaran di Putrajaya, baru-baru ini.

Subramaniam juga berharap aplikasi itu yang boleh diakses anggota masyarakat pelbagai peringkat umur berupaya menjadikan mereka celik nutrisi dengan memperoleh pengetahuan mengenai amalan pemakanan seimbang, sekali gus mencegah mendapat pelbagai masalah kesihatan akibat gangguan nutrisi. ~Metro



 
Chatroom