Home » » Kikis sifat tamak makan

Kikis sifat tamak makan

Dalam soal menjaga kesihatan tiada istilah terlewat atau terlalu awal. Penjagaan kesihatan adalah satu proses berpanjangan yang perlu dilakukan setiap hari sepanjang hayat. Caranya juga bukan terlalu payah iaitu hanya menjaga pemakanan (mengamalkan pemakanan seimbang) dan luangkan masa untuk bersenam.

Menurut Presiden Persatuan Nutrisi Malaysia, Dr Tee E Siong, rakyat Malaysia sebenarnya cukup pengetahuan dan maklumat mengenai kesihatan serta pemakanan, terutama membabitkan penyakit gaya hidup, tetapi masih tidak serius untuk mengamalkannya.

“Ramai menyangka mereka tidak akan sakit. Mereka beranggapan penyakit hanya akan berlaku pada orang lain dan bukan mereka atau ahli keluarga. Ini menyebabkan ramai kurang menitikberatkan soal makan, walaupun tahu makan berlebihan mengundang pelbagai penyakit.

“Tiba masanya kita mengamalkan apa yang kita tahu. Makanan berlebihan adalah punca banyak masalah kesihatan, terutama sakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan strok, sedangkan semua penyakit ini boleh dielak,” katanya.

Perunding Diet Pusat Perubatan Tropicana, Catherine Kong, berkata ramai orang tidak sedar mereka ada perasaan tamak apabila berdepan makanan, terutama jika pelbagai juadah enak dihidangkan secara bufet.

Ini menyebabkan ada orang mengisi makanan sepenuh pinggan walaupun sedar mereka mungkin tidak dapat menghabiskan semuanya. Sikap ini perlu diubah kerana lama kelamaan ia mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri.

“Apabila memilih makanan, ambil yang ingin dimakan saja dalam kuantiti kecil. Jika tidak cukup, baru ulang ambil dan bukan mengisi pinggan hingga penuh. Makan pula perlu perlahan-lahan dan kunyah makanan hingga benar-benar lumat sebelum ditelan.

“Makan perlahan-lahan sebenarnya ada kesan psikologi dan fisiologi. Apabila kita makan perlahan (makanan dikunyah hingga lumat), kita lebih menikmati keenakan makanan. Pada masa sama, air liur yang dihasilkan ketika kita mengunyah makanan merangsang otak menjadi lebih peka.

“Melalui cara ini otak dapat mengesan bila kita kenyang. Isyarat kenyang mengambil masa lama untuk sampai ke otak. Selain itu, makanan yang dikunyah lumat memudahkan proses penghadaman dan penyerapan nutrien.

“Jika makan terlalu cepat, kita makan banyak sebelum isyarat itu sampai ke otak. Akibatnya kita makan berlebihan daripada diperlukan. Masalah ini menjadi lebih buruk jika kita juga jarang bersenam,” katanya.

Antara kesilapan lain yang perlu diubah untuk meningkatkan tahap kesihatan ialah sikap meninggalkan sarapan. Tidak kira sesibuk mana pun anda, luangkan sedikit masa untuk makan. Jika benar-benar tidak sempat, sekurang-kurangnya minum segelas susu atau disertakan keju bersama dua keping roti yang mengambil masa tidak sampai lima minit untuk disediakan.

“Berazamlah untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan seimbang. Sarapan sangat penting. Biar sedikit, tetapi mesti berkhasiat. Perubahan gaya hidup perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dan sederhana, tidak kira sesibuk mana pun kita, perlu ada masa untuk bersenam dan berehat.

“Datangnya tahun baru bermakna bertambah satu tahun lagi umur kita. Jadi usah bertangguh melakukan perkara baik untuk diri sendiri dan keluarga. Sebagai ibu bapa, anda perlu menjadi teladan baik kepada anak, khususnya dalam pembentukan tabiat makan anak.

“Ramai ibu bapa sekarang mengambil jalan mudah dengan hanya menyediakan makanan yang disukai anak, sedangkan mereka sepatutnya memperkenalkan pelbagai jenis sajian sihat kepada si kecil. Tindakan ini lama kelamaan mendorong kepada tabiat pemakanan tidak sihat,” katanya.

Selain itu, masukkan makan bersama keluarga (sekurang-kurangnya sekali sehari) dalam agenda tahun baru. Jadikan aktiviti makan bersama ini sebagai saluran untuk memupuk tabiat makan yang baik dan mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak.



0 Komen:

Catat Komen

 
Chatroom