Home » » Teliti aspek keselesaan sebelum daftar gimnasium

Teliti aspek keselesaan sebelum daftar gimnasium

Barangkali ia kelihatan remeh, tetapi aspek keselesaan satu-satu gimnasium tetap penting. Malah bagi wanita, jika punya peluang, gimnasium khusus untuk wanita lebih digemari berbanding gimnasium yang menyediakan kemudahan untuk lelaki dan wanita.

Apapun, bilangan kemudahan khusus sedemikian tidak begitu meluas di negara ini.

"Tetapi jika wanita itu tak selesa dengan persekitarannya, saya fikir mereka tak akan bertahan lama di satu-satu gimnasium.

"Bagi wanita bertudung, saya pasti mereka akan lebih selesa jika dapat bersenam di gimnasium tertutup tanpa perlu risaukan gerak-geri senaman mereka menjadi perhatian pengunjung lain.

"Sebenarnya tidak hanya wanita bertudung, malah sesiapa saja perlu meneliti aspek keselesaan sesuatu gimnasium sebelum mereka mula mendaftar. Kebanyakan gimnasium di negara ini memberi peluang kepada bakal pelanggan mereka mencuba kemudahan secara percuma untuk tempoh tertentu," kata Penolong Pengurus Gimnasium Philip Wain, Jamaliah Puji.

Jamaliah yang juga jurulatih peribadi di pusat kecergasan dan kecantikan khusus untuk wanita itu, menasihatkan wanita yang tidak biasa bersenam supaya berhati-hati ketika memilih jenis senaman yang pertama kali dilakukan.

"Jika tubuh tidak bersedia untuk melakukan senaman apatah lagi senaman agak berat, mungkin badan akan sakit-sakit atau terseliuh.

"Untuk mereka yang tidak pernah melakukan senaman, mereka perlu melakukan latihan atau senaman kardiovaskular terlebih dulu bagi membina stamina sebelum ia dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Dia tidak menafikan ada wanita yang masih tidak dapat menurunkan berat badan biarpun rajin membuat pelbagai senaman di gimnasium.

"Mereka mungkin berjaya membakar sehingga 2,000 kalori, tetapi selepas bersenam jika pemakanan tak dijaga, memang payah hendak menurunkan berat badan," katanya.

Menurutnya, rata-rata wanita lingkungan 40-an ke atas yang mengunjungi gimnasium berkenaan atas faktor kesihatan. Bagi wanita 30-an pula, pada asasnya kunjungan mereka ke gimnasium kerana ingin menurunkan berat badan serta mahukan penampilan bentuk tubuh menarik.

"Di sini kami melakukan pemantauan berterusan sejak mereka mula mendaftar lagi bagi membolehkan kami menilai perkembangan serta merangka program latihan bersesuaian.

"Malah, seorang daripada wanita yang mengikuti latihan di gimnasium ini berjaya mengurangkan kira-kira 17 kilogram dalam tempoh setahun lebih dengan menjalani senaman berterusan dan mengamalkan pemakanan bersesuaian dalam tempoh terbabit.

"Tahap staminanya juga menunjukkan peningkatan cukup baik hanya selepas beberapa bulan menjalani senaman," katanya.



0 Komen:

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom