Home » » Rakyat Malaysia Tidak Jaga Pemakanan

Rakyat Malaysia Tidak Jaga Pemakanan

Analisis Oleh Jeswan Kaur

Rakyat Malaysia makan sesuka hati dan tidak menjaga pemakanan mereka. Dan akibatnya ialah kini masalah obesiti menular di kalangan masyarakat Malaysia, dengan berat badan 37 peratus daripada penduduknya melampaui had sihat.

Perkembangan tidak sihat ini pastinya membimbangkan. Lebih membingungkan ialah mengapa rakyat Malaysia sanggup memudaratkan kesihatan mereka dengan makan sesuka hati.

Satu daripada faktor yang boleh mendorong kepada keadaan ini ialah sikap rakyat Malaysia yang gemar makan pelbagai makanan dan malas bersenam. Secara ringkas, boleh dikatakan orang ramai beranggapan kesihatan dan mortaliti mereka terjamin.

Dari masa ke masa Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menggunakan statistik obesiti untuk mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan daripada amalan pemakanan tidak sihat. Tetapi adakah nasihat ini diendahkan oleh sesiapa memandangkan sejak tujuh tahun lepas masalah obesiti di kalangan rakyat Malaysia telah meningkat daripada 20 peratus kepada 39 peratus?

Lagipun, adakah hakikat obesiti di kalangan dewasa yang meningkat tiga kali ganda sejak sedekad lepas dan hanya 14 peratus daripada rakyat Malaysia bersenam membimbangkan rakyat Malaysia?

Untuk memburukkan lagi keadaan, kedai-kedai makan yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan menyebabkan rakyat Malaysia lupa yang mereka perlu mengamalkan pemakanan baik untuk kekal sihat. Amalan makanan harian iaitu teh tarik dan roti canai bagi sarapan pagi pastinya memudaratkan tubuh. Ramai yang mendambakan makanan atau kuih goreng yang boleh menyumbangkan kepada strok.

Menjadikan Malaysia sebagai syurga makanan mungkin satu daripada cara membawa tukaran matawang asing tetapi ia juga menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja lebih banyak wang untuk mensubsidi rawatan bagi penyakit rakyat yang berkaitan dengan gaya hidup.

KEBIMBANGAN YANG MUNGKIN SUKAR DIATASI

Kadar obesiti yang semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia membimbangkan Dr Chua sehinggakan beliau meminta pengeluar minuman berkarbonat supaya mengurangkan kandungan gula dalam minuman mereka daripada 15gm kepada 5gm setiap botol. Tetapi pengeluar-pengeluar hanya bersetuju mengurangkannya kepada 9.5gm.

Dr Chua berkata pengeluar-pengeluar minuman keberatan untuk mengurangkan kandungan gula memandangkan rakyat Malaysia menggemari makanan manis. Para pengeluar bimbang jika kandungan gula dikurangkan dengan ketara, rakyat Malaysia mungkin menolak minuman berkarbonat. Kebimbangan mereka itu mungkin ada kebenarannya memandangkan 1,000 tin minuman berkarbonat diminum setiap minit di Malaysia!

Bagaimanapun, Dr Chua juga tidak mahu berganjak daripada pendiriannya. Beliau mahu satu label `Pilihan Makanan dan Minuman Lebih Sihat' (Healthier Choice Food and Drinks) diperkenalkan dan sekiranya para pengeluar minuman itu tetap tidak mahu mengendahkan permintaan Kementerian itu, Dr Chua tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan minuman daripada senarai makanan yang dianggap sebagai pilihan lebih sihat.

Beban mendidik rakyat Malaysia akan pentingnya pemakanan sihat ditanggung oleh kerajaan dan pembayar cukai. Tahun lepas Kabinet meluluskan RM37 juta untuk membantu pertubuhan-pertubuhan menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia. Bagaimanapun, kadar obesiti yang mencemaskan menimbulkan persoalan sama ada wang pembayar cukai digunakan sebaik-baiknya.

Bagi Dr Chua, beliau akan terus berusaha gigih dalam meningkatkan kesedaran yang cara pemakanan tidak sihat hanya mengundang penyakit seperti diabetes dan strok. Awal tahun ini Kementerian Kesihatan menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal untuk meneliti kandungan makanan dan minuman di Malaysia dengan tujuan mengurangkan kandungan gula, garam dan lemak.

RAKYAT M'SIA TIDAK SERIUS DENGAN KESIHATAN

Adalah baik rakyat mangambil iktibar yang diabetes, strok, darah tinggi dan kanser adalah penyakit kemewahan, lazimnya produk gaya hidup tidak sihat. Jika orang ramai lebih berwaspada dalam apa yang masuk dalam mulut mereka, peluang adalah cerah bagi statistik berkaitan penyakit-penyakit ini berkurang.

Kementerian Kesihatan baru-baru ini menunjukkan antara RM150 juta dan RM200 juta dibelanjakan untuk perubatan bagi diabetes, darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Dr Chua berkata 80 peratus daripada penyakit koronari di usia muda disebabkan oleh pemakanan tidak sihat, kurang senaman dan merokok. Beliau menambahkata penyakit koronari merupakan pembunuh nombor satu di negara. Pada 2005, sejumlah 3,038 orang terbunuh kerana sakit jantung sementara 39,770 orang dimasukkan ke hospital kerana penyakit itu.

Antara faktor yang boleh membawa kepada penyakit jantung termasuk kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, merokok dan pemakanan tidak sihat.

Dr Chua berkata sementara Kementerian Kesihatan menganjurkan beberapa kempen berterusan untuk mendidik orang ramai mengenai amalan hidup sihat, mereka sendiri mesti lebih bertanggungjawab dan mengubah gaya hidup mereka.

"Mereka juga perlu bersikap lebih kritikal apabila memilih makanan dan mesti memilih makanan yang membawa manfaat kepada kesihatan," beliau tekankan.

Dr Chua berkata gaya hidup tidak sihat rakyat menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung belanja RM900 juta dalam membekalkan ubat-ubatan ke hospital.

PENYAKIT MEWAH AKAN TERUS KEKAL

Aneh sekali, walaupun dengan semua data yang tidak memihak kepada mereka, kesannya terhadap rakyat Malaysia masih tidak memuaskan. Makanan masih menjadi kegemaran rakyat Malaysia dan rakyat Malaysia akan melakukan apa sahaja yang boleh untuk menikmati teh tarik atau nasi lemak terbaik yang boleh didapati. Walaupun ini tidak bermakna ia amalan kurang baik, apa yang perlu diingati ialah kesederhanaan merupakan elemen penting bagi memastikan tubuh yang sihat.

Menjaga kesihatan individu bukan tanggungjawab kerajaan, ia semata-mata tanggungjawab. Begitu juga, menjauhi penyakit merupakan tanggungjawab individu. Rakyat Malaysia tidak boleh menolak tanggungjawab dalam hal-hal kesihatan. Untuk kekal sihat atau tidak adalah pilihan individu.

-- BERNAMA



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom