Home » » Lingkaran laparoskopik rawat obesiti morbid

Lingkaran laparoskopik rawat obesiti morbid

``TUAN-tuan dan puan-puan, kita memang sudah terlalu gemuk. Rakyat kini hanya duduk dan makan untuk mati.

``Kita kena faham ini betul-betul. Berat badan yang berlebihan boleh membunuh!'' kata Setiausaha Perkhidmatan Kemanusiaan dan Kesihatan Amerika Syarikat (AS), Tommy Thompson pada satu sidang akhbar pelancaran kempen pengiklanan menggempur masalah obesiti di negara berkenaan, bermula Rabu lalu.

Sekiranya aliran itu berterusan, epidemik `pengembangan ukur lilit pinggang' di AS itu diramalkan merebut takhta merokok sebagai faktor penyebab utama kematian yang boleh dicegah.

Data terbaru yang diterbitkan di dalam jurnal Persatuan Perubatan Amerika mendedahkan, tabiat makan yang buruk, kurang bersenam dan merokok mewakili satu pertiga daripada semua kematian di AS baik dewasa mahupun kanak-kanak.

Dua daripada tiga orang dewasa dan sembilan juta kanak-kanak AS mengalami kebimbangan lama negara berkenaan yang kini menjadi nyata.

Semangat yang tinggi untuk menurunkan berat badan ke tahap yang sihat sekalipun tidak banyak membantu apabila obesiti atau lebih teruk, obesiti morbid muncul.

Penggunaan produk, program pengubahsuaian tingkah laku serta diet pelangsingan bagi mengatasi masalah ini lazimnya jarang bertahan lama.

Tidak kurang juga yang mengalami sindrom yo-yo apabila kembali obes sebaik berhenti program diet, berdiet semula, obes dan seterusnya.

Pakar Perunding Bedah Gastrousus dan Laparoskopik, Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur Dr. Abdul Fahmi A. Karim berkata, satu-satunya rawatan yang terbukti mengekalkan pengurangan berat badan ke tahap yang baik ialah melalui prosedur pembedahan.

Alternatif terbaru ialah Laparoscopic Adjustable Gastric Banding (LAGB) yang menggunakan lap-band rekaan Sistem Lap-Band BioEnterics.

Lap-band berasal daripada dua perkataan iaitu lap (laparoskopik) manakala band (lingkaran), diambil daripada lingkaran silikon yang dibalut pada perut.

``Objektif teknik pembedahan ini ialah untuk mengurangkan selera, kuantiti makanan dan memperlahan pencernaan.

``Lingkaran berkenaan akan diikat pada bahagian atas perut menjadikannya terbahagi kepada dua dengan meninggalkan sedikit bukaan kecil (stoma) di antara kedua-duanya,'' katanya.

Menurutnya, selepas makan sedikit makanan dengan kadar antara tiga hingga empat auns, pesakit akan cepat berasa kenyang.

Makanan tersebut seterusnya dicerna sedikit demi sedikit dan jatuh ke bahagian bawah perut yang lebih besar untuk proses penghadaman.

Perjalanan makanan dari perut atas ke perut bawah secara perlahan-lahan itu juga akan menjadikan pesakit berasa kenyang dalam tempoh yang lebih panjang.

Dr. Abdul Fahmi menyifatkan LAGB sebagai rawatan unik kerana penempatannya di dalam perut yang dilakukan secara laparoskopik.

``Hanya beberapa lubang kecil diperlukan untuk memasukkan beberapa tiub (trokar) melalui kulit.

``Pembedahan dilakukan dengan menggunakan alat-alat yang dimasukkan melalui trokar itu sekali gus mengelakkan torehan yang besar di kulit perut,'' katanya.

Pembedahan biasanya memakan masa di antara satu sehingga dua jam dan pesakit boleh keluar daripada hospital selepas tiga empat hari.

Apa yang menjadikan lap-band lebih istimewa ialah saiz stoma yang boleh diubah suai melalui access port tanpa perlu menjalani pembedahan lain.

Permukaan dalam lap-band, katanya, terdiri daripada belon yang disambungkan ke access port melalui wayar panjang yang ditanam di bawah kulit perut semasa pembedahan.

``Selepas pembedahan, pakar bedah boleh mengubah suai stoma sama ada menjadi lebih kecil atau besar dengan cara menyucuk access port melalui kulit perut besar menggunakan jarum halus.

``Larutan air garam akan ditambah atau dikurangkan bagi mengembung atau mengempiskan belon,'' jelas Dr. Abdul Fahmi.

Jika perkembangan positif berlaku selepas pembedahan, pesakit mungkin perlu mengembungkan belon untuk mengekalkan pengurangan berat badannya.

Pengembungan belon bermakna laluan di antara perut atas dan bawah menjadi semakin sempit.

Kesannya, pesakit akan mengambil makanan dalam jumlah yang semakin sedikit.

Sementara itu, belon mungkin perlu dikempiskan bagi wanita mengandung untuk memberi lebih banyak khasiat dan zat makanan kepada bayi.

Kata Dr. Abdul Fahmi, pesakit yang menggunakan kaedah lap-band secara puratanya boleh menurunkan di antara separuh hingga dua pertiga daripada lebihan berat badannya dalam tempoh antara 18 hingga 24 bulan.

``Anda akan bangun pagi tanpa rasa lapar lagi walaupun tidak makan.

``Pendek kata, keinginan makanan tidak lagi menjadi asas terpenting dalam hidup anda,'' katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, kejayaan LAGB juga amat bergantung kepada motivasi tinggi para pesakit.

Individu yang layak menjalani pembedahan LAGB:

- Berumur di antara 18 hingga 60 tahun

- Berat badan dua kali ganda ukuran ideal atau sekurang-kurangnya 45 kilogram lebih berat berbanding ukuran ideal

- Menderita masalah kesihatan serius yang berkaitan dengan obesiti morbid

- Mengalami berat badan berlebihan lebih daripada lima tahun

- Telah beberapa kali cuba menurunkan berat badan yang sepatutnya berjaya tetapi masih gagal

- Tidak menderita apa-apa penyakit yang boleh menyebabkan berat badan berlebihan

- Bersedia untuk melakukan perubahan drastik dari segi tabiat pemakanan dan cara hidup serta dipantau oleh pakar.

Lapan langkah penting bagi mereka yang menjalani LAGB:

- Makan tiga hidangan kecil sehari

- Makan hanya makanan berbentuk pepejal

- Kunyah makanan perlahan-lahan dan dengan lebih lama.

- Berhenti makan apabila berasa kenyang

- Jangan makan di antara hidangan

- Jangan minum air bersulam makan

- Air mestilah kalori sifar

- Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari

- Aktif.

Apa itu obesiti morbid?

Secara amnya, obesiti merupakan pengumpulan lemak berlebihan yang menimbun di dalam badan seseorang.

Obesiti dikategorikan sebagai morbid atau berpenyakit apabila tisu-tisu lemak badan menjadi keterlaluan.

Dalam masa yang sama, ia mengganggu atau mencederakan organ-organ badan yang lain, menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Selain mengehadkan kegiatan fizikal dan sosial, ia memendekkan jangka hayat penghidapnya.

Siapa yang tergolong dalam obesiti morbid?

- Mempunyai berat badan sekurang-kurangnya dua kali lebih berat berbanding ukurannya ideal

- Mempunyai berat badan sekurang-kurangnya 45 kilogram melebihi berat badannya ideal

- BMI melebihi 40 atau

- BMI melebihi 35 dan mengalami beberapa penyakit seperti tekanan darah tinggi atau diabetes

- Gagal mengekalkan berat badan yang sihat dalam jangka panjang sekalipun setelah mengikuti diet yang disarankan oleh pakar-pakar pemakanan.

Indeks Jisim Tubuh (BMI):

BMI merupakan pengukuran berat badan bagi menentukan tahap risiko kesihatan.

Contohnya: 50 kilogram (berat)

ÑÑÑÑÑÑÑÑÑÑ = 20.54

1.56 meter x 1.56 meter (tinggi)

Jadual berikut ialah tahap piawaian ukuran BMI mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO):

BMI PETUNJUK

Kurang 18.5 Kurang berat badan

18.5 hingga 24.9 Berat badan sihat

25 hingga 29.9 Berat badan berlebihan

30 hingga 39.9 Obesiti

40 ke atas Obesiti morbid

Faktor penyebab obesiti morbid:

- Keturunan

- Persekitaran - makanan segera dan duduk terlalu lama terutamanya ketika bekerja atau kanak-kanak yang terlalu lama menonton televisyen

- Kadar metabolisme rendah dan kurang senaman

- Gangguan dan tabiat pemakanan

- Masalah perubatan dan kesihatan.

Obesiti morbid boleh menyebabkan penyakit-penyakit seperti:

- Diabetes

- Masalah lemak dan kolesterol

- Tekanan darah tinggi

- Masalah sendi atau osteoartritis

- Penyakit jantung dan vaskular

- Batu karang

- Infarksi serebrum

- Masalah pernafasan - tidur berdengkur

- Ketidaksuburan

- Haid yang tidak menentu

- Pembocoran air kencing

- Refluks gastroesofageal/pedih hulu hati

- Masalah psikososial/tekanan.

Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN



0 Komen:

Catat Ulasan

Affiliates

 
Chatroom