Senaman dapat membentuk tubuh menawan. Bukan itu saja, ia juga membantu memberikan kesihatan kepada tubuh badan jika dilakukan dengan kerap dan mengikut cara yang betul.
Bagi wanita, memiliki bentuk badan yang sempurna memang diinginkan. Jadi, apa salahnya jika mengubah sikap malas kepada rajin dengan melakukan senaman ringkas yang dapat memberi kebaikan kepada badan terutama pada bahagian tangan, punggung, perut dan kaki agar kelihatan lebih anjal, sekali gus melegakan keletihan.
Perlu diingat, punggung dan perut adalah otot yang mudah mengembang tetapi paling sukar untuk mengembalikannya kepada bentuk asal jika tidak mengambil berat mengenainya.
Oleh itu, senaman ringkas sebagai satu cara yang boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana saja mengikut tempat kegemaran tanpa perlu mengeluarkan kos perbelanjaan yang tinggi, malah percuma.
Anda hanya memerlukan 10 minit dan lakukannya tiga kali sehari berbanding senaman biasa selama 30 minit. Ia boleh dilakukan di tempat kerja dan di rumah iaitu 10 minit sebelum pergi bekerja, 10 minit ketika waktu rehat atau makan tengah hari serta 10 minit sebelum pulang ke rumah.
Selain melakukan senaman ringkas, ketekunan dan keazaman serta disiplin yang tinggi perlu ada bagi melihat hasil terbaik untuk mendapatkan bentuk asal tubuh.
Apa yang penting, senaman perlu dilakukan dengan betul mengikut peraturan ditetapkan. Jika peraturan dan disiplin tidak diikuti, hasilnya pasti akan mengecewakan, sekali gus rasa malas untuk meneruskan senaman.
Cara yang mudah adalah jadualkan senaman yang ingin dilakukan supaya ia lebih konsisten di samping mempelbagaikan langkah atau teknik bagi mengelakkan kebosanan kerana melakukan cara yang sama.