Home » » Elak minuman berkafein

Elak minuman berkafein

Kebanyakan ibu bapa tidak menggalakkan anak kecil minum kopi namun tanpa disedari, mereka mungkin memberikan minuman yang mengandungi kafein.

Makanan dan minuman yang mengandungi kafein memang banyak ditemui justeru, pengambilan kafein untuk kanak-kanak seeloknya pada tahap minimum.

Negara maju seperti Amerika Syarikat masih tidak mempunyai garis panduan mengenai pengambilan kafein untuk kanak-kanak. Namun, garis panduan dikeluarkan Kanada menyarankan kanak-kanak prasekolah mengambil kafein kurang daripada 45 miligram sehari. Ini setara dengan jumlah purata kafein yang didapati dalam 355 mililiter tin minuman bergas atau empat kepingan (seberat 43 gram) coklat bersusu.

Kafein adalah bahan semula jadi yang dikeluarkan pada bahagian daun dan biji kebanyakan tumbuhan. Ia juga dihasilkan secara tiruan yang ditambah pada jenis makanan tertentu.

Kafein yang bertindak serupa pada kanak-kanak mahupun orang dewasa, merangsang sistem saraf utama. Pada tahap lebih rendah, ia membuatkan pengambil kafein berasa lebih peka dan cergas.

Bagaimanapun, pengambilan kafein yang terlalu banyak boleh menyebabkan gementar, sakit perut, pening, sukar memberi tumpuan, sukar tidur serta peningkatan kadar degupan jantung dan tekanan darah.

Untuk kanak-kanak pula, pengambilan yang sedikit boleh menimbulkan kesan berkenaan.

Pengambilan kafein di kalangan kanak-kanak juga harus dihadkan kerana ia boleh meningkatkan risiko kegemukan melampau sebanyak 60 peratus misalnya dengan mengambil 355 mililiter minuman ringan manis sehari.

Kanak-kanak yang terlalu banyak mengambil minuman ringan mungkin kurang mendapat khasiat seperti kalsium yang diperlukan daripada susu untuk membina tulang dan gigi kuat.

Kafein bersifat diuretik yang menyebabkan tubuh menyingkirkan air (menerusi pembuangan air kencing). Sungguhpun jumlah pengambilan kafein yang boleh menyebabkan kehilangan air dalam tubuh masih belum dapat dipastikan, untuk langkah berjaga-jaga, elak pengambilan kafein berlebihan dalam cuaca panas.

Antara makanan mengandungi kafein termasuk kopi, teh, coklat, aiskrim kopi serta beberapa jenis ubat-ubatan melegakan sakit.

Teh ais pula bukan saja mengandungi banyak gula malah kafein, sama seperti minuman ringan. Pilihan minuman yang lebih baik untuk kanak-kanak termasuk air kosong, susu atau 100 peratus jus buah-buahan.



0 Komen:

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom