Oleh: SITI AISHAH IBRAHIM
SEBAHAGIAN besar daripada kita mungkin sudah biasa mendengar ungkapan ‘mati kerana tak cukup makan’, tetapi dalam dunia yang semakin maju sumber makanan semakin mudah diperoleh ungkapan tersebut berubah menjadi ‘mati kerana berlebih makan.’
Sebenarnya kedua-dua situasi ini memang berlaku, malah menjadi satu cabaran besar di kebanyakan negara Asia.
Situasi ketiadaan amalan makanan seimbang sama ada kekurangan atau berlebihan makanan berkhasiat yang juga dipanggil pincang nutrisi (malnutrisi) membawa risiko kesihatan yang tersendiri.
Kesan kesihatan ini ditanggung tidak kira oleh kanak-kanak mahupun orang dewasa.
Sebagai contoh, berlebihan makanan berkhasiat boleh menyebabkan penyakit berkaitan kardiovaskular (jantung) serta masalah berat badan berlebihan (obesiti).
Kedua-dua gejala ini merupakan antara ancaman masalah kesihatan yang ketara di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Kira-kira lima peratus rakyat negara ini menghidap penyakit berkaitan kardiovaskular, manakala 26 peratus penduduk pula menghadapi masalah obesiti.
Sebaliknya, kekurangan makanan berkhasiat bukan bermaksud kurang makan atau kebuluran, sebaliknya makanan yang diambil tidak mengandungi jumlah nutrisi atau khasiat yang betul sebagaimana dikehendaki oleh tubuh badan.
Fenomena ini agak baru tetapi ia kerap berlaku, di mana dianggarkan tiga peratus daripada rakyat Malaysia menghadapi keadaan ini.
Biarpun tahap keseriusannya masih dianggap rendah, gejala ini tidak harus dipandang ringan kerana ia membawa kepada corak pemakanan yang tidak sihat.
Ini diakui sendiri oleh Pengarah Bahagian Pemakanan di Hospital John H. Stroger Jr., Chicago, Amerika Syarika, Dr. Krishnan Sriram.
Menurut pakar pemakanan ini, makan terlalu sedikit atau tiada langsung makanan yang berkhasiat memberi kesan tidak sihat sama seperti jika kita makan berlebihan.
“Tanpa mengambil nutrisi yang betul dalam jumlah yang sesuai ia boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat penyakit kardiovaskular.
“Hidangan yang lengkap dan seimbang boleh membantu seseorang mencapai berat badan yang ideal, membina dan mengekalkan fungsi tubuh yang sihat, dan meningkatkan keupayaan melaksanakan aktiviti harian.
“Makanan tersebut haruslah ‘ mesra jantung’ iaitu mengandungi kadar lemak tepu dan kolesterol yang rendah, tidak mengandungi trans lemak, mempunyai gentian, vitamin dan mineral dalam jumlah yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Kesihatan dan Forum Awam anjuran Abbot Nutrition di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Persidangan tersebut bertujuan membincangkan faedah mengambil makanan dengan cara yang betul.
Menurut Dr. Sriram, kajian menunjukkan sebahagian besar penduduk dunia termasuk rakyat Malaysia biasanya tidak mengambil hidangan yang seimbang.
Ini antara lain disebabkan dorongan jadual kerja dan gaya hidup yang sibuk.
Sebaliknya, mereka memilih hidangan yang cepat dan tidak sihat sama ada yang siap dibungkus, ditinkan atau makanan segera.
“Amalan ini jelas tidak sesuai bagi mereka yang mengutamakan kesihatan kerana makanan-makanan sebegini lazimnya tidak mengandungi nutrisi makanan yang betul,” katanya.
Pendapat beliau turut dipersetujui Ketua Pakar Pemakanan dan Pengurus kanan, Perkhidmatan Diet dan Makanan di Institut Jantung Negara, Mary Easaw,
Beliau berkata, memakan hidangan yang lengkap dan seimbang boleh meningkatkan tahap kesihatan selain memberi tenaga yang diperlukan sepanjang hari.
Katanya, percubaan untuk mendapat pemakanan yang lengkap dan seimbang biasanya menjadi satu cabaran bagi kebanyakan orang terutamanya mereka yang mempunyai gaya hidup yang sibuk.
“Oleh itu, makanan tambahan yang berkhasiat adalah cara berkesan untuk membantu tubuh yang memerlukan khasiat penting supaya sihat dan ceria sepanjang hari,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Abbot Nutrition International, Christopher Kirkam, berkata, persidangan yang dianjurkan pihaknya adalah sebagai respon kepada kebimbangan terhadap peningkatan keadaan kesihatan yang bahaya akibat tabiat pemakanan yang tidak baik di Malaysia.
“Kami ingin membantu menangani keadaan itu dengan menawarkan penyelesaian kepada masalah yang semakin meningkat ini.
“Ia juga sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat terhadap pemakanan dan keadaan kesihatan,’’ ujarnya.
Pada persidangan itu juga, syarikat tersebut turut memperkenalkan makanan tambahan terbaru untuk orang dewasa, Ensure, yang kini telah berada di pasaran. Ia kini menjadi makanan tambahan berkhasiat nombor satu di Amerika Syarikat yang mempunyai rumusan pemakanan lengkap dan seimbang.
Ensure boleh membantu melawan malnutrisi serta menyokong perkembangan dan tahap kesihatan tubuh secara keseluruhan.
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan