Home » » Gaya hidup punca remaja obes

Gaya hidup punca remaja obes

Ketagihan kepada permainan video dan pengambilan makanan segera antara penyebab kanak-kanak dan remaja kini menjadi obes, sekaligus diserang diabetes seawal usia sembilan tahun.

Pakar Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Dr. Fatimah Harun berkata, kelekaan bermain video dan pengambilan makanan berkarbohidrat tinggi menyebabkan golongan tersebut terdedah kepada diabetes tahap kedua.

‘‘Lebih membimbangkan diabetes jenis itu dahulunya selalu berlaku di kalangan orang dewasa (40 tahun ke atas) tetapi kini menular di kalangan kanak-kanak. Ini berlaku disebabkan perubahan masa dan taraf hidup sekarang.

‘‘Mereka (kanak-kanak dan remaja) lebih gemar menghabiskan masa berjam-jam bermain komputer dan permainan video berbanding keluar untuk bersukan yang secara tidak langsung menjurus kepada obesiti dan seterusnya diabetes,’’ katanya ketika ditemui pemberita pada perasmian Seminar Hari Diabetes Sedunia 2007 di sini hari ini.

Maklumat

Fatimah menyarankan maklumat mengenai permasalahan ini disebarkan kerana sesetengah kanak-kanak dan ibu bapa tidak menyedari bahawa anak mereka menghidap diabetes.

‘‘Jangan sangka golongan dewasa sahaja yang boleh diserang diabetes kerana peratusan pesakit kanak-kanak juga sudah meningkat setiap tahun,’’ ujarnya.

Menurutnya, penyakit itu mampu memudaratkan kerana ia menjurus kepada masalah kesihatan sekiranya tiada pengesanan awal dan tidak dikawal.

‘‘Mereka yang mempunyai pengiraan indeks jisim tubuh (BMI) melebihi paras normal dinasihati agar berjumpa pakar untuk pemeriksaan,’’ tambahnya.

Fatimah berkata, kanak-kanak obes lebih mudah terdedah kepada penyakit itu selain diwarisi melalui genetik.

Menurutnya lagi, kemewahan yang ditabur ibu bapa terhadap kanak-kanak dan remaja mendorong mereka menjalani kehidupan ala Barat dan secara tidak langsung mendedahkan diri kepada diabetes.

Ini terbukti kerana peratusan kanak-kanak dan remaja menghidap diabetes di Amerika Syarikat sangat tinggi berpunca daripada mengamalkan rutin harian yang serupa.

‘‘Hasil penyelidikan mendapati kumpulan yang mendapat diabetes itu rata-rata mengamalkan pengambilan makanan segera serta bermain permainan video secara kerap sehingga menjadi rutin harian,’’ katanya.



2 Komen:

Tanpa Nama berkata...

poyo!

Tanpa Nama berkata...

apa punca kegemukan yang lain??

Catat Ulasan

 
Chatroom