Home » » Meditasi menenangkan jiwa

Meditasi menenangkan jiwa

Oleh MOHD. RIDZWAN IMAN

MEDITASI merupakan satu cadang disiplin bagaimana memfokus minda dalam fikiran atau di bawah kesedaran. Ia kebiasaannya melibatkan penumpuan kepada satu perkara atau objek tumpuan.Tahap meditasi yang tinggi membolehkan ia menghampiri tahap yang mana si pengamal tidak menyedari langsung apa yang berlaku di sekitarnya.

Menurut Wikipedia, ensiklopedia bebas di Internet, meditasi menjadi komponen utama kepada banyak ajaran agama yang telah dipraktiskan sejak 5,000 tahun lalu.

Perkataan 'meditation' berasal dari perkataan 'meditatio' dalam bahasa Latin yang asalnya merujuk kepada aktiviti senaman fizikal intelek dan kemudiannya bertukar merujuk kepada aktiviti 'bertafakur.'

Terdapat berbagai-bagai jenis meditasi dalam pelbagai agama seperti Hindu, Bahai, Buddha, Islam, Sikh, Tao, Kristian dan sebagainya.

Bagaimanapun, pada masa kini meditasi telah menjadi salah satu bentuk senaman bertujuan memberikan ketenangan dengan mendapat pelbagai pengaruh Barat dan Timur.

Teknik meditasiMemandangkan meditasi dirujuk sebagai satu aktiviti bersendirian yang memberi fokus kepada sesuatu perkara, terdapat pelbagai teknik meditasi atau berfikir sambil memberi fokus ini.

Teknik meditasi terbahagi kepada dua jenis iaitu memberi fokus kepada persepsi latar belakang atau pengalaman lalu yang dikenali sebagai mindfullness.

Manakala, satu lagi jenis meditasi ialah dengan memilih satu objek atau perkara dan ia dikenali sebagai meditasi 'tumpuan.'

Terdapat juga gabungan meditasi antara latar belakang dan objek ini saling bertukar-tukar dalam satu masa oleh pengamalnya.

Dalam meditasi mindfulness, pengamal akan duduk dengan selesa dan memberi fokus kepada pernafasan, bunyi sekeliling, bunyi muzik, mantra yang dibaca dan sebagainya.

Manakala, meditasi 'tumpuan' pula merupakan meditasi yang diamalkan oleh kebanyakan penganut agama dan ia merupakan amalan kerohanian.

Bertafakur dalam IslamIslam juga tidak terkecuali daripada mempunyai amalan meditasi atau dikenali sebagai bertafakur, suluk atau berzikir.

Hukum suluk adalah harus dengan syarat mematuhi syariat Islam iaitu berzikir dengan zikir yang tidak bertentangan ajaran Islam.

Bertafakur dengan sentiasa mengingati Allah dan bersyukur dengan segala rahmat yang diberikan-Nya mampu meningkatkan keimanan manusia, selain sentiasa menenangkan jiwa.

Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria berkata, bertafakur iaitu memikirkan mengenai sesuatu perkara dengan lebih mendalam, manusia dapat menilai segala nikmat kurniaan Allah.

Proses tafakur juga dikenal pasti sebagai cara untuk membantu seseorang mengendalikan tekanan hidup dengan bijaksana iaitu dimulakan dengan berfikir mengenai diri sendiri dan kejadian sekeliling, katanya.

"Bertafakur boleh dimulakan dengan melihat merenung diri sendiri dan kemudiannya membandingkannya dengan masyarakat sekeliling dan melihat betapa banyak nikmat Allah berikan kepada manusia, haiwan dan tumbuhan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kertas bertajuk Pengurusan stres - satu tinjauan dari perspektif Islam.

Dr. Harussani juga berkata, bertahajud dengan menghidupkan malam untuk beramal ibadat dapat meningkatkan keimanan seseorang dan mendekatkan diri mereka kepada Allah.

Seseorang yang bertahajud dengan bersusah payah bangun di tengah malam mengambil wuduk, bersolat dan meninggalkan keenakan tidur akan mendapat hati yang tenang dan jasmani yang kuat, katanya.

Katanya, memperbanyakkan zikir atau selalu mengingati Allah sama ada dengan lidah atau hati juga akan menyebabkan jiwa seseorang menjadi sangat tenang dan kuat semangat.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom