ALIFF FIRDAUS - Mulai 11 Disember, Setiap Jumaat, 9 mlm, TV3
SINOPSIS:
Aliff Firdaus (Beego) mengisahkan dia mahu mengikut jejak bapanya, Haji Madi (NAsir Bilal Khan) melakukan kerja kampung seperti bersawah, menternak kambing dan menjadi imam. Ibunya, Hajah Mina (Fadhilah Mansor) pula mengambil upah menjual kuih.
Anak bongsu daripada lima beradik, hasrat Aliff mendapat tentangan hebat abang dan kakaknya yang masing-masing graduan universiti dan berjaya dalam karier. Along, penjual kereta, Angah (usahawan kedai perabot), Andak (pensyarah) dan Acik (hartanah).
Walaupun hidup senang dan mewah, perasaan mereka berempat bergolak dengan masalah sendiri dan tidak tenteram. Di kampungnya, Aliff jatuh cinta dengan Dira (Irma HAsmie), gadis dari bandar. Menetap bersama ibunya di kampung itu, Dira mengusahakan tadika.
Sejak itu, hubungan Aliff dan Dira rapat. Aliff yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) enggan menyambung pelajarannya. Namun atas nasihat bapa dan kekasihnya, Aliff akhirnya akur.
Berhijrah ke KL dengan hati terluka, Aliff hilang haluan hidup. Adakah Aliff akan terus hanyut dengan keseronokan duniawi? Mampukah dia membezakan antara kesederhanaan hidup dan kemewahan dunia? Bagaimana pula kasihnya pada Dira?
Drama bersiri Aliff Firdaus sebanyak 26 episod ini menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Kuala Selangor.
Arahan Rashid Sibir, selain Beego menampilkan Fadhilah Mansor (Hajah Mina), Zed Zaidi (Shahril), Fezrol Khan (Isa), Jasmin Hamid (Siti Khadijah), Kuza, Maria Farida, Khatijah Tan dan Rahim Jailani.
0 Komen:
Catat Ulasan