Home » » Wanita 'mangsa' lupus

Wanita 'mangsa' lupus

Jika anda mengalami demam panas, sakit sendi, badan lemah atau terdapat ruam merah pada mana-mana bahagian kulit, pastikan anda mengunjungi pusat kesihatan terdekat untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi kerana tanda berkenaan mungkin mengesahkan anda dijangkiti penyakit Sistemik Lupus Eritematosuslupus (SLE) atau Lupus.

Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau lebih dikenali dengan nama singkatan lupus mungkin tidak begitu diketahui umum di Malaysia kerana ia adalah sejenis penyakit yang menimbulkan simptom berbeza pada setiap individu yang dijangkiti.

Lebih membimbangkan, lupus lazimnya tidak begitu disedari kedatangannya jika ia bermula dengan demam kerana masyarakat sering menganggap demam adalah satu bentuk gejala biasa terhadap tahap kesihatan mereka.

Timbalan Presiden Persatuan SLE Malaysia dan Pakar Runding Rheumatologi, Dr Yeap Swan Hin, berkata lupus dikategorikan sebagai penyakit kronik yang akan menyebabkan individu yang menghidapnya akan mengalami masalah sepanjang hidup mereka.

“Lupus adalah penyakit yang menunjukkan tanda yang tidak seragam pada setiap pesakit kerana ia bergantung kepada sistem organ atau mana-mana anggota badan yang diserang penyakit.

“Kadangkala, apabila mengalami demam, pesakit mungkin menganggap mereka mengalami masalah demam biasa, tetapi ia sebenarnya adalah petanda bahawa anda mungkin dijangkiti lupus,” katanya ketika ditemui pada sesi taklimat mengenai lupus di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dr Yeap berkata, secara amnya lupus kerap menyerang wanita dan kanak-kanak, namun wanita atau orang dewasa yang menghidap lupus lebih senang dikesan berbanding jika kanak-kanak yang mengalaminya.

“Keadaan ini berlaku kerana orang dewasa tahu menerangkan mengenai masalah yang mereka alami, manakala kanak-kanak pula mungkin tidak pasti mengenai apa yang mereka alami sama ada demam atau kesakitan lain.

“Sehubungan itu, ia perlu ditangani sebaik mungkin bagi mengelakkan lupus menguasai pesakit kerana ia adalah penyakit kekal yang boleh mendatangkan penderitaan kepada pesakit seumur hidup mereka,” katanya.
CONTOH lupus yang menyerang kulit menyebabkan timbul gejala 'rama-rama' pada wajah pesakit.

Beliau berkata, lupus adalah penyakit autoimun yang terjadi disebabkan tisu badan menyerang sistem imun atau daya tahan badan itu sendiri. Ia juga boleh dikategorikan sebagai penyakit radang kronik, tetapi masyarakat tidak perlu risau kerana ia bukan penyakit berjangkit.

“Lupus tidak mengira tempat untuk menyerang. Ia boleh saja menyerang bahagian kulit, jantung, paru-paru, ginjal, sendi atau sistem saraf. Jika ia menyerang pada bahagian kulit, ia dikenali sebagai lupus dermatitis, manakala yang membabitkan organ dalaman pula dikenali sebagai SLE,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Yeap menasihatkan keluarga yang mempunyai anak atau saudara terdekat yang mengalami lupus supaya memahami mengenai penyakit berkenaan kerana ia tidak akan menunjukkan petanda yang sama.

Bagi wanita hamil yang menghidap lupus pula, mereka boleh mengambil ubat-ubatan dengan nasihat doktor bagi memastikan kandungan tidak terjejas oleh penyakit yang dihidapi.

“Pesakit lupus yang hamil boleh melakukan pemeriksaan di klinik gabungan. Riwayat pesakit dan pemeriksaan fizikal adalah penting untuk tujuan mengawasi penyakit ketika kehamilan berlaku.

“Kawalan awal terhadap penyakit amat perlu. Justeru wanita hamil perlu membuat penilaian awal bagi memantau keadaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, sebaik-baiknya, penghidap lupus yang hamil perlu sentiasa berjumpa doktor kerana dikhuatiri penyakit menjadi aktif ketika kehamilan berbanding jika mereka tidak hamil.

“Keadaan ini berlaku disebabkan perubahan hormon oleh sebab kehamilan, iaitu pertambahan pada tahap estrogen. Oleh sebab itu, rawatan segera adalah penting untuk menjaga kesihatan si ibu,” katanya.

Kesan mudah jika individu mengalami jangkitan lupus ialah alah kepada pancaran matahari dan ruam yang boleh menimbulkan kesan kemerahan terlampau pada kulit khususnya pada bahagian pipi. Bagaimanapun, langkah terbaik yang perlu dilakukan ialah berjumpa doktor untuk melakukan ujian dan pemeriksaan mengenai masalah yang dihadapi.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan pada 1990, kes lupus di Malaysia membabitkan nisbah 43 orang bagi setiap 100,000 penduduk. Sehingga kini dianggarkan ada lebih 11,000 pesakit lupus di negara ini.

“Bagaimanapun, peningkatan kes lupus di seluruh dunia dikatakan meningkat sebanyak tiga kali ganda sejak 40 tahun lalu,” katanya.

Di kalangan wanita hamil pula, katanya, sehingga kini punca lupus tidak diketahui, namun genetik kerap kali dikaitkan sebagai faktor utama yang membawa kepada seseorang itu mendapat penyakit itu. Selain genetik, faktor persekitaran seperti virus yang merangsang sel imun tertentu dan faktor hormon estrogen berlebihan juga dikatakan punca kepada permulaan lupus.

Tiada ubatan tertentu yang boleh menyembuhkan pesakit Lupus, tetapi ada pelbagai cara untuk mengurangkan kesannya kepada penghidap, iaitu melalui pengambilan ubatan lain yang membantu mengawal simpton.

Antaranya termasuk krim untuk mengubati ruam yang terjadi pada bahagian badan, ubat antiradang untuk demam dan sakit otot, antimalaria untuk menangani rasa keletihan, sakit sendi serta radang paru-paru.

Oleh Shaidah Shafie



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom