Home » » Pemakanan dan Kesihatan: Makanan penawar penyakit

Pemakanan dan Kesihatan: Makanan penawar penyakit

Apa-apa makanan dan minuman yang diambil setiap hari secara tidak langsung menjamin kesihatan yang berpanjangan.

Walaubagaimanapun tahukah anda, sesetengah bahan mentah yang mungkin ada di dapur seperti di rak atau di peti sejuk dapat digunakan sebagai penawar mujarab untuk sesetengah penyakit seperti sakit perut, pening kepala, sakit tekak dan sebagainya.

Saya berminat untuk berkongsi topik ini dengan pembaca setelah saya membaca satu artikel yang bertajuk Secret cures from the kitchen daripada majalah masakan berbahasa Inggeris iaitu Food Digest.

Penulisnya menulis tentang beberapa bahan makanan yang boleh dijadikan ubat untuk mengubati sakit-sakit tertentu sama ada sakit di dalam atau sakit luaran.

Saya tidak menolak bahawa pentingnya kita untuk mendapatkan rawatan daripada doktor apabila kita diserang sakit namun secara peribadi saya berpendapat bahawa setiap bahan-bahan makanan ada khasiatnya yang tersendiri yang secara tidak langsung ia juga boleh dijadikan penawar penyakit.

Apa kata minggu ini kita lihat khasiat beberapa bahan-bahan makanan yang saya petik daripada majalah itu yang mampu dijadikan penawar penyakit.

Madu, lemon dan cayyenne

Apabila anda sukar untuk menelan, madu, jus lemon dan serbuk cayyenne (sejenis serbuk cili) boleh melegakan kesukaran untuk menelan makanan.

Menurut Elson Haas, iaitu seorang perintis ubat bersepadu dan penulis buku Staying Healthy, lemon mengandungi Vitamin C yang dapat mengecutkan keradangan pada tisu tekak. Madu juga dapat melegakan dan menyahkan penyakit.

Cayyenne pula dapat merangsang peredaran semasa anda menelan di samping dapat menyembuhkan.

Sekiranya anda menghidap sakit tekak, tuangkan lebih kurang separuh sudu makan dan penuhkan sudu dengan jus lemon. Taburkan 1/8-1/4 sudu teh dalam sudu yang sama kemudian telan. Ulangi cara ini sehingga anda berasa lega.

Garam dan halia

Ketidakcernaan boleh menyebabkan kita lemah tidak bertenaga. Anda boleh mengelakkan ketidakcernaan dengan mengambil halia dan garam sebelum anda menikmati juadah tengah hari atau malam. Parutkan satu inci halia segar yang telah dikupas kulitnya.

Ambil secubit atau dua cubit garam dan campurkan dengan halia. Gaulkan ia menjadi seperti pes.

Kunyah pes itu selama seminit atau dua minit dan telan. Selepas itu minum segelas air suam dan anda harus terus makan dalam masa 10-15 minit selepas anda menelan halia tadi, jika tidak anda akan berasa panas dan tidak selesa.

Air kanji nasi

Jika anda menderita sakit perut disebabkan oleh keracunan makanan atau virus cubalah cara perubatan orang Bangladesh yang telah dipraktikkan sejak beribu tahun dahulu.

Kandungan protein dalam beras boleh menstabilkan usus semasa atau selepas anda mengalami penyakit ini. Ia dapat membantu badan yang telah terhidrasi (kekurangan air) dan boleh melegakan. Masak satu cawan beras.

Kali ini gunakan nisbah air lebih sedikit daripada biasa. Setelah air mendidih dan beras sedikit kembang tapis air dan minum air semasa panas atau sejuk. Beras tadi bolehlah anda masak seperti biasa.

Saya percaya bahawa menggunakan bahan-bahan semula jadi yang ada di rumah untuk mengelak dan merawat sakit yang tidak serius kadang-kadang lebih mujarab. Oleh itu pemilihan bahan-bahan makanan yang baik dan berkualiti amatlah penting.

Sumber: Utusan



Affiliates

 
Chatroom